Setiap ibu bapa pastinya teruja dengan perkembangan anak yang seiring dengan usia. Dengan kata mudah “Anak cepat belajar”.
Namun dalam tak sedar mungkin kita sudah mengheret anak dalam perlumbaan “anak siapa lebih pandai dan lebih cepat” dalam perkembangan hidup mereka. Menurut Parent Connect hal ini menjadi trend dalam kehidupan.
APA YANG KITA KEJAR?
Dari lahirnya seorang anak, ibubapa sudah mula berlumba-lumba sesama sendiri tanpa kita sedar. Kita mengheret sama bayi dan anak kecil yang tidak tahu apa-apa dalam perlumbaan yang kita cipta. Media sosial merancakkan lagi pertandingan antara ibubapa dan menyebabkan tekanan yang melampau ke atas anak-anak walaupun kita tidak mengakuinya.
Siapa menyusu badan, siapa menyusu botol?
Siapa rajin menyediakan makanan ‘home-cooked’ untuk bayi?
Bayi siapa yang tidur nyenyak sepanjang malam?
Bayi siapa yang paling cepat merangkak?
Bayi siapa yang paling cepat berjalan?
Siapa yang paling banyak menyediakan aktiviti untuk anak-anak kecilnya?
Anak siapa yang paling awal membaca?
Anak siapa yang paling mahir matematik?
Anak siapa yang paling cepat bercakap?
Anak siapa yang sering mendapat no. 1 semasa tadika?
Anak siapa yang paling berakhlak?
Anak siapa menghafal Al Quran dari bayi?
Keputusan peperiksaan anak siapa sentiasa cemerlang?
Anak siapa yang berjaya memasuki sekolah berasrama?
Anak siapa yang paling berbakat?
Anak siapa mempunyai skil yang hebat?
Anak siapa dapat memasuki universiti awam dan terkemuka?
Persaingan tidak putus-putus.
Setelah hampir 30 tahun mengkaji tentang kesan persaingan di kalangan pelajar, Alfie Kohn, seorang Pakar Pendidikan yang terkenal, merumuskan dalam buku “No Contest – The Case Against Competition” bahawa persaingan tidak semestinya menjadikan pelajar lebih cemerlang.
Apabila peperiksaan dijadikan kaedah penilaian dari peringkat tadika lagi, kanak-kanak yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang akan kehilangan motivasi untuk belajar dari awal lagi. Kanak-kanak yang cemerlang pula akan sentiasa merasa tertekan untuk mengekalkan kecemerlangan dalam persaingan secara berterusan.
Kanak-kanak kecil ini tidak mempunyai peluang untuk meneroka kelebihan dan keupayaan diri kerana mereka dihakimi terlalu awal dalam persaingan dan pertandingan yang tidak mereka pinta.
Dalam kajian-kajian yang dijalankan selama 60 tahun,
1) 65 kajian mendapati bahawa kanak-kanak belajar dengan lebih bermakna dan efektif apabila mereka belajar melalui kolaborasi dan bukannya persaingan sesama sendiri.
2) 8 kajian mendapati bahawa persaingan menjadikan pembelajaran lebih efektif.
3) 36 kajian mendapati bahawa tiada perbezaan kepada keberkesanan pembelajaran antara persaingan dan kolaborasi.
Kajian juga mendapati bahawa bahagian otak yang mengawal ketakutan (fear) menjadi lebih aktif apabila kanak-kanak mengetahui bahawa tugasan yang diberikan kepada mereka adalah satu pertandingan sesama mereka.
Kanak-kanak tidak merasa selamat dan selesa dalam proses pembelajaran yang berteraskan persaingan sedangkan perasaan selamat dan selesa adalah elemen penting supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna dan efektif.
Kurangkan persaingan dan perbanyakkan kolaborasi sesama pelajar supaya mereka lebih berminat untuk menuntut ilmu.
Sumber; Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.