Berat badan bayi bukan untuk melihat sama ada bayi kurus atau gemuk, ia merujuk ia adalah penanda aras perkembangan dan tumbesaran bayi. Tumbesaran bayi mesti mengikut aliran carta kesihatan yang betul.
“Berapa berat baby ni?” Itulah antara soalan ‘wajib’ yang sering ditanya setiap kali berbual tentang perihal bayi. Isu berat badan bayi juga ada kala menimbulkan kebimbangan pada ibu bapa apabila ia tidak selari dengan perkembangannya.
FAKTOR GENETIK, KESIHATAN & PEMAKANAN IBU TENTUKAN BERAT BADAN BAYI SEMASA LAHIR
Bayi dilahirkan dengan ukuran dan ciri yang berbeza. Berat badan bayi yang baru dilahirkan berbeza antara 2.5 hingga 4.5kg. Ukuran berat bayi boleh ditentukan berdasarkan faktor genetik, kesihatan ibu dan pemakanan ibu sepanjang kehamilan.
Selalunya berat bayi bergantung kepada berat lahir. Menjelang umur lima hingga enam bulan, kebanyakan bayi akan mencapai berat badan dua kali ganda daripada berat badan ketika dilahirkan.
Makanan amat penting untuk pertumbuhan bayi. Bagi enam bulan pertama bayi amat bergantung kepada susu ibu. Ketika ini berat bayi akan meningkat. Namun bagi bayi yang mempunyai masalah kesihatan seperti masalah penghadaman, cirit birit berterusan, muntah akan menjejaskan perkembangan bayi. Bayi perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor.
IBU BESAR BERMAKNA BAYI JUGA BESAR?
Ibu yang mempunyai saiz badan yang besar maka bayinya juga besar atau ibu mempunyai saiz badan kecil? Fakta ini tidak benar! Namun, jika berlaku, ia mungkin disebabkan oleh faktor genetik, bayi yang dilahirkan adalah sihat.
Ada juga yang disebabkan oleh masalah kesihatan seperti rahim, uri, pemakanan dan penyakit yang dihidapi oleh ibu semasa hamil. Misalnya kencing manis tidak terkawal semasa hamil akan mengakibatkan bayi dilahirkan bersaiz besar.
BERAT BADAN BAYI DIREKODKAN LEPAS LAHIR
Selepas dilahirkan, bayi akan ditimbang dan berat badannya akan direkodkan dan perkembangannya dicatitkan setiap bulan walaupun ketika anda masih berpantang. Malah ia diteruskan semasa anda mendapatkan suntikan imunisasi anak di klinik.
Maklumat tumbesaran bayi akan dicatatkan dalam rekod kesihatan bermula setelah bayi dilahirkan.
NAIK BERAT TERLALU TINGGI PERLU DIRUJUK KEPADA DOKTOR
Jika bayi anda dilahirkan bersaiz besar, ia tidak perlu dirisaukan asalkan beratnya dalam lingkungan kesihatan. Jika berlaku peningkatan yang tinggi sehingga keluar daripada had paras yang sepatutnya, doktor atau jururawat akan bertanya mengenai jumlah penyusuan bayi, berapa kali bayi kencing dan berapa lama dia tidur.
LEPAS LAHIR 10 HARI, BERAT BAYI BOLEH TURUN HINGG 20% DARI BERAT BADAN ASAL
Apabila anda menyedari bahawa berat bayi menurun, jangan panik! Ia perkara biasa bagi bayi selepas dilahirkan. Biasanya selepas 10 hingga 14 hari, berat bayi akan menurun antara 10% hingga 20% daripada berat badan asal. Dapatkan pemantauan kesihatan bayi untuk mengesan sebarang ciri abnormal jika berat badannya semakin menurun!
BERAT BADAN KURANG, IBU MESTI PASTIKAN PEMBERIAN HINDMILK MENCUKUPI & PELEKAPAN BETUL
Sebelum lahir, bayi mendapat bekalan nutrien melalui plasenta secara tetap, tetapi selepas dilahirkan bayi mendapat sumber makanan melalui penyusuan susu ibunya. Selepas dua minggu berat bayi akan mula bertambah disebabkan oleh penyusuan susu ibu.
Tetapi jika berat bayi masih berkurangan iaitu tidak mengikut carta kesihatan yang betul, ia mungkin disebabkan kesihatan bayi dan tidak mendapat susu ibu yang cukup. Oleh itu, ibu perlu mendapatkan maklumat mengenai penyusuan susu ibu yang betul seperti pelekapan dan tempoh penyusuan sehingga bayi kenyang (pemberian susu foremilk dan hindmilk kepada bayi).
BAYI KURANG BERAT BADAN
Ia tidak menjadi masalah asalkan berat bayi masih lingkungan carta kesihatan. Tetapi jika berat bayi telah turun ke paras yang rendah pihak doktor akan membuat pemeriksaan lanjut.
Bayi pramatang selalunya dilahirkan kurang berat badan dan tidak boleh dibandingkan dengan bayi yang dilahirkan cukup bulan. Bayi pra matang mempunyai carta perkembangan khas sendiri. Selalunya bayi pramatang mempunyai jadual penyusuan untuk menaikkan berat badannya. Ini kerana bayi pra matang ini kerap tidur dan tidak akan bangun untuk menyusu. Oleh itu, bayi pra matang diberi susu khas untuk meningkatkan berat badannya. berbanding permintaan penyusuan bayiz
Kembar selalunya dilahirkan dengan berat badan yang berbeza. Jadi setiap mereka mempunyai carta dan perkembangan masing-masing.
PANTAU PERKEMBANGAN BERAT BADAN BAYI
Biasanya, perkembangan bayi akan dicatat dalam carta kesihatan pertumbuhan bayi. Carta ini dijadikan rujukan dan panduan untuk mengetahui sama ada bayi mengalami pertumbuhan yang normal atau tidak.
Pastikan anda melakukan pemeriksaan rutin perkembangan kesihatan bayi untuk mengetahui perubahan-perubahan yang terjadi setiap bulan.
Carta ini akan dapat membantu jika timbul sebarang masalah kesihatan kepada anak anda. Melalui carta kesihatan bayi akan menunjukkan berat badan idea pada setiap bulan dan pertumbuhan tinggi dan ukuran lilitan kepalannya.
Menurut carta pertumbuhan kesihatan, berat badan bayi yang sihat akan menunjukkan peningkatan pada setiap pertambahan usianya.