Kisah lima beranak yang tinggal dalam kereta sejak lapan bulan lalu dengan anak-anak kecil telah mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew. Apa yang membuatkan orang ramai terharu tindakan pantasnya itu memberi harapan baru buat ahli keluarga tersebut.
Menurut beliau, kisah sedih keluarga tersebut sampai ke pengetahuannya ketika berada di Johor semalam hingga membuatkan air matanya tertumpah.
“Menangis saya bila mengetahui kisah Ganesh dan isteri Parameswari serta 3 anak kecil tidur 8 bulan dalam kereta je. Sedihnya lapan bulan makan tidur dalam kereta. Mandi di tandas awam. Kerja pengawal keselamatan (shift) malam bawa keluarga tidur dalam kereta.
“Rumah mereka terbakar bulan empat. Semua musnah. Sedihnya rasa. Saya tidur lena makan sedap, ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta,” jelasnya sayu menerusi perkongsian di Faceboooknya.
Akibat dihimpit kekangan, difahamkan Parameswari (isteri) pernah terpaksa menjalani tempoh berpantang selepas bersalin hanya di dalam kereta itu sahaja.
Dalam pada itu, walaupun sekadar sebuah ‘rumah’ kecil yang sempit, kedatangan Ustaz Ebit ke sana disambut meriah dengan gelak tawa si anak kecil.
“Sampai saja tengok muka anak comel sangat. Ceria saja masa belikan kek, makan dengan mereka,” katanya.
Difahamkan, kediaman asal mereka sebelum ini musnah dalam kebakaran dan sejak itu, sudah dua kali permohonan rumah baharu telah dibuat.
Bertindak atas rasa simpati, Ustaz Ebit menyediakan sebuah rumah sewa sebagai tempat tinggal mereka sekeluarga, manakala kosnya akan ditanggung buat sementara waktu.
“Saya sewakan rumah cantik, selesa, ada tiga bilik. Saya akan bayar sewa rumah untuk sebulan sementara mereka dapat rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Sudah dua kali mohon semenjak rumah terbakar. Tapi jika mereka terus ingin terus (tinggal) di situ (rumah sewa) pun saya akan terus bayarkan dengan gembira,” tambahnya.
Seperti biasa, bukan sahaja sebuah rumah yang selesa ‘dihadiahkan’ buat mereka, malah kelengkapannya juga turut sama diberikan.
“Saya hadiahkan peti ais, mesin basuh, televisyen, pemasak nasi, dapur, kipas, katil saiz Queen satu, katil bujang dua, barang dapur dan duit belanja.
“Tak berhenti Ganesh dan isteri cakap terima kasih. Mereka menangis terharu. Katanya kenapa banyak sangat ustaz. Mereka suka sangat tengok rumah baru, cantik dan selesa.
“Gembira dapat tengok senyuman anak-anak. Doakan perjalanan nak balik ke Kuala Lumpur. Sudah empat hari di luar,” katanya lagi.
Kredit: Ustaz Ebit Lew
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)