Kehamilan sememangnya cukup indah namun menempuh trimester pertama ternyata cukup menguji kekuatan ibu hamil. Ada daripada kita yang langsung tidak mahu makan dek kerana tiada selera mahupun muntah berpanjangan sehingga ibu hamil takut untuk makan.
Namun ada juga kes di mana ibu hamil merasa loya dan tidak berselera setiap kali melihat makananan, sudahnya ibu hamil hanya minum air dan jus untuk mendapatkan tenaga. Jadi bagaimanakah ibu hamil dapat memberikan nutrisi pada tubuh dan sekaligus bayi di dalam kandungan. Dan adakah perlu ibu hamil mengambil suplemen?
Menurut Dr. Jamali Wagiman, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Columbia Asia, Seremban, terdapat banyak vitamin dan mineral di dalam pasaran. Pengambilannya kerap menjadi topik utama semasa pemeriksaan di klinik atau sesi soal jawab di seminar pra-natal.
Asas sebenar pengambilan vitamin dan mineral tambahan semasa hamil adalah untuk mengurangkan komplikasi buruk yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi. Oleh itu, hanya zat besi dan folic acid sahaja perlu diambil.
Walaupun keperluan zat besi hanyalah 60 mg sehari dan asid folik 400 mg, tubuh manusia tidak mampu menyerap 100 peratus dari pil yang ditelan. Untuk itu, ibu hamil perlu mengambil zat besi, antara 180mg hingga 500mg bergantung kepada formula yang diambil.
Sentiasa perhatikan juga label pada botol dan rujuk semula kepada doktor kerana terdapat formula yang mengandungi paras zat besi yang terlalu sedikit walaupun perisa dan bungkusannya lebih menarik.
Kalsium, Vitamin A, dan zink hanya perlu diambil dalam kes-kes tertentu sahaja manakala pengambilan mineral micronutrient seperti vitamin B6, E, C dan D tidak perlu ditambah.
Kesimpulannya, untuk sihat ketika hamil tidak memerlukan pengambilan berbilang zat dan mineral. Ambil sahaja suplemen yang disarankan oleh doktor kerana itu sebaiknya.
Saksikan Episod ke 8, PA&MA Journey Bersama JoviaNina, setiap Rabu jam 9 malam hanya di Astro Ria saluran 104/124.
Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents