“Tak Perlu Risau Berlebihan” Bawa 2 Anak Tunai Umrah, Irma Hasmie Pesan Mak Ayah Jangan Takut!

Share

Bila memikirkan jumlah orang yang terlalu ramai membuatkan kita berfikir dua tiga kali untuk membawa anak menunaikan umrah. Bagi pengacara, Irma Hasmie, dia bersyukur bila mana hasratnya untuk membawa dua anaknya ke Tanah Suci dipermudahkan.

Biar pun ada cabarannya bila bersama anak kecil, namun akui Irma, secara peribadi dia amat bersyukur dapat membawa dua jantung hatinya, Irfhan dan Naylie.

Menerusi Instagramnya, Irma berkongsi cerita perjalanan bersama anak kecilnya.

“Dengan izin-NYA, sampai kami ke Madinah al-Munawwarah dan Makkah al-Mukarramah, syukur yang amat sangat rezeki menjadi tetamu Allah.

“Rasa bahagia dapat merasa pemusafiran bersama family, dengan Irfhan Naylie. Paling touching dapat bawa dorang ziarah Nabi hari-hari waktu di Masjid Nabawi.

“Di Makkah pula dapat duduk kat dataran dengan anak-anak dalam Masjidil Haram tengok Kaabah. Pastu tak sangka dapat merasa pengalaman hujan batu (ais) di tanah suci Makkah,” kongsi Irma memulakan cerita.

Namun akui Irma, ada cabarannya bila bersama anak kecil. Pun begitu Irma turut berpesan kepada ibu dan bapa yang ingin turut membawa anak bersama agar tidak terlalu memikirkan perkara negatif.

Malah kata Irma lagi, jangan terlalu takut sebaiknya berlapang dada dan bersangka baiklah pada Allah agar dipermudahkan ibadah sepanjang di Tanah Suci.

“Umrah dengan anak-anak ni memanglah berbeza banding pergi bersendirian. Betul! Ada cabaran-cabarannya, tapi secara peribadi saya sangat bersyukur dapat bawa Irfhan Naylie.

“Saya senang hati, rasa aman dapat bimbing dan dedahkan dorang untuk lebih dekat pada Allah SWT dan mencintai Rasulullah sejak dari usia kecil.

“Alhamdulillah, pengalaman serta detik-detik kenangan bahagia. So siapa-siapa yang bercadang nak menunaikan ibadah umrah dengan anak-anak tak perlu risau berlebih-lebihan.

“Jangan takut, jangan pikir negatif tapi sentiasa sangka baik pada Allah, Bismillāhi tawakkaltu ‘ala Allāh.

“Percayalah anak-anak belajar banyak perkara dari trip umrah, sama macam bila dorang dapat pengalaman bercuti ke mana-manakan, ini pengalaman ke tempat Nabi kita, tanah suci,” kongsinya lagi.

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Pa&Ma

Published by
SRM