Mama papa tidak perlu pakaikan bayi sarung tangan terlalu lama sangat kalau nak bantu perkembangannya. Memakaikan bayi sarung tangan terlalu lama adalah satu kesilapan yang perlu diperbetulkan.
Sarung tangan atau mitten dipakaikan kepada bayi berfungsi untuk mengelakkan bayi terlalu sejuk dan mengelakkan mereka mencakar muka dan mata. Sebulan pertama sarung tangan memang elok dipakaikan kepada bayi tetapi pastikan ia tidak perlu terlalu lama.
Mama dan papa masih boleh memakaikan bayi sarung tangan sekiranya bayi sedang tidur dalam pendingin hawa, suhu persekitaran yang sejuk dan sebagainya.
PERGERAKAN TANGAN MULA BERKEMBANG
Bayi 1 hingga 3 bulan sudah mula belajar untuk membuka genggamannya. Mereka juga belajar untuk membuka dan dan menutup genggaman mereka, Jika mainan jenis kerincing yang diletakkan pada tangan dan menggerak-gerakkannya kerana suka akan bunyinya. Ini adalah perkembangan yang baik dan perlu digalakan pada usia ini.
Bayi pada usia ini juga mula menerokai persekitaran mereka dengan tangan, menjangkau, mengayuh kakinya dan menggenggam mainan. Mereka juga akan mula melihat tangan dan kaki mereka dan menjadikannya ‘sumber hiburan’. Bayi suka menatap tangan mereka, bermain dengan jari mereka, dan membawa tangan atau mainan ke mulut.
Oleh sebab itu, pemakaian sarung tangan perlu dihadkan atau dielakkan semasa bayi terjaga untuk menggalakkan penerokaan ini dan meningkatkan penguasaan skil motor halus.
Anda juga boleh ambil tangannya dan gerakkan seperti menepuk sambil menyanyi. Dia tentu suka dan seronok!
PERKEMBANGAN BAYI 1 HINGGA 3 BULAN
MULA KENAL SUARA DAN WAJAH
Pada usia 1 hingga 3 bulan bayia sudah mula mengenal suara, wajah dan sentuhan. Kehadiran mama dan papa yang akan menjadikan dia tenang dan selesa dan ini menyebabkan mereka mula memberikan respons kepada apa yang anda lakukan dan sudah boleh senyum!
LEBIH PEKA
Mereka akan lebih banyak berjaga berbanding tidur. Ini menjadikan mereka sentiasa peka dan rasa ‘ingin tahu’ semakin bercambah tentang anda dan objek yang mereka lihat.
FIZIKAL LEBIH KUAT
Fizikal mereka juga lebih kuat berbanding sebelum ini dan berupaya menyelaraskan pergerakan. Galakan proses pembelajaran dengan bercakap dengannya, memberi respons kepada ekspresi vokalnya dan menyediakan mainan yang sesuai dengan umur yang berwarna-warni amat membantu si kecil.
KARAKTER MENYERLAH
Dalam tempoh 1 hingga 3 bulan, karakter si kecil mula menyerlah. Tidak seperti bayi yang baru lahir bergantung kepada orang lain untuk memulakan interaksi, menjelang akhir bulan ketiga bayi anda mula menunjukkan ekspresi wajah, suara, dan gerak isyarat badan.
MEMBERI RESPONS
Penglihatan mereka juga semakin baik dan bayi sudah boleh mengenalpasti satu pemandangan dan bunyi yang berbeza. Dia sudah semakin pandai membaca ekspresi muka anda dan mendengar suara anda dengan memberikan respons kepada agahan anda. Malah dia sudah pandai membalas senyuman. Nanti bila menginjak ke usia 3 hingga 4 bulan mereka boleh ketawa dengan kuat ketika berasa gembira!