Cara terbaik mengeratkan hubungan dengan anak adalah dengan bermain bersama mereka. Namun, adakah anda tahu, ia juga baik untuk perkembangan otak si manja?
Sememangnya diakui meluangkan masa bermain bersama anak, melayani kerenah mereka sudah tentu akan mengeratkan lagi hubungan anda dengan si kecil. Bukan itu sahaja, menurut penyelidikan diterbitkan dalam Psychological Science, ia turut akan merangsang perkembangan bahagian otak tertentu, anak dan juga ibu bapa.
Saintis dari Princeton University, Amerika Syarikat, dapat melihat fenomena aktiviti perkembangan otak beberapa responden yang terdiri daripada bayi dan juga individu dewasa.
Analisis daripada kajian tersebut mendapati bahawa otak bayi dan individu dewasa mengalami pelbagai aktiviti saraf yang sama ketika aktiviti bermain bersama anak dilakukan. Aktiviti saraf naik dan turun pada masa yang sama setiap kali kedua-duanya berkongsi mainan dan melakukan hubungan mata secara langsung.
Dua kumpulan kajian
Dalam kajian yang dilakukan, saintis membahagikan responden kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama, melibatkan ibu bapa dan si kecil berinteraksi secara langsung selama 5 minit. Ibu bapa akan mengajak anak untuk bermain permainan, menyanyikan lagu atau bercerita sambil anak duduk di atas pangkuan.
Kumpulan kedua pula, penyelidik akan berbual dengan ibu bapa dan bayi dibiarkan untuk bermain. Sepanjang tempoh kajian, tiada interaksi secara langsung antara ibu bapa dan si anak.
Sepanjang kajian dilakukan, kedua-dua kumpulan ini menggunakan alat khas untuk merakam aktiviti otak mereka.
Melalui hasil rakaman, ibu bapa dan bayi yang berinteraksi secara langsung akan mempunyai aktiviti saraf yang sama pada bahagian otak yang berlainan. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku pada otak ibu bapa dan bayi yang tidak mempunyai interaksi langsung.
Peranan otak
Apabila komunikasi berlaku, seperti ketika waktu bermain bersama si kecil, otak bayi dan ibu bapa mengalami keadaan yang dikenali sebagai feedback loop.
Apakah itu feedback loop?
Pada ketika feedback loop berlaku, otak ibu bapa sebagai individu dewasa dapat meramal bila si kecil akan ketawa. Manakala otak bayi pula meramal saat ibu bapa akan bercakap dengannya.
Sebagai contoh, pernah tak anda melihat video rakaman si kecil yang diagah individu dewasa? Ada kalanya mereka akan kembali ketawa walaupun sebelum agahan dilakukan, bukan?
Tanpa anda sedari, otak si kecil seakan ‘memberikan arahan’ kepada otak anda ketika bermain bersamanya. Interaksi ketika bermain bersama si kecil ini akan berlaku secara berterusan dan menjadi lebih kuat jika terdapat hubungan mata dan penggunaan alat mainan.
Apakah jenis permainan sesuai ketika bermain bersama si kecil?
Tabiat bermain bersama anak adalah satu perkara baik yang sangat digalakkan. Tetapi aktiviti itu pastinya akan menjadi bosan jika tidak menggunakan permainan yang bersesuaian mengikut usia si kecil.
Anda amat disarankan untuk memilih permainan mengikut peringkat usia anak bagi mendapatkan manfaat yang optimum. Jadi apakah jenis permainan yang sesuai untuk bermain bersama anak?
Menurut American Academy of Pediatrics, terdapat beberapa jenis permainan yang boleh anda cuba, antaranya:
Baru lahir hingga usia 6 bulan
Cara paling mudah untuk bermain bersama bayi ketika usia ini adalah dengan memberikan respons setiap kali dia tersenyum. Melalui ekspresi muka dan suara anda, ia dapat membantu melatih kemampuan sosial dan emosinya.
Untuk menjadikan ‘interaksi’ anda berdua semakin meriah, anda boleh membuat bunyi atau suara seperti si manja anda. Ia akan kelihatan seperti anda sedang berborak bersamanya.
Apabila si kecil berusia beberapa bulan, anda boleh bermain bersama bayi dengan menunjukkan mainan yang mempunyai warna dan tekstur berbeza. Letakkan si kecil pada kedudukan yang selesa dan membolehkan si manja melihat perkara yang berlaku di sekelilingnya.
Usia 7 hingga 12 bulan
Pada ketika ini, biarkan si kecil untuk merangkak dan bergerak dengan bebas. Namun, pastikan persekitaran sekitarnya selamat.
Sekiranya si manja menjatuhkan sesuatu permainan, cuba dekatkan mainan tersebut agar ia boleh mengambilnya sendiri. Anda juga boleh menggunakan cermin untuk membolehkan si kecil melihat ekspresi wajahnya sendiri.
Usia 1 hingga 2 tahun
Pada tempoh ini, anda harus memberikan si kecil ruang untuk meneroka dunia. Anda boleh memberikan si manja mainan kayu (wood block), sudu atau sebarang mainan yang boleh mengasah kreativitinya.
Tetapi pada tempoh ini, sebaiknya elakkan daripada memberi sebarang gajet kepada si kecil untuk mengajaknya bermain bersama. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlaku ketagihan gajet kepada si manja.
Anda juga boleh membiarkan si manja untuk bermain dengan bayi seusia dengannya. Selain, itu anda juga boleh mengajar si kecil bermain permainan pretend play seperti makan, minum, tidur dan sebagainya.
Bermain bersama anak adalah langkah terbaik untuk menyokong perkembangan si manja. Luangkan masa bersama si kecil sekerap yang boleh. Ia dapat membantu tumbesaran bayi anda untuk membesar dengan sihat, gembira dan aktif.
Anda tidak perlu memberikan si kecil barang mainan yang mahal. Sebaliknya apa yang ada di rumah juga boleh diberikan kepada si kecil seperti kotak kosong atau bekas makanan sebagai mainannya.
Tetapi gajet adalah perkara yang paling perlu dihindari dan jangan menjadikan ia sebagai pilihan untuk diberikan kepada si kecil, okay?