“Tak Menangis & Tak Minta Susu”. Ibu Ini Kongsi Seawal 2 Tahun Anak Dah Tidur Sendiri

Share

“Bila agaknya anak boleh tidur sendiri ni. Dah umur 5 tahun pun masih nak tidur sekali”. Ni antara persoalan yang bermain di fikiran ibu bapa dan dalam masa yang sama tak sampai hati nak biarkan anak tidur dalam biliknya.

Disebabkan kita terlalu fikirkan anak boleh atau tak tidur sendiri, sampai dah masuk sekolah pun anak jadi tak yakin. Nak tak nak, ibu ayah kena biasakan dari awal dan hati kena kental.

Berdasarkan perkongsian ibu ini, Puan Nuursyamien Farhien, pengalamannya membiasakan anak tidur sendiri seawal usia 1 tahun 3 bulan nampaknya berhasil dan sampai sekarang dah berusia 2 tahun 6 bulan dah boleh berdikari.

Berikut antara perkongsiannya..

Usia dua tahun dah tidur sendiri dalam bilik 

Okay macam ni anak saya start umur 1y3 month dia dah berhenti minta susu malam sebab saya fokuskan makan banyak sebelum tidur. Jadi tiap kali tidur malam, dia tak akan bangun minta susu dah.

Bila nampak keadaan ini terkawal, saya mula membiasakannya tidur sendiri dalam biliknya pada waktu siang dulu. Seminggu pertama saya akan bagi waktu siang sahaja dia tidur biliknya. Sambil tu saya uruskan rumah, masak, urus kain baju. Alhamdulillah dia bangun tak menangis.

Umur dia genap 2 tahun saya terus ajarkan dia tidur pada waktu malam di bilik sendirinya. Cuma sebelum dia lelapkan mata, saya akan temankan dia smpailah terlelap dan saya akan keluar, tinggal dia tidur bersendirian.

Sentiasa bagi semangat, hias cantik bilik tidur

Minggu pertama tu memang letih sebab dia akan terjaga pukul 5 pagi masuk bilik. Waktu tu bila saya sedar dia nak tidur sekali, saya akan cakap elok-elok dan temankan dia sekejap untuk tidur sendiri pula dalam biliknya. Sampailah dia dah ok.

Lagi satu saya dan suami buat untuk dia rasa gembira tidur di bilik sendiri, kami penuhkan mainan kegemaran dalam biliknya. Alhamdulillah lama-lama anak saya jadi biasa tidur tanpa saya.

Bukan itu saja, bagi mempersiapkan emosi anak, saya bukan terus tinggalkannya tidur macam tu je. Awal-awal saya selalu bercakap dengannya seperti ni “Cicha dah besar nanti Cicha kena tidur sendiri ye..Cicha kan nak school nanti.” Ayat ini saya sentiasa ulang sampailah dia faham.

Lagi satu saya buat untuk anak tak bagi rasa takut tidur dalam biliknya sendiri, saya akan pasang lampu ruang tami dan buka sedikit pintu biliknya. Ini untuk pastikan ada cahaya malap dan bila dia nak turun sendiri katil, lebih mudah.

Selalu buat aktiviti bersama

Nuursyamien Farhien akui, disebabkan caranya ajar anak tidur sendiri di awal usia, selalu juga orang ‘cop’ saya tak sayangkan anak. Memang masa mula-mula dulu saya rasa down sebab orang selalu kata nanti anak kurang kasih sayanglah, kenapa terlalu awal ajarnya tidur sendiri dan macam-macam lagi.

Tapi saya ambil pendekatan postif je sebab ibu bapa mana nak buat sebegitu dengan anak. Ni semua untuk kebaikan bersama juga.

Walaupun setiap malam anak tidur sendiri, hubungan kami sangat rapat. Setiap hari saya akan libatkan anak dengan bermacam-macam aktiviti untuk dilakukan bersama. Contohnya jika saya sidai kain, dia akan buat sekali. Sekiranya saya masak di dapur, dia pun akan berada di dapur.

Waktu makan saya juga akan pastikan dia ada bersama agar bonding antara kami kuat. Anak zaman sekarang mereka cepat matang dan faham. Jadi saya akui apa yang kita nak untuk anak, jika diniatkan dengan baik, pasti dipermudahkan.

Bukan itu saja, waktu siang atau sebelum dia nak tidur malam, saya akan pastikan buat aktiviti bermain dalam biliknya dan memang nampak dia seronok dan faham. Apa-apa pun, cara kita sebagai ibu bapa penentu untuk anak-anak. Kita yang tahu apa terbaik buat mereka.

Kredit: Syaa Sari

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy