Menjadi kegusaran ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk menjalani ibadan tarawih di masjid. Risau jika anak buat hal, menangis atau berlari ke sana sini semasa orang ramai sedang solat. Niat di hati mahu beribadah, akhirnya terbantut dek kerana tidak khusyuk memikirkan anak-anak. Mungkin pada awalnya semua elok sahaja dan tiba-tiba terpaksa pula kita pulang awal kerana anak-anak mula menunjukkan tanda-tanda akan meragam.
Berbeza dengan keadaan di Masjid Sultan Idris Shah II atau dikenali sebagai Masjid Negeri di Ipoh. Inisiatif pihak masjid untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa yang datang menjalani ibadah tarawih wajar diberikan pujian. Sebuah ruang bermain diwujudkan sehingga anak-anak ini tidak mahu pulang dek kerana terlalu seronok bermain dan membuat pelbagai aktiviti yang disediakan.
Menurut laporan Sinar Harian, ahli jawatankuasa masjid ini melihat ramai iu bapa yang membawa anak kecil ke masjid sewaktu menunaikan solat tarawih. Ini menjadi sebab mengapa ruangan ini diadakan di tingkat atas bersebelahan ruang solat diadakan ruang khas untuk kanak-kanak.
Menariknya, pelbagai aktiviti yang disediakan di sini sepanjang tempoh solat tarawih. Antaranya ialah mewarna, membaca dan banyak lagi. Kata Imam Besar masjid ini, usaha ini bertujuan untuk menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak ke masjid sedari kecil. Didikan ini perlu sejak mereka masih kanak-kanak.
Mungkin ada ibu bapa yang risau akan keselematan anak-anak mereka jika ditinggalkan ketika mereka bersolat. Menjawab persoalan itu, Imam Besar memberitahu mereka mengambil langkah keselamatan dengan meminta ibu bapa untuk mengisi satu borang dan diberikan sekeping kad khas untuk diserahkan kepada pihak masjjid semasa mengambil anak mereka.
Ruang khas ini nyata selesa kerana dilengkapi dengan penghawa dingin. Antara permainan yang disediakan buat anak-anak ini adalah seperti lego, kapal terbang mainan, anak patung serta pelbagai jenis buku aktiviti matematik, melukis dan mewarna. Hampir 90 peratus permainan dan buku-buku di sini dibeli menggunakan hasil sumbangan orang ramai.
Setiap malam akan ada dua kakitangan dari Pejabat Pentadbiran Masjid Negeri dan pasukan sukarelawan secara bergilir membantu memantau kanak-kanak yang diletakkan di zon ini. Sepanjang empat hari puasa yang lalu, lebih 40 keluarga telah mendaftar, ada juga sebahagian kanak-kanak ini terlalu leka bermain hinggakan tidak mahu pulang.
Dengan inisiatif begini, Imam Masjid Negeri berharap lebih ramai jemaah yang hadir dan tidak risau untuk membawa anak-anak mereka. Menurut perkongsiannya lagi, masjid ini tidaklah besar mana. Memberi cadangan jika masjid yang lebih kecil mahu mempraktikkan cara begini, untuk menggunakan balai lintang atau buat pembahagian bagi mewujudkan zon kanak-kanak. Dengan kemudahan parkir yang selesa di kebanyakan masjid negeri, dengan adanya usaha untuk menambah ruangan kanak-kanak, pasti memberi lebih kebaikan kepada para jemaah.
Sumber: Sinar Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI