Dewasa ini semakin banyak ibu bapa yang mendapat kesedaran untuk membuat tabungan buat anak-anak. Pelbagai bentuk tabungan seperti wang, emas dan saham diadakan untuk kemudahan anak-anak pada masa hadapan. Terdapat juga pelan insurans yang ditawarkan bersama pakej simpanan. Adakah tabungan ketika dalam kandungan dibolehkan dalam Islam?
Menurut pendakwah bebas, Ustaz Nurzamir Zakaria, menabung dapat melatih anak-anak menjadi seorang yang berhemah, berbelanja mengikut kemampuan dan merancang masa depan yang lebih baik dengan simpanan yang dibuat. Anak-anak yang dibiasakan dengan program menabung ini, mereka tidak akan boros dan berbelanja sesuka hati. Mereka akan menjadi seorang yang menghargai nilai wang pemberian sesiapa sahaja termasuk ibu bapa mereka.
Tabungan Sedari Kandungan Tidak Membawa Masalah
Dalil umum yang disebut sebagai “Masolihul mursalah” iaitu sesuatu yang menghasilkan kebaikan, selagi tidak bercanggah dan menyimpang dari landasan agama dan juga tidak mendatangkan keburukan mahupun kemudaratan, akan menjadi kaharusan di dalam Islam. Dengan cabaran peningkatan kos sara hidup, tabungan sudah menjadi keperluan.
Masakan tidak, kos pendidikan seawal peringkat pra sekolah pun mencecah ribuan ringgit secara kasarnya. Apatah lagi jika anda mahu mendaftar untuk ke sekolah rendah, menengah mahupun kolej dan universiti. Walaupun masih ada beberapa saluran pendidikan percuma, namun menabung tidak akan merugikan bahkan ia mungkin membantu kita di masa hadapan dalam menghadapi apa jua situasi.
Rancanglah Cara Menabung Agar Konsisten
Seeloknya, ibu bapa perlu meletakkan sasaran yang hendak dicapai bagi setiap anak mengikut kemampuan mereka. Setelah itu, latih diri untuk kosisten dan elakkan daripada culas atau ‘merompak’ di tengah perjalanan. Jika sebulan ibu bapa menyimpan RM100 untuk satu anak, selama 18 tahun, jumlah tersebut akan menjadi sebanyak RM21,600. Ia adalah angka yang hampir cukup untuk mereka melangkah ke alam universiti ataupun untuk mereka membina kehidupan sendiri.
Perlu Ada Ilmu
Jika anda mempunyai pengetahuan berkaitan pelaburan tidak kira emas atau sebaliknya, maka teruskanlah. Contoh seperti emas, ia adalah aset bagus yang kalis inflasi sekalipun ekonomi negara suatu masa nanti berlaku kegawatan dan sebagainya. Jika tidak ada ilmu tentangnya, elakkan daripada berbuat demikian.
Cukuplah hanya menyimpan dalam bentuk wang dan kita perlu mendidik minda kita bahawa simpanan bukan pelaburan. Andai ada keuntungan atau hibah diberikan, maka bersyukurlah mendapatkannya.