Anak yang biasa ditengking dan dimarahi akan membuatkan hatinya jadi keras. Jadi sebelum marah tenang-tenangkan diri dulu, takut terkesan pada anak.
Ini yang cuba dikongsikan oleh Dr Ahmad Luqman Bukhari. Biasakan dengan langkah dan tip di bawah ini untuk elakkan marah dan tengking pada anak.
Bahayanya! Jangan cepat nak tengking atau naik tangan bila si kecil tu tak dengar cakap kita.
Tak ada anak yang dilahirkan degil. Tapi bila dah kerap sangat kena marah dan kena maki, itulah yang buatkan hati dia jadi keras.
Anak kita tu sebenarnya boleh je berubah jadi anak yang paling rapat dengan kita dan patuh arahan bila kita amalkan 7 teknik mudah ni:
#1. Kerap cium dahi dan peluk si kecil kita tu. Cubalah jadikan rutin setiap kali lepas solat terus peluk cium anak anak kita tu.
Kita kena banyakkan memberi (sentuhan kasih sayang) sebelum layak nak menerima (kepatuhan anak pada arahan kita).
#2. Biasakan untuk rendahkan tubuh kita atau melutut masa bercakap dengan si kecil tu supaya mata kita dan mata anak pada aras yang sama dan ada eye contact yang bagus.
#3. Sebutkan ayat ayat yang pendek dan ringkas masa berikan arahan pada anak kita.
#4. Bila kita duduk duduk dengan anak, letakkanlah smartphone tu kat tepi sekejap. Fokus sepenuhnya untuk bermain atau bergurau senda dengan si kecil tu.
Gelak ketawa yang terhasil tu akan menerbitkan hormone oxytocin dan buatkan kita dan anak sama sama rasa lebih tenang dan bahagia.
#5. Perhatikan baik baik keperluan asas si kecil tu samada dah dipenuhi atau belum.
Mungkin dia tak dengar cakap kita waktu tu kerana dia tengah lapar, mengantuk, rimas atau emosinya berserabut sebab baru je lepas bergaduh dengan adik beradik yang lain.
#6. Banyakkan ucap terima kasih bila dia lakukan perkara yang baik supaya anak kita sentiasa rasa dihargai.
#7. Tarik nafas dalam dalam dan kawal emosi kita tiap kali datang rasa nak marah. Entah entah anak kita tu asyik melawan bukan sebab apa tapi kerana otak dia dah terbiasa berada dalam keadaan ‘Fight and Flight’ akibat kerap dimarahi.
Tolong #share ilmu ni dengan pasangan masing-masing ye. Jangan terkejut kalau anak kita nanti jadi lebih patuh, lebih senang dengar kata dan lebih tenang emosinya bila dia dah mula ada strong connection dengan kita.
Dr Ahmad Luqman Bukhari.
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom.
Klik DAFTAR segera di https://toko.ideaktiv.com/product/gathering-mama-hamil-menawan-pama-x-numom/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mama Papa Kena Peka Dengan Tanda-Tanda Ini. Ini Bermakna Anda Perlu Tukar Pengasuh
Dengan pelbagai berita kematian kanak-kanak ketika dihantar kepada pengasuh yang dilaporkan media, pastinya timbul kebimbangan di hati ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak untuk rumah jagaan ketika mereka perlu bekerja. Antara persoalan yang sering timbul adalah, manakah pilihan yang terbaik, sama ada menghantar anak ke taska atau ke rumah pengasuh? Ikuti artikel ini untuk lebih membantu anda membuat pilihan dan keputusan.
Tip memilih pengasuh
Jika ingin menggunakan khidmat pengasuh, pastikan anda menjalankan semua prosedur penyelidikan dan keselamatan sebelum meninggalkan bayi anda bersamanya. Langkah pertama adalah membiarkan bayi baru lahir dengan pengasuh dalam tempoh tertentu di hadapan anda. Walaupun pengasuh itu mahir dalam penjagaan bayi, sekiranya bayi anda tidak ingin berada di sekelilingnya, jangan sesekali memaksa si manja. Anda perlu memastikan persekitaran kekal tenang dan mesra antara pengasuh dan anak kecil anda.
Ahli keluarga atau saudara-mara
Sekiranya anda bernasib baik dan tinggal berdekatan dengan saudara-mara, ini boleh menjadi pilihan yang terbaik. Walau bagaimanapun, hanya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan anda, tidak semestinya mereka akan menjaga anak anda seperti yang anda mahukan. Tetapi sekurang-kurangnya anda berasa percaya dan yakin kerana mengenali individu yang menjaga anak anda.
Namun, tidak menjadi kesalahan untuk anda menyenaraikan keperluan harian anak anda seperti kuantiti pemberian susu sebagai panduan yang boleh membantu mereka. Malah, senarai ini berguna untuk semua pengasuh bukan hanya untuk saudara-mara sahaja.
Cara kehidupan
Untuk ibu bapa yang beragama Islam, sudah tentu anda mahukan pengasuh anak anda seorang Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaknya.
Memilih pengasuh
Tahu tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak
Ilmu Pendidikan Awal Kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia perlu tahu tentang cara untuk menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh, mengendalikan anak yang menggigit atau menenangkan anak yang sedang menangis.
Lakukan penyelidikan
Tanya ibu bapa, jiran dan rakan sekerja untuk cadangan pengasuh bayi. Ini mungkin cara terbaik jika anda tidak mempunyai saudara yang tinggal berdekatan anda. Kebiasaannya rujukan daripada kenalan atau orang yang berpengalaman untuk mendapatkan perkhidmatan pengasuh daripada individu yang sama boleh membantu anda.
Anak anda selesa
Ini mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Sebagai seorang ibu, anda perlu sentiasa ingat bahawa walaupun anda mungkin mendapat pengasuh yang terbaik, ia bagaimana sekalipun tidak akan dapat menggantikan tempat seorang ibu. Selepas beberapa hari anak anda bersama pengasuhnya, anda mesti dapat mengesan adakah anak anda selesa dan mesra bersama pengasuh ataupun tidak. Jika anak masih tidak mahu dengan pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh yang tidak sesuai dengan si manja.
Rasa gembira
Sebagai ibu bapa, pasti anda akan dapat melihat sekiranya pengasuh anak anda benar-benar gembira menjaga dan mengasuh si kecil anda dan anak anda juga dapat merasakannya. Kasih sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.
Lakukan pemeriksaan latar belakang yang diperlukan
Sebaik sahaja mendapati seorang pengasuh yang anda fikir mungkin baik untuk penjagaan bayi anda yang baru lahir, lakukan juga pemeriksaan latar belakang terhadapnya. Anda boleh melakukan temuduga melalui telefon atau tinjauan ke rumah pengasuh berkenaan. Simpan salinan pengenalan diri pengasuh sebagai keperluan rujukan semasa dan akan datang.
Komunikasi
Anda sudah pasti mahu pengasuh menjaga bayi anda sama seperti yang anda lakukan, iaitu dengan cara yang terbaik. Pastikan anda menjaga hubungan anda dengan pengasuh dan ambil masa untuk berbual dengan mereka mengenai anak anda supaya wujud keselesaan antara anda dengan pengasuh. Apabila wujud hubungan komunikasi dua hala yang baik, pengasuh tidak teragak-agak untuk memaklumkan keadaan semasa anak asuhannya kepada ibu bapa.
Menghormati
Seorang pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau akan memaklumkan kepada anda jika terdapat sebarang kemungkinan seperti jika dia perlu bercuti seawal yang mungkin.
Bersih dan selamat
Kebersihan merupakan satu petanda yang baik kepada pengasuh. Sebagaimana anda menghantar anak dalam keadaan yang bersih, seharusnya anda akan mengambil anak anda dalam keadaan yang bersih juga. Dalam soal keselamatan, kemalangan kecil seperti terjatuh atau pergaduhan kecil dengan anak jagaan yang lain pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan. Tetapi seorang pengasuh yang baik akan sentiasa memastikan keselamatan anak anda menjadi keutamaannya.
Tanda perlu menukar pengasuh
Menyerahkan anak kepada jagaan orang yang baru anda kenali bukanlah suatu yang menggembirakan. Apatah lagi, saban hari media memaparkan lambakan berita tentang kekejaman pengasuh yang mendera bayi dan kanak-kanak. Sudah tentu setiap ibu bapa akan berasa risau akan keselamatan anak mereka.
Bagi memastikan anak anda berada di bawah jagaan pengasuh yang betul, anda mungkin perlu melakukan ‘pengintipan’. Anak anda mungkin berada pada pengasuh yang salah jika:
Dia takut setiap kali anda ingin menghantarnya ke rumah pengasuh. Kanak-kanak akan menangis atau menunjukkan tantrum setiap kali anda ingin menghantar mereka ke sana.
Pengasuh kelihatan berahsia tentang rutin harian anak anda. Sepatutnya, rutin anak di rumah pengasuh bukanlah perkara rahsia untuk ibu. Selepas pulang berkerja, sudah tentu anda ingin tahu apa yang dilalui oleh anak anda di rumah pengasuh. Jika pengasuh anak anda tidak memberitahu anda tentang perkara tersebut, sama ada dia kurang dalam berkomunikasi ataupun ada sesuatu yang dirahsiakannya.
Tugas seorang pengasuh adalah untuk menjaga anak anda, bermakna pengasuh perlu memerhatikan dan memantau keselamatan anak anda sepanjang kanak-kanak berada dalam jagaannya. Jika anak anda banyak kali mengalami kemalangan atau kecederaan di rumah pengasuh, ini adalah sesuatu yang perlu anda awasi.
Pengasuh tidak mengikut permintaan anda. Sudah tentu anda ada cara sendiri untuk mendidik anak anda seperti dari segi pemakanan, tidur dan keselamatan anak. Jika pengasuh bertindak seperti dia yang lebih tahu untuk membesarkan anak anda, jadi ini mungkin alasan untuk anda tukar pengasuh anak.
Anak anda kelihatan tidak terurus dan kotor. Kanak-kanak memang gemar main kotor. Namun, jika setiap kali anda mengambil anak dalam keadaan kotor dengan lampin tidak ditukar, ini mungkin tanda-tanda anda perlu mencari pengasuh lain untuk anak anda.
Anak anda kerap lapar dan letih setiap kali anda mengambilnya balik. Ini mungkin petanda pengasuh tidak mengikut rutin makan dan tidur siang anak anda.
Naluri anda mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada pengasuh. Jika anda mempunyai perasaan yang buruk tentang pengasuh, lebih baik anda ikut naluri anda. Lebih baik jika anda menukar pengasuh anak dan mencari orang yang lebih sesuai untuk menjaga anak anda.
Ciri taska yang baik
Jika anda sebagai ibu bapa memutuskan untuk menghantar anak anda ke taska, pastinya anda perlu mengetahui dan memastikan tentang beberapa perkara sebelum menghantar anak anda. Antaranya adalah:
Berdaftar
Taska yang anda pilih haruslah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa taska tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan menepati piawaian dalam penjagaan kanak-kanak.
Kawasan persekitaran
Perkara lain yang harus menjadi keutamaan pemilihan taska sebelum membuat sebarang keputusan adalah anda harus memastikan kawasan taska dan sekitarnya adalah selamat. Ini adalah faktor yang amat penting. Cuba lihat dan perhatikan kawasan persekitarannya, adakah ia kawasan perumahan atau kawasan perkilangan? Bagaimana pula dengan keadaan jalan, adakah terdapat jalan raya yang berhampiran dengan taska? Apakah ia boleh mengundang bahaya? Itu adalah antara perkara yang harus diambil kira.
Aspek keselamatan
Sekiranya taska yang anda pilih itu merupakan rumah sama ada setingkat atau dua tingkat yang dijadikan premis pusat jagaan, beberapa perkara yang perlu anda lihat adalah; adakah terdapat tangga keselamatan, pintu kecemasan dan juga alat pemadam kebakaran? Ini antara perkara yang sangat penting untuk dititik beratkan. Pihak taska harus mendapatkan kelulusan pihak tertentu bagi menentukan sama ada jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, pihak taska berkenaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Kebersihan
Selain faktor keselamatan, aspek lain yang harus menjadi keutamaan adalah soal kebersihan. Ini kerana, taska yang bersih adalah memainkan peranan yang penting dalam menjamin tahap kesihatan yang baik untuk anak-anak anda. Penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) adalah antara penyakit yang mudah menjangkiti dalam kalangan kanak-kanak. Ia mudah merebak dan dijangkiti jika kawasan dan tempat anak-anak anda tinggal tidak berada dalam keadaan baik dan tidak dijaga kebersihannya.
Penyediaan menghantar anak ke taska atau pengasuh
Sekiranya anda sudah mendapat dan memilih taska atau pengasuh untuk anak anda, terdapat satu lagi perkara yang perlu anda lakukan iaitu persediaan untuk menghantar anak anda ke taska atau rumah pengasuh. Terdapat beberapa perkara yang mungkin akan berlaku, seperti anak anda mungkin akan menangis ketakutan sebelum pergi ke taska atau rumah pengasuh. Ia adalah satu perkara normal kerana ia melibatkan pengalaman baru dan perubahan besar kepada si manja, lebih-lebih lagi jika sebelum ini anda menghantarnya kepada pengasuh lain atau anda sendiri yang menjaganya. Adalah penting untuk menjaga emosi dan perasaan anak anda.
Memilih untuk menghantar anak ke taska atau pengasuh adalah cara terbaik untuk menjadikan anak anda lebih berdikari dan belajar bersosial bersama kanak-kanak lain seusianya. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menghadapi cabaran bagi menghantar anak ke taska mahupun rumah pengasuh:
Berbual
Dalam beberapa minggu sebelum anda mula menghantarnya ke taska atau rumah pengasuh, katakan kepada anak anda mengenai kanak-kanak lain yang sebaya dengannya yang pergi ke sekolah, contohnya seperti, kakak ataupun abang yang lebih tua. Atau anda boleh beri contoh individu dewasa yang pergi ke tempat yang berlainan pada waktu pagi.
Contohnya ibu dan ayah yang pergi bekerja, kemudian pulang ke rumah untuk makan malam dan kita semua tidur di rumah yang sama. Inilah juga cara yang sama untuk kanak-kanak pergi ke taska, rumah pengasuh, sekolah atau tadika dan kemudian balik semula ke rumah.
Penjelasan
Sebaiknya berikan penjelasan pada anak anda mengapa mereka perlu pergi taska atau rumah pengasuh. Katakan kepada anak anda bahawa anda dan pasangan, sebagai ibu bapa perlu bekerja untuk mendapatkan wang bagi menampung dan menyara keluarga.
Kemudian, dengan cara yang baik, perjelaskan kepadanya mengapa kanak-kanak perlu pergi ke sekolah, taska atau rumah pengasuh; untuk belajar, berseronok, bermain dan berjumpa dengan rakan-rakan sebaya.
Sekiranya pada hari anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, dan anak anda menangis, ini tidak bermaksud bahawa anak anda tidak faham. Jangan memandang rendah keupayaan anak anda untuk memahami penjelasan yang diberikan oleh ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda dan pemikiran yang aktif dan boleh menyerap apa yang dikatakan oleh ibu bapanya jika bahasa yang digunakan adalah mudah dan ringkas serta penggunaan nada yang lembut. Tetapi mereka mungkin menangis disebabkan perkara lain.
Melawat
Jika anda mempunyai kelapangan, adalah sebaiknya anda mengambil peluang untuk membawa anak anda melawat taska atau rumah pengasuhnya. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada anak anda melihat dan mencuba untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain. Ini mungkin dapat menarik minat anak anda dan memudahkan anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh apabila dia telah mendapat rakan yang baru. Namun sekiranya ia tidak berjaya menarik minat anak anda, malah anak anda mungkin menangis setiap kali anda menghantarnya ke taska dan rumah pengasuh, anda sebagai ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Anak anda pasti akan dapat membiasakan diri selepas beberapa hari ataupun minggu.
Kenali pengasuh
Sebagai ibu bapa, anda tidak harus melepaskan tanggungjawab kepada pengasuh atau penjaga taska sebaik sahaja anda menghantar anak anda. Sebaiknya anda perlu mengambil peluang untuk saling mengenali dengan individu yang akan mengambil tanggungjawab dan peranan menjaga anak anda. Mungkin terdapat perkara yang boleh dibincangkan seperti cara didikan dan keperluan anak anda. Cara terbaik adalah untuk berkongsi dengan penjaga anak anda tentang perangai anak anda di rumah, ia pasti dapat membantu pengasuh atau pihak taska dalam menjaga anak anda.
Yang mana lebih baik?
Sebenarnya, apa yang boleh disimpulkan, keputusan sama ada untuk menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, kedua-duanya tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya anda dapat menghantar anak-anak anda ke rumah pengasuh atau taska yang boleh dipercayai. Namun, mungkin sebaiknya, bagi anda yang mempunyai anak kecil atau bayi, sebagai permulaan, anda boleh menghantarnya ke rumah pengasuh yang berdaftar dan hanya mempunyai anak jagaan dalam jumlah yang kecil. Ini membolehkan anak kecil atau bayi anda mendapat perhatian dan jagaan yang lebih baik, berbanding menghantarnya ke taska yang kebiasaannya mempunyai bilangan anak jagaan yang lebih ramai.
Namun, apabila anak anda sudah boleh berjalan, berdikari seperti makan dan minum sendiri, sekitar usia 3 tahun dan ke atas, anda mungkin boleh menghantar anak anda ke pusat jagaan atau taska. Ini kerana apabila menghantar anak anda ke taska, ia sekali gus membolehkan anak anda untuk belajar bersosial dan berkomunikasi dengan kanak-kanak yang seusia dengannya. Walau bagaimanapun, pastikan taska yang anda pilih itu telah berdaftar untuk aspek keselamatan.
Jadi walau apa pun keputusan yang anda dan pasangan ambil, sama ada memilih taska ataupun menghantarnya ke rumah pengasuh, pastikan anda tetap mengambil kira tentang faktor dan aspek penting seperti yang dinyatakan di atas.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Bapa Yang Cuai Tinggal Anak Dalam Kereta Tanpa Pengawasan Boleh Didenda Atau Penjara! Beringatlah
Ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai dengan meninggalkan anak bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan boleh didenda RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran itu sebagai peringatan khususnya kepada ibu bapa kerana mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu akan dikenakan tindakan tanpa kompromi.
“Tiada alasan. Tiada kompromi. Kealpaan anda membawa padah. Kecuaian individu meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut PDRM, jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa kejadian kanak-kanak maut akibat ditinggalkan di dalam kenderaan dengan kejadian terbaru berlaku di Seremban, Negeri Sembilan pada 12 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas ditinggalkan kira-kira tiga jam di dalam van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan.
Pada 28 April lalu pula, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan lebih lima jam di dalam kereta oleh neneknya di Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia akibat strok haba setelah empat jam ditinggalkan dalam kereta yang dipandu pengetua tadika di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah, pada 16 Mac lalu.
Kredit: BH ONLINE
Jangan panik! Jom, belajar cara handle situasi cemas. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/stay-safe/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekaran
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Seminggu Lahirkan Anak Bongsu, Suami Pergi. Hingga Kini Anak-Anak Cakap Rindu
Jodoh, ajal, rezeki anak semuanya rahsia Allah. Andai kata salah seorang pasangan kita pergi dulu, tentunya pemergian itu sangat dirasai.
Begitulah kisah yang dikongsikan oleh Nur Rieziyana Md Zamri ibu kepada empat cahaya mata yang perlu membesarkan amanah ditinggalkan arwah suami.
Tinggalkan 4 anak kecil
Menurut Rieziyana, 31, suaminya, Ahmad Amirul Shaqim Abd Rahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) 7 Jun tahun lalu, seminggu selepas dia melahirkan anak bongsunya.
“Arwah suami menghidap masalah injap jantung. Dia pernah jalani pembedahan pada usia 17 tahun. Pada Mac tahun lalu, dia jalani pembedahan tukar injap jantung sekali.
@rieziyanaAirmata Seorang Suami.. 7/6/2021 tak sangka Allah jemput dia.. tinggalkan 3 putera & 1 puteri yg masih kecil 😢😢 Selamanya akan merindumu ayah..♬ Ya Allah – Wali
“Selepas pembedahan, berlaku jangkitan. Dalam dua ke tiga bulan juga dia di hospital sehinggalah arwah dibenarkan discaj sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Memang teruja sampai dia nak kemas beg pakaian sendiri pada waktu itu.
“Ketika raya, sempatlah bawa dia jumpa mak ayah dan ahli keluarga yang lain. Rasanya dia sihat dalam lima hari saja. Kemudian dia terus demam selama dua minggu. Tapi dia tak mahu ke hospital, arwah kata dia dah penat masuk hospital. Jadi dia hanya ke klinik dan bergantung kepada ubat macam biasa,” kongsinya.
Suami tunjuk sikap pelik sebelum pergi
Menurut wanita yang mesra disapa Rieziyana itu, suaminya juga turut menunjukkan perubahan sikap selain tidak mempunyai selera makan kerana apa saja yang dijamah berasa pahit.
“Dia juga tak boleh dengar apa yang saya cakap dan ketika itu juga dia mula tanya soalan-soalan pelik.
“Contohnya dia tanya sekarang pukul berapa? Apa warna cat bilik kami? Dia kata nampak warna hijau sedangkan bilik kami warna putih. Kadang-kadang dia nampak semua benda jadi kecil.
“Pada 30 Mei dia masuk ICU balik. Ketika sampai ke unit kecemasan, doktor kata keadaan suami dah 50-50. Doktor minta saya bersabar. Tapi saya macam tak percaya, tak jangka jadi macam tu,” katanya.
Seminggu selepas lahirkan bayi, suami meninggal
Kata Rieziyana, pada waktu itu dia dilanda kesedihan melampau memandangkan dirinya sedang sarat hamil dan menanti hari untuk melahirkan cahaya mata keempatnya.
Imbas Rieziyana, dia akhirnya selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah hospital di Banngi, Selangor pada 1 Jun 2021.
Hanya beberapa hari selepas melahirkan bayinya, dia diuji lagi dan kali ini lebih berat dugaannya apabila suami disahkan meninggal dunia di IJN 7 Jun.
“Ketika hamil, dia macam dah bagi hint. Dia tanya sama ada saya dah maklumkan pada ibu untuk teman saya bersalin? Saya rasa pelik pada waktu itu, kenapa ibu nak teman, sedangkan dia ada.
“Tapi arwah kata dia risau dia tak larat, sebab tu dia pesan supaya saya minta pertolongan ibu saya. Ketika saya bersalin, dia masih dalam ICU. Saya ada hantar mesej tapi dia tak sempat baca. Saya mesej maklumkan yang adik dah keluar (dilahirkan),” ujarnya lagi.
Berniaga kecil-kecilan
Menurut Rieziyana yang menetap di Banting, dia perlu mencari kekuatan diri untuk membesarkan empat anaknya termasuklah si bongsu yang kini berusia lapan bulan.
Bercerita mengenai situasi semasa, Rieziyana berkata dia kini berniaga pewangi kereta dan pewangi rumah serta benih ikan talapia untuk menyara kehidupan.
“Selepas bersalin anak kedua dulu, suami cakap dia tak nak saya kerja. Dia mahu saya jaga anak. Suami dulu kerja dengan syarikat oil and gas, tapi dia dah berhenti atas faktor kesihatan, kemudian dia banyak uruskan infaq ke rumah anak-anak yatim.
“Bila suami dah tak ada, saya pun tak ada pendapatan. Saya teruskan hidup dengan simpanan yang suami tinggalkan sikit. Tapi tetaplah saya kena buat sesuatu, jadi saya berniaga pewangi kereta dan rumah secara online.
“Tambahan pula anak sulung saya baru bersekolah. Dulu semua suami uruskan, dari sekecil-kecil hal baju atau susu, suami yang banyak buat keputusan. Sekarang saya kena buat sendiri, saya bagaikan budak baru belajar. Saya kuat sebab sokongan keluarga,” ujarnya.
Anak-anak rindu ayah
@rieziyanaBye2 ayah buat selamanya😢😢
Tambah Rieziyana lagi, dia juga sebak apabila anak sulungnya meluahkan rasa rindu untuk pergi bercuti dengan arwah suaminya.
“Kali terakhir kami bercuti ke Melaka pada awal Januari 2021. Sekarang musim cuti, bila tengok keluarga orang lain, memang akan terasa. Sebab arwah dulu kaki jalan-jalan.
“Saya dengar anak sulung saya cakap, dah lama tak jalan-jalan. Ada suatu hari, dia pandang tingkap dan baca Al-Fatihah untuk arwah. Dia kata sedih memikirkan ayahnya dalam kubur,” kongsinya.
Rieziyana dan suaminya mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Aqiel Zafri, Ayra Zafira, Arieq Zareef dan Arasy Ziqri.
Kredit: Mstar & TikTok Rieziyana
Selain Bahasa Melayu, mama papa mesti nak anak pandai Bahasa Inggeris juga kan? Bila dia pandai, dah tentu akan jadi lebih yakin nak bertutur dan menggunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian. Jom, mama papa belajar macam mana nak didik anak untuk mahir bahasa ini di E-Workshop Panduan Ajar Anak Pandai English, Mudah Sangat! Dengan hanya RM20, bukan saja ilmu tapi mama papa berpeluang memenangis pelbagai hadiah istimewa dari Pa&Ma. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/panduan-ajar-anak-pandai-english/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI