Kata orang, sejuk perut ibu mengandung jika anak-anak mempunyai keperibadian yang baik. Seawal usia yang masih kecil, ibu ayah perlu mendidik mereka untuk menjadi anak yang baik.
Seperti yang dikongsikan ibu ini, Ija Juhari, dia bersyukur kerana anaknya tidak perlu disuruh untuk menunaikan solat. Katanya lagi, pendidikan solat bermula sejak anak masih bayi. Apakah kaedah yang digunakan oleh ibu ini?
“Mummy, dah pukul berapa?”
“Dah pukul 9, jom tidur.”
“Tapi Eesa tak solat lagi. Sekejap ya Eesa solat dulu.”
Begitulah setiap hari. Kalau di kejut bangun Subuh terus bingkas bangun. Tak pernah bertanya apa-apa sebab dia dah tahu masuk waktu solat.
Perut ibu mana tak sejuk kalau setiap kali anak yang ingatkan kita dia tak solat lagi. Hati ibu mana tak tersentuh bila dia bangun terus siapkan katil dan dia yang kejutkan kita untuk solat.
Bukan mudah untuk menjaga bayi berumur 4 bulan seorang diri tanpa seorang ayah. Tambahan apabila waktu-waktu genting seperti nak solat atau ‘nature call’. Tapi kekurangan itu membuatkan kita lebih kuat.
Artikel Menarik: [Pejam Mata & Rendahkan Suara Bila Anak Buat Silap. Cara Ini Berjaya Control Sikap Baran]
Orang selalu tanya bagaimana nak ajar anak solat sejak kecil?
Sebenarnya pendidikan solat untuk anak-anak bermula sejak bayi. Solat perlu diterapkan kerana ia adalah ibadah wajib bagi seorang muslim. Ia adalah tanggungjawab yang berat untuk kedua-dua ibubapa.
Umur 0-7 tahun adalah peringkat usia yang paling mudah untuk dibentuk. InsyaAllah di bawah ini adalah tips-tips yang saya amalkan kepada Eesa Putra sejak kecil.
1.Haramkan diri dari mendengar musik selama 2 tahun. Tiada lagu dari radio atau tv. Masuk kereta hanya pasang CD Al-Quran. Balik rumah hanya dengar alunan Al-Quran.
2.Banyakkan membaca Al-Quran. Waktunya adalah selepas subuh ketika menunggu masuk Syuruk. Sebelum Dhuha (jika waktu cuti). Selepas maghrib menunggu waktu Isyak dan selepas Isyak sebelum tidur.
3.Banyakkan membaca terjemahan Al-Quran untuk memahami kalam Allah. Bercerita dengan anak dalam perut dan sentiasa berdoa dengan doa-doa dari Al-Quran.
4.Banyakkan baca doa untuk anak-anak dan keturunan yang soleh. InsyaAllah berkesan.
1.Deria Mendengar dan Melihat
Ibu bapa adalah role model anak-anak. Anak akan lebih mudah mengikut apa yang mereka selalu lihat dan dengar. Sewaktu masih bayi dan berumur 0-2 tahun mereka banyak mendengar selepas umur 3-4 tahun itu mereka banyak melihat.
Umur 5-6 tahun mereka akan meniru. Dengar dan lihat adalah dua deria yang utama sewaktu mereka kecil. Pertumbuhan kanak-kanak paling cepat adalah umur 0-7 tahun. Sebab itulah kita perlu memupuk kebaikan, disiplin dan sifat-sifat yang baik sewaktu mereka masih kecil.
2.Waktu Azan dan Masuk Waktu Solat
Ajari mereka tentang Azan dan beritahu mereka bunyi azan menandakan masuk waktu solat. Ibubapa mesti sentiasa peka dengan Azan dan bersegera untuk menunaikan solat. Dari situ anak-anak akan faham tentang azan dan masuknya waktu solat. Nampak mudah tapi sangat berat sebab dari sinilah anak-anak akan mula melihat sifat ambil berat tentang waktu solat.
3.Sentiasa Solat Di Hadapan Anak-anak
Bakat meniru anak-anak ini kadang-kala menggelikan hati. Tapi itulah salah satu dari didikan untuk kita mengajar mereka tentang rukun solat. Solatlah di hadapan mereka supaya mereka dapat meniru dan mengajuk kita. Kemudian terangkan apa yang mereka lakukan.
4.Puji dan Didik
Memang susah nak khusyuk dengan anak-anak yang mengganggu solat kita. Tapi jangan jadikan ia sebagai satu halangan. Galakkan mereka untuk berdamping rapat dengan kita. Ajar mereka untuk solat di sebelah walaupun mereka hanya ikut untuk satu rakaat. Pujilah apa yang mereka lakukan walaupun ia salah. Jangan terlalu keras kerana kita mahukan mereka seronok bukan terpaksa.
5.Bawa Mereka Pergi Masjid & Surau
Dekatkan mereka dengan suasana masjid dan surau supaya mereka sentiasa ingin solat pada waktunya. Sentiasa ajar mereka adab dalam masjid. Cari masjid yang children friendly. InsyaAllah mereka akan suka ke masjid.
6.Ajar Mereka Mengenal Allah dan Tuntutan Solat
Ajar anak kewajipan solat dan kepada siapa kita bersujud. Ceritakan tentang kekuasaan Allah dna keindahan kehidupan di alam yang kekal. Sentiasa cerita yang benar tentang dunia.
7.Baca Al-Quran dan Berzikir
Dekatkan anak dengan Al-Quran dan baca bersama mereka untuk memberikan kefahaman tentang suruhan dan larangan Allah. Sentiasa ingatkan tentang hukuman yang Allah sediakan untuk orang-orang yang melanggar suruhanNya.
Artikel Menarik: [Sehebat Mana Kita Menjadi Ibu, Amalkan Doa Ini Demi Kebaikan Anak]
Tiada apa yang lebih penting dari solat. Solat sahaja yang dapat menghalang dari pekara keji dan maksiat.
Tiada apa yang lebih penting untuk kita selain dari doa anak-anak yang soleh. Salah kita jika selepas mati mereka tidak tahu untuk berdoa untuk kita apatah lagi solat.
Solat itu tiang agama.