Benar, proses mendapatkan kembali berat asal, sama seperti ketika sebelum mengandung memang tidak mudah bagi seorang wanita bergelar ibu. Lebih-lebih lagi yang sudah berusia. Proses menurunkan berat badan umpama perjuangan maha hebat.
Penyanyi Ernie Zakri tidak terkecuali berdepan hal sama bila mana usahanya untuk menurunkan berat badan menemui jalan buntu selepas melahirkan anaknya, Nur Khawla Soleha yang kini berusia 10 bulan.
Ernie yang kini sedang bercuti bersama suaminya mengakui pernah menangis di hadapan suaminya disebabkan gagal mencapai berat badan yang diinginkan.
Malah akui Ernie lagi, bukan mudah untuk menurunkan berat badan selepas bergelar seorang ibu.
“Saya pernah mengadu pada Syamel sehingga menitiskan air mata kerana kesukaran untuk mendapatkan berat badan ideal selepas melahirkan.
“Jadi saya faham perasaan berhadapan ‘body shaming’ yang dilemparkan oleh segelintir pihak. Proses setiap individu tidak sama,” kata Ernie berkongsi.
Menginjak usia 30-an kini, ujar Ernie dia kini menerima perubahan diri dan lebih mementingkan kesihatan dalaman tubuhnya.
Malah kata Ernie lagi, fokus dan visi utamanya ketika ini adalah kesihatan dalaman berbanding bentuk tubuh idea semata-mata.
“Saya lebih mengutamakan kesihatan dalaman yang perlu pulih sepenuhnya selepas melahirkan. Itu yang menjadi fokus utama berbanding bentuk tubuh.
“Biarlah proses itu ambil sedikit masa asalkan dalaman sihat.
“Memang tidak dinafikan penampilan penting bagi selebriti, tetapi tidak perlu tergesa-gesa,” katanya.
Terdahulu, Ernie mendirikan rumah tangga bersama Syamel pada 22 Mac 2021. Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha yang kini berusia sepuluh bulan.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Pa&Ma
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI