“Eh…kasihan baby asyik tersedu. Susukanlah dia”, pernah lalui situasi seperti ini? Tetapi kenapa sedu berlaku kepada bayi? Ikuti perkongsian ini untuk mengetahui mengenainya.

Tak Perlu Risau Kalau Baby Asyik Sedu, Sedu Terjadi Untuk Bantu Bayi Kawal Pernafasan

Sedu dan kawal pernafasan

Sedu dalam kalangan bayi baru lahir adalah satu perkara biasa dan tidak perlu menjadi kebimbangan ibu bapa. Malahan keadaan ini biasanya dialami bayi untuk tempoh lapan minit setiap kali tersedu.

Walau bagaimanapun, penyelidik mencadangkan bahawa keadaan tersedu yang dialami bayi ini berlaku untuk membolehkan si manja belajar bagaimana untuk mengawal pernafasan mereka.

Kajian yang dilakukan oleh Penyelidik dari University College London ini melibatkan 217 bayi. 13 daripada mereka yang didapati mengalami sedu secara berterusan dipasangkan elektrod pada kepala mereka. Ini membolehkan mereka untuk mengenal pasti gelombang otak penting yang tercetus setiap kali tersedu.

Ads

Analisis kajian

Kajian berjaya mengesan tiga gelombang otak dalam korteks bayi. Penyelidik yang melakukan kajian ini percaya bahawa dua gelombang pertama menunjukkan bayi mengesan tujuan fizikal sedu, seperti dari bahagian badan mana sedu terjadi. Dan ini merupakan satu maklumat yang berharga yang menunjukkan bahawa tersedu merupakan cara untuk bayi mengawal proses pernafasan mereka.

Menurut pengarang utama kajian ini, Dr Lorenzo Fabrizi, “Daripada pengalaman melihat isteri yang bimbang apabila anak kami tersedu, saya percaya setiap ibu bapa pastinya akan berasa risau apabila bayi mereka mengalami sedu.”

Ads

Untuk individu dewasa, tersedu mungkin dianggap sebagai satu gangguan dalam melakukan tugasan harian. Namun keadaan ini berbeza bagi bayi, di mana sedu yang dialami mungkin mempunyai tujuan yang tertentu.

Dr Lorenzo menjelaskan, “Aktiviti yang disebabkan tersedu ini mungkin membantu otak bayi untuk belajar mengawal otot pernafasan supaya proses bernafas boleh dilakukan secara sukarela dengan menggerakkan diafragma ke atas dan ke bawah.”

Bayi mula tersedu sejak di dalam rahim seawal usia sembilan minggu kehamilan. Manakala bayi yang lahir secara pramatang pula dapat menghabiskan masa lebih kurang 15 minit sehari untuk tersedu.

Ads

Cara berbeza

Bagi pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Clinical Neurophysiology, Kimberley Whitehead, “Sebagai individu dewasa, kita mungkin akan belajar mengawal pernafasan melalui proses menyelam di dalam air.”

“Kita juga belajar memperlahankan pernafasan untuk menenangkan diri jika berdepan dalam situasi mencemaskan dan jantung berdegup kencang, sama ada selepas berlari atau disebabkan kegelisahan,” jelas Kimberley.

Kesimpulan

Sememangnya apabila bayi tersedu, sebagai ibu bapa akan timbul rasa kerisauan di hati, walaupun pada dasarnya ia bukan satu keadaan yang membimbangkan. Namun, jika sedu yang dialami berpanjangan untuk tempoh yang lama, anda mungkin boleh membawa bayi anda untuk mendapatkan pemeriksaan daripada doktor atau pakar perubatan.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI