Kenapa anak tak boleh berenggang langsung? Asyik minta didukung sahaja, nak tidur pun mesti ibu kena ada di sebelah. Kalau letak sekejap mulalah anak menangis! Pastinya ramai ibu bapa alami situasi ni kan?
Bagi ibu bapa yang berada dalam situasi macam ini, perkongsian Hello Doktoryang berkongsi kisah dua ibu muda mengalami fasa anak susah nak berenggang ini dan tip yang dilakukan mereka mungkin boleh membantu.
Personaliti atau sifat bayi itu sendiri yang membuatkan anak tak boleh berenggang langsung dengan parents! Namun, ibu bapa janganlah risau. Anak memang akan menangis. Itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Manakan tidak, mereka tidak boleh bercakap, berjalan atau menunjukkan apa yang mereka mahu. Jadi, hanya dengan tangisan sahajalah anak boleh mendapatkan perhatian ibu ayah.
Anak yang mempunyai ciri sebegini digelar ‘high need’. Pernah dengar tak?
Anak anda mudah menangis kalau tidak didukung? Hendak peluk ibu 24 jam? Masa tukar lampin, nampak muka orang lain pun menangis? Jika ya, mungkin bayi anda grumpy disebabkan mereka tergolong dalam kumpulan ‘high need baby’!
5 tip untuk anak tak boleh berenggang – Sesuai untuk first time mother!
Apa itu high need baby? Bayi dalam kategori ini selalunya akan menangis lebih kerap daripada biasa. Malah, ibu juga mungkin mendapati anak tak boleh berenggang langsung!
Mari ikuti perkongsian tip menguruskan anak clingy daripada dua ibu muda ini; Puan Nur Arina dengan bayinya, Hawa Jasmin dan Puan Najihah dengan bayinya, Seif. Kedua-dua wanita ini merupakan first time mother dengan bayi comel yang sangat clingy!
Puan Arina dan suaminya, Encik Hakim bersama bayi mereka, Hawa Jasmin.
1. Anak tak boleh berenggang? Belajar cara pujuk anak!
Bagi Arina, sebagai ibu kepada ‘high need baby’, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah belajar cara terbaik untuk pujuk anak. Cuba perhatikan apa yang anak suka dan cuba lakukannya supaya anak lebih tenang dan relaks.
“Ibu perlu tahu cara untuk pujuk anak. Kadang-kadang, untuk meredakan tangisan, saya akan dukung dan pujuk Hawa supaya dia berhenti menangis. Saya juga akan bawa Hawa berjalan-jalan di sekeliling rumah. Selalunya cara ini berkesan.”
Ads
Najihah pula tidak menafikan anak tak boleh berenggang merupakan satu cabaran yang besar untuknya yang juga seorang wanita bekerjaya.
“Kadang-kadang, saya terlalu sibuk menguruskan Seif. Tambah pula dengan bebanan kerja, terasa semuanya terlalu banyak untuk ditanggung seorang diri. Jadi, saya dan suami banyak bekerjasama dalam membesarkan anak.”
“Kami akan cuba bangun seawal mungkin untuk siapkan semua kelengkapan Seif sebelum pergi kerja. Masa Seif tidur sahajalah peluang untuk kami berenggang sebentar. Nanti bila Seif bangun, dia akan menangis tengok ibunya tiada di sisi.”
2. Jangan rasa bersalah ketika manjakan anak
Menurut Najihah lagi, jangan sesekali rasa bersalah jika anda perlu manjakan anak. Kalau anak suka didukung, dukung sahajalah asal anak berhenti menangis.
“Memang letih, tapi pada waktu ini, anak inginkan perhatian daripada ibu bapa. Nanti, apabila mereka lebih berusia, barulah ibu boleh ajar anak supaya mereka lebih faham. Kunci utamanya adalah sabar.”
“Anak hanya mahukan perhatian. Selepas sepanjang hari bersama pengasuh, sudah tentulah anak ingin bermanja bersama ibu dan ayah.”
“Selain itu, saya juga sering cari aktiviti untuk alihkan perhatian Seif lebih-lebih lagi ketika saya perlu tinggalkan dia bersendirian buat seketika. Contohnya, saya akan tinggalkan mainan kegemaran anak atau scarf saya supaya Seif lebih tenang.”
Ads
3. Jangan malu untuk minta pertolongan orang lain
Bagi Arina pula, cabarannya dalam menjaga bayi clingy ini mungkin lebih besar kerana terpaksa berjauhan dengan suami. Namun, dia bersyukur kerana sepanjang tempoh berpantang, keluarganya banyak membantu.
“Jangan malu untuk minta pertolongan ibu bapa. Dengan kehadiran orang yang lebih tua dan berpengalaman, saya banyak belajar cara untuk handle anak yang clingy. Malah, ibu saya juga kadang-kadang akan tolong jagakan ketika saya penat dan mula burn-out.”
Anak Puan Najihah, Seif mudah menangis jika tidak didukung.
4. Suami juga mainkan peranan penting
Tidak dinafikan, dalam mengatasi masalah anak tak boleh berenggang, suami memainkan peranan yang sangat penting.
Arina dan Najihah kedua-duanya bersetuju dan mengakui suami bukan sahaja merupakan tulang belakang keluarga, insan yang bergelar ayah ini juga adalah penyokong nombor 1 ibu.
Menurut Najihah, suaminya, Fathi, sangat memahami. Malah, suami jugalah yang akan memandikan bayi, menyuapkan makanan dan juga menidurkan Seif jika Najihah rasa penat.
“Selalunya, kami berdua akan bergilir-gilir dalam menjaga anak. Disebabkan anak tak boleh berenggang dengan parents, suami akan selalu bagi me time kepada saya supaya saya boleh menghilangkan stres dan melepaskan penat.”
Ads
Berbeza pula bagi Arina yang sedang berjauhan dengan suaminya, Hakim. Hujung minggu, suami Arina akan balik dan mula menjalankan semua tanggungjawabnya.
“Bila suami balik pada hujung minggu, dia akan buat semua benda – dari makan pakai anak ke kerja rumah – pendek kata semuanya suami akan uruskan. Saya cuma perlu jaga dan mandikan anak sahaja.”
Arina juga bersyukur suaminya tidak kekok membantu hal-hal keluarga. Secara tidak langsung, perhatian yang diberikan suami memudahkan mereka untuk menjaga Hawa walaupun mereka sedang ber’PJJ’.
5. Jangan risau, semuanya akan berakhir!
Mungkin ramai ahli keluarga yang terdekat akan berikan nasihat yang sama. Bagi Najihah dan Arina, kenyataan di atas ada betulnya!
“Selepas habis pantang, nampak Hawa lebih tenang dan tak menangis sekerap dulu lagi. Perangai merapnya (clingy) juga dah berkurang!”
“Jadi untuk ibu bapa di luar sana, sabar dan layankan sahaja dulu kerenah anak tak boleh berenggang. Ini merupakan masa terbaik untuk ibu luangkan masa bersama bayi tersayang. Nanti bila dah besar, rindu pula!” Ujar Arina lagi mengakhiri temu bu
Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor berkongsi pengalaman baru yang baru dipelajarinya setelah bergelar ibu kepada cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal.
Menurutnya, dia sanggup menuntut ilmu dan masuk kelas melatih tidur bayi sendiri untuk melatih Bilal tidur sendiri seawal usia 5 bulan.
“Harini first day Muhammad Bilal Sleep train, ni bilal sedang nesting for about 15 mins. Sebelum saya letak dalam basinet ni, dah bagi susu, gelapkan bilik dan bonding session 15 min jugak.”
Tambahnya lagi, ilmu sleep training sangat berguna dan boleh membantu bayi tidur sendiri.
“Gigih tau ummi bilal ambil class, actually ilmu sleep training ni sangatlah berguna”
“Dari nesting lagi Ummi Bilal asyik menyorok tak nak bagi dia nampak kita.
“Masa ni Bilal dah tutup mata tapi masih gosok-gosok muka to fall asleep,”
Neelofa juga berharap agar anaknya boleh tidur dengan sendiri tanpa kehadiranya kelak.
“Allah mudahkan sleep train untuk hari pertama, moga esok dan seterusnya lebih mudah. Moga anak soleh ni boleh dilatih menjadi independent sleeper dan membesar dengan baik.”
Perkongsian Neelofa turut menarik perhatian pengikutnya bertanya tentang waktu tidur Bilal.
“Alhamdulillah, dia akan tidur paling lewat 7.30 malam sampai lah subuh.. Tapi akan mintak susu dua ke tiga kali sepanjang 7 malam ke 7 pagi tu. Tapi mata tutup, mulut je bukak minum susu,” jelasnya.
‘Sleep train’ atau latihan tidur sendiri untuk bayi banyak kelebihannya. Bagi yang baru bergelar ibu, boleh cuba mempraktikkan kaedah ini yang pasti menguntungkan si kecil dan anda.
Mendedahkan kaedah itu kepada anak-anak yang masih kecil sebenarnya membantu mereka untuk mendapatkan tidur yang baik dan teratur.
Oleh itu, alangkah baiknya jika para ibu mengambil perhatian mengenai latihan tidur untuk anak masing-masing. Berikut kelebihannya yang perlu diketahui:
1. Latihan tidur membantu melatih bayi untuk tidur dengan sendiri.
2. Bayi tidak memerlukan sebarang alatan atau perhatian seseorang untuk tidur.
3. Anak dan ibu akan dapat tidur mencukupi.
4. Pendedahan kepada latihan tidur sendiri sewaktu usia bayi membuatkan mereka terbiasa dengan rutin tidur harian. Ia akan membantu mereka mendapat tidur yang mencukupi walaupun sudah meningkat remaja.
5. Ibu-ibu mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan apa sahaja kerja rumah tanpa gangguan.
6. Terdapat kajian mengatakan ibu yang mendapat tidur yang cukup, kurang berhadapan dengan masalah kemurungan.
7. ‘Sleep train’ juga akan melatih anak-anak berdikari dan membantu mereka mengawal diri sendiri.
8. Tidur memberi manfaat kepada perkembangan otak dan fizikal bayi. Ia juga membantu otak membesar dengan matang dan menguatkan ingatan.
9. Membantu perkembangan tubuh bayi yang sihat. Kanak-kanak tidak mendapat tidur yang cukup berkemungkinan mengalami obesiti. Oleh itu, tidur mencukupi akan melindungi daripada penyakit dan akan meningkatkan sistem imun.
10. Bayi yang tidur cukup akan berkelakuan lebih menyenangkan,
Justeru, pendedahan latihan tidur kepada anak-anak perlu didedahkan dengan lebih awal agar mereka mendapat tidur yang cukup dan berupaya mengawal diri.
Tak pelik sebenarnya, ada orang dewasa yang jadi ibu bapa memang mahukan anak-anak jadi ‘robot’ sebab senang nak jaga. Apa saya maksudkan dengan robot adalah apabila ibu suruh buat A, anak akan buat A. Apabila ayah kata jangan buat B, anak takkan buat B.
Apabila masa itu masa tidur, anak kena tidur tanpa alasan. Apabila tiba di rumah orang, anak kena behave, sopan, jangan gaduh, makan tertib, jangan sentuh barang mainan orang lain tanpa izin bla bla bla. Apabila disuruh makan, anak-anak makan tanpa sebarang cacat cela. Suap je, makan. Sayur ke, buah ke, semua makan elok je. Makan pula mesti habis, tak membazir langsung.
Apabila berada dalam kereta, anak kena duduk dalam car seat tanpa meraung, menjerit, menangis, bla bla bla. Apabila anak ke sekolah, anak akan belajar elok-elok setiap kali peperiksaan dapat markah paling cemerlang. Dah besar nanti anak kena ikut nasihat ibu bapa hingga dapat kerjaya yang ibu bapa banggakan bla bla bla.
Kan seronok begitu. Saya pun nak.
Tetapi hakikat kehidupan anak-anak tak suka pun dikontrol sebegitu. Anak-anak suka je menjerit tak pasal-pasal. Dia/mereka nak nangis, mereka nangis je walaupun tanpa sebab.
Saya pernah tengok anak kecil itu berbaring-bergolek mungkin 20 meter atas lantai shopping mall sebab mak ayah tak belikan mainan yang disukainya. Anak-anak yang jenis berjaga malam pun ada ramai, masa ibu bapa nak tidur itulah mereka nak ajak main di ruang tamu. Itu belum cerita pasal anak-anak yang hanya akan tidur setelah didodoikan sambil berdiri (dukung), memang jenuh nak layan.
Ada anak yang gembira sungguh apabila dijemput oleh ibu bapa dari rumah pengasuh atau sekolah, apabila tiba di rumah dia merengek, manja, tantrum tak tentu pasal, meraung macam kena sampuk hantu, asyik ak berkepit dengan ibu atau ayah sampaikan ibu ayah nak mandi pun tak boleh.
Sampai satu tahap ada orang cakap anak jadi sebegitu sebab mak ayah tak reti jaga anak.
Sampai satu tahap orang kritik ibu bapa itu tak kawal anak supaya tak kurang ajar.
Sampai satu tahap ada orang kata anak-anak itu dilahirkan biadab dan nasibnya pula dibesarkan oleh ibu bapa yang biadab juga.
Sebenarnya kita kena bezakan anak-anak yang tidak dididik berbanding anak-anak yang berperangai sebagaimana kanak-kanak. Anak-anak kecil bukannya tahu apabila makanan siap dimasak, kena terus makan. Tak boleh minta makanan jam 2 pagi, kesian kat ibu atau ayah nak masak jam 2 pagi. Hmmmm… Susah nak cakap. Ada je orang dewasa yang jam 2 pagi suruh isteri masak sebab tiba-tiba lapar. Eh, ada je orang dewasa jam 2 pagi lepak di restoran mamak.
Kena bezakan anak-anak yang malas belajar dengan fitrah mereka untuk belajar sambil main. Kita tak boleh expect anak untuk duduk diam tengok buku 1 jam tanpa bergerak ke sana ke mari kan… Logik sangat anak kecil itu bermain pada waktu bermain dan pada bukan waktu bermain, sementelah belajar pun mereka boleh nak bermain sewaktu masa belajar. Mereka kan anak-anak kecil.
Sebenarnya kena syukur apabila anak-anak boleh menangis dengan baik. Itukan tanda mereka boleh meluah perasaan dengan baik.
Kena syukur anak kita makan makanan kegemaran mereka dengan berselera, walaupun comot. Tak mengapalah makan coklat sekali-sekala kotorkan baju, bukan setiap hari pun.
Kena syukur anak-anak berlari ke sana ke mari dengan senyuman gembira. Bak kata orang, jatuh pun satu cara anak-anak belajar tentang sakit, sikap berhati-hati, bla bla bla.
Kalau anak-anak kecil kita jadi robot pun, tak best juga. Bosan kottt.
Tak mudah untuk kita orang dewasa ini jadi ibu bapa zaman sekarang. We are being judged by ourselves and also by other people. Tak kena sikit, terus dilabel ibu bapa yang gagal, tak reti kawal anak, tak reti didik anak, tak reti mendidik.
Tetapi sebenarnya tak mudah jadi anak-anak zaman sekarang. Berperangai macam kanak-kanak sebab mereka adalah kanak-kanak tetapi dilabel tak dengar kata, manja, biadab, malas, hmmm.. tak tahu nak kata apa.
Saya ni jenis ‘tutup mata’ apabila lihat gelagat anak-anak orang lain. Biarlah buat apa pun, jangan kita cepat menghukum anak-anak itu atau ibu bapa mereka. Kita buat rilek je. ‘Butakan mata’ kita. Selepas itu ‘bisukan mulut’ jangan bercerita macam-macam pasal anak orang dengan orang lain atau jiran.
Bukan apa, saya pun tak nak orang ‘cari salah’ anak-anak saya apatah lagi sembang bukan-bukan pasal anak-anak saya.
Tengok satu kali budak tu tak jawab “Ya” apabila dipanggil ibunya tak bermaksud budak tu tak dengar kata, mungkin budak itu teruja jumpa kawan atau mainan baru jadi dia tak dengar panggilan ibunya. Ralit, orang kata. Tak bererti dia ignorant atau degil. Boleh faham maksud saya?
Anak ada bakat? Sertai Bakat Cilik Pa&Ma sekarang!! Kalau anak-anak ada bakat hebat, janganlah simpan sendiri. Jom, support mereka dengan menyertai Bakat Cilik Pa&Ma. Rakam aksi anak-anak dengan bakat mereka dan hantarkan kepada Pa&Ma.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berkahwin, mempunyai anak dan membina keluarga bahagia semuanya impian setiap pasangan yang berkahwin. Namun demikian dalam bab perancangan keluarga juga, ia penting mendapat persetujuan bersama.
Ini untuk memastikan suami atau isteri sentiasa rasa berlapang dada dalam menjalani kehidupan bersama. Termasuklah merancang bilangan anak. Memang rezeki anak Allah yang tentukan, tapi jika kedua-dua bersetuju dan mampu untuk berikan yang terbaik tak mengapa.
Andai kata ekonomi keluarga pun sederhana dan suami fikirkan kesihatan isteri mintalah pendapat bersama. Ini untuk pastikan amanah yang diberikan Allah dijaga dan diberi pendidikan sebaiknya dunia akhirat.
Seperti perkongsian Nurul Hasna’ Hazni, bab kehamilan seharusnya memerlukan persetujuan suami isteri. Ini untuk memudahkan pasangan itu sendiri.
1 Januari lepas, ketika sedang mengalihkan perancangan-perancangan yang tertangguh dan yang masih perlu berlangsung untuk dibawa ke tahun baru, saya tersengih melihat perancangan di bulan Oktober 2020.
Sungguh jelas dan berwawasan perancangannya. Haha.
Walaupun Allah izin, kehamilan bermula lebih awal pada bulan Julai. We are surprised yet predictable. alhamdulillah haza min fadhli Rabbi.
Sejujurnya setiap anak kami adalah anak di bawah perancangan dan persetujuan bersama. Kami berbincang untuk dimulakan kehamilan pada waktu-waktu tertentu agar persiapan fizikal, mental dan emosi kami, suami isteri serta termasuk anak-anak sedia ada dapat dibina biiznillah.
Terutama kehamilan kali ini, kami mendapatkan juga persetujuan bersama anak-anak sedia ada, adakah mereka bersedia mendapat adik baby? Adalah Fayyadh bersedia menjadi abang kepada dua orang adik? Adalah Furqan bersedia menjadi abang?
Alhamdulillah kami bersyukur kerana respon mereka positif. Selepas diizinkan Allah memperolehi berita kehamilan, kami memaklumkan kepada anak-anak dan mereka sangat gembira bercampur teruja.
MENGAPA KEHAMILAN MEMERLUKAN PERSETUJUAN SUAMI DAN ISTERI?
Kerana itu adalah tanda saling menghormati dan saling memuliakan antara suami dengan isteri sebagai dua orang manusia yang menjalani kehidupan bersahabat dan berkomunikasi sihat.
Kawan, Proses kehamilan dan penyusuan adalah proses yang memberi pekerjaan baru kepada isteri. Pekerjaan yang membataskan tenaga, masa dan kemampuan isteri untuk menjalankan tanggungjawab sedia ada sama ada sebagai seorang isteri, ibu, pekerja mahupun pelajar atau lain-lain.
Pengalaman kehamilan peribadi, di fasa terawal, saya akan bertukar menjadi kain buruk yang terlalu royok dan monyok. Semua perkara yang masuk akan dilonjak keluar oleh perut. Senyuman mati dan mata sentiasa menangis. Loya itu bukan sekadar apabila makanan atau minuman memasuki kerongkong, malah air liur sendiri meloyakan. Kain lap perlu sentiasa ada bagi mengelakkan air liur meleleh keluar kerana tekak memang tidak mampu menelannya.
Beberapa bulan berkondisi begitu. Solat tidak mampu sempurna kerana tidak boleh rukuk dan sujud dek sedikit bongkok sudah terasa bagai gelongsor yang meluncur keluarkan isi perut. Mulut hanya diam kerana pergerakan untuk bercakap umpama pam yang menggerakkan aliran dari bawah.
Suami?
Pandai-pandailah beliau hidup saat itu kerana untuk saya hidup pun sudah terlalu perit
Lalu bagaimana sekiranya ada suami yang mendakwa isteri kurang memberi layanan ketika isteri hamil sedangkan isteri sedang hampir ‘terbunuh’ oleh benih dirinya sendiri? Sungguh syaitan lelaki yang merungut sedemikian.
Jika tidak mahu terkurang walau seinci layanan bagai raja, jangan pernah terfikir untuk menghamilkan isteri.
Kemudian ditambah pula proses penyusuan selama dua tahun. Penyusuan badan menjadikan tubuh badan isteri sebagai hak mutlak bayi meski tanpa rela.
Anak akan melekat. Anak akan mencari. Anak akan membuatkan isteri lesu tidak tidur malam. Anak akan menyebabkan isteri terhalang dari menghabiskan sebahagian besar urusan rumahtangga.
Belum dicampur penambahan jadual pam susu ke dalam diari harian si ibu. Belum diselak rasa lapar ibu sepanjang tempoh penyusuan. Belum dilihat rasa ‘inferiority’ ibu terhadap perubahan tubuh badan selepas proses kehamilan, kelahiran dan penyusuan.
Lalu, bagaimanakah ada suami mampu berhati buta merungut rasa tersisih dek isteri perlu utamakan anak kecil yang melekat? Bagaimana tegarnya suami mempertikai isteri yang tidak sehangat dahulu dek dia buta melihat isteri lesu oleh hasil benih dirinya sendiri?
Kredit: pexels.com
MENGAPA KEHAMILAN MEMERLUKAN PERSETUJUAN ANAK-ANAK?
Anak-anak adalah anugerah. Setiap seorang dari mereka. Setiap seorang.
Anak yang belum wujud bukan di dalam bidang tanggungjawab kita, namun anak sedia ada adalah amanah dan mesti menjadi fokus utama kita.
Kawan, Anak-anak memerlukan kita secara fizikal, mental dan emosi. Mereka mahukan kita, ibu bapanya secara jelas keberadaannya bersama mereka (fizikal), mereka mahukan kita meletakkan mereka sebagai keutamaan atau prioriti dalam setiap perancangan dan keputusan kita (mental) serta mereka memerlukan kasih sayang kita yang mesti ditunjukkan agar mereka tahu bahawa kita menyayangi mereka sepenuh jiwa (emosi).
Sekiranya membesarkan anak dengan cuma memberi gadget untuk ditonton atau cuma untuk dikhabarkan pada dunia bahawa kita subur dan tidak mandul, celakalah kita yang sedang membinasakan jiwa makhluk yang bakal mendewasa mewarnai dunia.
Dan setiap proses kehamilan mengambil tempoh 9 bulan dari kehidupan normal antara ibu dengan anak-anak sedia ada. Belum dicampur fasa berpantang dan biasa di awal penyusuan.
Ibu yang sedang kelepek, muntah dan lemah, apakah punya waktu untuk bermain dengan anak? Anak sedia ada memerlukan ruang untuk menyesuaikan diri dengan kondisi baru ibu mereka. Mereka pasti berasa sedih, keliru dan kecewa apabila ibu tidak lagi seriang dahulu dan tidak lagi dapat bermain secergas dahulu.
Kredit: pexels.com
Kemudian saat kandungan membesar, ibu semakin mudah sakit dan tidak lagi boleh diluru untuk dipeluk keras atau dipanjat. Pergerakan ibu terbatas. Anak semakin terasa jauh.
Sejujurnya pengalaman kehamilan kedua dan ketiga, rasa bersalah pada anak sedia ada sangat menebal. Terutama apabila anak meluahkan rasa sedih, “lama kita tak main dengan bonda”, walaupun kemudiannya dijawab sendiri oleh anak “yela kan dalam perut bonda ada baby” sambil diteruskan dengan gaya dan acara berebut untuk bercakap dengan baby
Saya tidak menulis hantaran kali ini dengan dalil agama, kerana asasnya hantaran ini adalah pandangan peribadi. Lagipun telah ditulis isu ini menurut hukum Syarak dalam hantaran-hantaran lepas.
Sungguh.
Ketahuilah bahawa Islam lebih dahulu membawa perjuangan memberi rahmah kepada setiap jiwa dalam urusan berumahtangga. Kerana hakikatnya sakinah, mawaddah warrahmah adalah matlamat membina syurga di dalam keluarga dalam rangka membina syurga di akhirat insyaAllah.
Seorang bonda yang terlalu banyak kelemahan, Nurul Hasna’ Hazni
#tipsdarimakcik
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!