Kehamilan

Tak Minum Susu Faktor Kaki Ibu Kejang Waktu Malam, Betul Ke? Dietitian Terang Fungsi Susu Untuk Kandungan

Share

Susu atau produk tenusu memberikan nutrisi kepada ibu dan kandungan. Susu kaya dengan kalsium untuk gigi dan tulang. Ibu hamil yang kurang mengambil makanan atau minuman yang mempunyai kalsium akan berisiko tinggi untuk kehilangan kalsium dari tulang. Sendi ibu akan berasa sakit, gigi tak kuat kerana kalsium si ibu ditarik oleh bayi dalam kandungan.

“Kak, kaki saya selalu ‘cramp’ lah malam-malam. Ada kaitan ke saya tak minum susu?” Tanya adik M.

Ibu muda di depan saya ini adalah salah seorang penghuni rumah Raudhatus Sakinah, iaitu rumah perlindungan untuk remaja perempuan dengan pelbagai masalah sosial. Usianya baru 14 tahun. Masih keanak-anakan saya lihat, tetapi sudah melalui alam kehamilan yang penuh mencabar.

“Susu semasa mengandung ni perlu ambil untuk memastikan pengambilan kalsium mencukupi. Kalsium bukan sahaja penting, malah adalah kritikal untuk ibu mengandung, kerana kalsium diperlukan untuk bayi membina tulang dan gigi yang kuat.”

“Kalsium juga berfungsi untuk memastikan bayi dapat membentuk jantung, saraf dan otot yang sihat disamping memastikan bayi memastikan ritma jantung yang normal dan proses pembekuan darah berlaku dengan baik.” Terang saya.

“Sekiranya kalsium ibu ambil tidak mencukupi, kalsium akan diambil daripada tulang dan gigi ibu yang boleh membawa kepada osteoporosis dan osteopenia kepada ibu di kemudian hari.”

“Tapi saya tak suka minum susu. Nak muntah rasanya bila minum susu.” Balasnya lagi.

“Cuba angkat tangan, siapa yang tak suka minum susu?” Tanya saya.

Separuh daripada 20 orang pelatih mengangkat tangan mereka. Ramai juga yang tak minum susu.

“Sebenarnya,susu adalah antara sumber kalsium paling mudah didapati dari diet harian. Selain daripada itu, ikan bilis, keju, sayur seperti brokoli, pak choi juga kaya dengan kalsium. Cumanya jumlah kandungan kalsiumnya agak rendah untuk cukupkan jumlah kalsium sehari. Kena ambil dalam jumlah yang banyak baru cukup. Contohnya secawan sayur pak choy hanya memberikan 74mg kalsium. Jika mahu ambil daripada sayur saja mestilah tidak mencukupi keperluan harian kalsium ibu.”

” Ibu mengandung perlukan 1000mg kalsium sehari. Jika ibu di bawah usia 19 tahun, perlukan 1300mg kalsium sehari.”

“Sebagai contoh, segelas susu atau lebih kurang tiga sudu besar susu tepung akan memberikan antara 200-300mg kalsium untuk satu hidangan. Maka, ibu perlu ambil antara 2-3gelas sehari atau lebih untuk mencukupkan keperluan kalsium 1000mg sehari. Jika diambil susu yang tinggi kandungan kalsium yang boleh beri sehingga 500mg kalsium untuk satu hidangan, dua hidangan sehari sudah mencukupi.”

” Selain itu, 100g ikan bilis memberikan 500mg kalsium juga. Jika tidak mahu ambil susu sehingga tiga gelas sehari, mungkin boleh masukkan 100g ikan bilis sehari ke dalam diet harian untuk cukupkan keperluan kalsium 1000mg sehari. Tapi… Boleh ke hari-hari nak makan ikan bilis sahaja?”

Para pelatih ketawa.

” Maka, saranan untuk mempelbagaikan pilihan makanan harian yang kaya dengan kalsium adalah penting diikuti untuk mencukupkan keperluan kalsium harian. Bukan sahaja daripada susu, malah ikan tertentu, sayur juga kaya dengan kalsium.”

“Tetapi… Jika susu pun tak minum, sayur tinggi kalsium pun tak ambil, ikan pun kurang, terpaksa juga ambil suplemen kalsium setiap hari.” Jelas saya lagi.

“Kak, orang kata susu soya boleh minum. Ada kalsium juga. Betul ke?” Tanya Adik M.

“Susu dan produk soya antara makanan yang tinggi kalsium. Biarpun tidak setinggi kandungan susu, tapi boleh diambil untuk mencukupkan keperluan kalsium. Sebagai contoh, susu soya boleh mempunyai antara 80 ke 500mg kalsium. Bergantung kepada jenis susu yang telah difortifikasikan. Ataupun ditambah kandungan kalsium ke dalamnya. Boleh makan juga tauhu, tofu, fucuk dan sebagainya sebagai penambah kalsium dan juga sumber protein.” Cerita saya lagi.

” Tau fufah pun boleh kan kak? Sedapnya…” Tanya sahabat adik M.

” Boleh. Tanpa air gulanya. Makan banyak-banyak kena kencing manis pula nanti.” Balas saya.

” Alaaaaaah…Itu yang sedap.” Kata mereka beramai-ramai.

” Nak sedap ke nak sakit. Pilih? Allah bagi pilihan untuk kita buat. Ingat, apa kita makan, anak pun akan dapat. Tetapi jika makan tidak cukup zat, anak tetap akan ambil zat dari ibu. Ibu akan kurang zat. Kasihan ibu kan. Itu antara hikmah kenapa Allah, suruh taat dan hormat ibu yang banyak berkorban untuk kita.”

“Semasa saya mengandungkan anak dahulu, saya rasa sebak setiap masa. Bila rasa sakit, letih, teringat pada mak saya.” “Macam ni lah Ummi kandungkan aku dahulu. Susah payah bawa diri, semua untuk aku.” “

” Saya mula jadi anak yang taat pada Ummi saya, lebih ambil berat dan hargai ummi saya. Sebab saya tahu, saya balas macamana pun takkan mampu balas semua jasa Ummi saya. Selagi ada mak, berbaktilah. Jika ada rasa dendam, marah pada mak, buanglah. Andai ada salah dia, maafkanlah. Kerana, semua tu takkan dapat balas semua kesakitan dan pengorbanan dia untuk bawa kita ke dunia.” Saya akhiri sesi petang itu dengan sedikit nasihat.

Para pelatih tunduk. Ada rasa sebak dalam hati saya juga apabila memikirkan hebatnya pengorbanan seorang ibu.

” Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Surah Luqman:14)

Sumber: Facebook Ruqqayah Muhd

Published by
NuFa