Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan sejak hampir sebulan bukanlah tiket untuk kita rakyat Malaysia keluar sewenang-wenangnya ke tempat orang ramai, terutamanya bagi yang mempunyai anak-anak kecil.
Ya betul aktiviti ekonomi kebanyakkannya sudah beroperasi seperti biasa. Pusat beli-belah, restoran sudah dibuka kepada umum. Namun itu tidak bermakna kehidupan kita kembali seperti dahulu.
Seperti yang sering ditegaskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tempat yang paling selamat adalah berada di rumah. Itulah yang dipraktikkan oleh selebriti dan pelakon, Betty Rahmad buat anaknya Ardy Wira.
Menurut Betty dalam satu perkongsian di akaun Instagram miliknya, sehingga hari ini, dia masih lagi mengambil pendekatan untuk terus mengelak daripada membawa anaknya untuk berada di tempat awam termasuklah bertemu dengan mana-mana individu lain.
“Maaflah anakku, buat masa ini mummy boleh bawa kamu main depan rumah dan menari dalam kereta pusing kawasan rumah sahaja.
“Tiada ke pusat beli-belah atau jumpa sesiapa. Ya, anda semua boleh kata saya overacting, paranoid lebih atau apa sahaja, saya tak kisah. Saya masih PKP dan polis garang yang bertugas dalam rumah ni hingga kini,” katanya menerusi satu posting yang dimuat naik di Instagram.
Dalam entri tersebut, Betty turut berkongsi sebuah video yang memaparkan dirinya membawa anaknya, Ardy Wira bersiar-siar duduk di dalam kereta sahaja.
Pada masa sama, Betty turut menasihati orang ramai untuk tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan kerajaan kini untuk keluar secara suka-suka sahaja.
“Tolong kekal berada di rumah ya semua jangan keluar lalala bawa anak shopping raya dekat mall. Raya insya-Allah ada lagi, nyawa tak boleh ganti. Kalau anak sakit lagi sedih daripada tak beraya,” katanya.
Adik kepada pengarah terkenal, Erma Fatima itu dikurniakan cahaya mata sulung, Ardy Wira pada 19 Januari 2019 selepas mendirikan rumah tangga dengan Ardy Damis pada Februari 2018.
Apa yang dilakukan oleh Betty memang patut dicontohi. Pada musim penularan virus Covid-19 ini sebaiknya kita kekal berada di rumah jika tidak perlu keluar. Usahlah membawa anak-anak yang masih kecil berada di tempat awam kerana bimbang sistem imun mereka mungkin tidak dapat menepis jangkitan virus merbahaya ini. Stay Safe ya semua!
Sumber: Gempak