Setiap ibu bapa mengambil berat mengenai perkembangan bahasa & pertuturan anak-anak. Berikut adalah beberapa tanda awal yang mungkin dan patut di perhatikan oleh ibu bapa.
Diantara umur 12 – 24 Bulan, beberapa perkara yang perlu di beri perhatian oleh ibu bapa jika kanak-kanak:
- Masih belum menggunakan gesture seperti menunjuk atau melambai tangan untuk bye-bye pada usia 12 bulan
- Menggunakan gesture lebih daripada bercakap pada usia 18 bulan
- Mempunyai masalah untuk meniru bunyi pertuturan pada usia 18 bulan
- Sukar untuk memahami arahan yang mudah
Ketika kanak-kanak mencecah usia 2 tahun, ibu bapa di nasihatkan untuk membawa anak-anak berjumpa dengan pakar yang terlibat untuk penilaian jika anak-anak:
- Hanya dapat meniru sebutan perkataan dan aksi tetapi masih belum menghasilkan perkataan atau ayat secara spontan
- Hanya menyebut bunyi atau perkataan secara berulang-ulang dan tidak boleh menggunakan bahasa verbal untuk berkomunikasi untuk menyampai dan memenuhi kehendak
- Tidak dapat melakukan arahan mudah yang diberikan
- Mempunyai tone suara yang berbeza (cth: sengau dsbg)
- Pertuturan yang sukar difahami. Ibu bapa atau penjaga biasanya boleh memahami 50% pertuturan kanak-kanak pada usia 2 tahun, dan lebih kurang 70% pada usia 3 tahun. Ketika mencecah usia 4 tahun, kebanyakan pertuturan kanak-kanak boleh difahami oleh ibu bapa dan orang lain.
Sebab kelewatan BAHASA & PERTUTURAN
Banyak faktor yang boleh menyebabkan kelewatan bahasa & pertuturan di kalangan kanak-kanak. Kelewatan pertuturan, bagi kanak-kanak yang mempunyai perkembangan bahasa yang normal mungkin disebabkan oleh masalah pada oral motor itu sendiri seperti sumbing bibir dan lelangit, tongue tie, dsbg. Terdapat juga masalah-masalah pertuturan lain di kalangan kanak-kanak seperti kegagapan, masalah suara seperti serak dsbgnya.
Masalah bahasa juga boleh disebabkan oleh banyak sebab. Mungkin ada dikalangan kanak-kanak yang mempunyai perkembangan fizikal yang normal, tetapi perkembangan bahasa tidak setara dengan umur mereka. Ada antaranya kelewatan bahasa ini hanyalah disebabkan oleh kurangnya stimulasi bahasa yang diberikan semasa dari kecil. Namun begitu, kebanyakan masalah bahasa adalah disebabkan masalah-masalah lain yang melibatkan perkembangan mental kanak-kanak itu sendiri. Antara masalah-masalah yang menyumbang kepada kelewatan bahasa adalah seperti :
- Kecelaruan genetic seperti down syndrome, DiGeorge syndrome
- Autism
- Attention deficit hyperactive disorder (ADHD)
- Kelewatan perkembangan
- Kecacatan pendengaran
- Kecederaan otak seperti semasa lahir seperti cerebral palsydan Traumatic brain injury
- Specific language impairment
Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa?
Sekiranya anda mengesyaki anak anda mempunyai masalah bahasa & pertuturan, penilaian oleh Terapis Pertuturan-bahasa (SLT) adalah penting untuk melihat tahap semasa bahasa dan pertuturan anak anda. SLT juga akan menerangkan secara spesifik masalah yang dihadapi oleh anak anda dan bagaimana untuk membantu anak anda memperbaiki dan mengatasi masalah tersebut.
Apabila kanak-kanak menghadapi masalah kelewatan bahasa & pertuturan ini, rawatan dan intervensi awal amatlah penting untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluan sosial dan emosi mereka. Berikut adalah beberapa tips yang boleh digunakan oleh ibu bapa di rumah.
1) Luangkan banyak masa untuk berkomunikasi
Ibu bapa boleh membanyakkan komunikasi dengan kanak-kanak melalui bermain bersama, menyanyi, bersukan dan sebagainya. Melalui aktiviti-aktiviti ini kanak-kanak mempunyai lebih banyak model untuk ditiru. Galakkan anak-anak untuk meniru aksi dan bunyi-bunyi perkataan. Banyak perbendaharaan kata boleh diajarkan kepada anak-anak melalui aktiviti bersama.
2) Membaca bersama anak anda
Anda boleh bermula untuk melihat buku dan gambar bersama seawal usia 6 bulan. Pastikan buku yang digunakan adalah sesuai dengan usia kanak-kanak. Anda boleh bermula dengan buku-buku yang mempunyai tekstur yang boleh disentuh dan dirasa oleh kanak-kanak.
Buku-buku yang mempunyai gambar yang banyak dan berwarna-warni juga akan membantu menarik minat anak-anak. Anda boleh menunjukkan kepada gambar dan menamakan gambar-gambar tersebut. Seterusnya anda boleh membiarkan anak anda pula untuk menunjuk dan menamakan gambar di dalam buku.
3) Gunakan situasi harian
Anda juga boleh menggunakan situasi harian untuk merangsang bahasa dan pertuturan anak-anak. Contohnya, menamakan makanan di pasar raya semasa membeli belah, terangkan apa yang anda lakukan seperti ketika memasak, membersihkan rumah, semas mandi dan sebagainya. Anda juga boleh menunjuk dan menamakan objek di sekeliling rumah, semasa memandu kereta dan sebagainya.
Dedahkan juga anak-anak kepada bunyi-bunyi yang berbeza yang ada di persekitaran. Anda boleh bertanya soalan dan menggalakkan anak anda untuk bertanya. Beri respon setiap kali ana anda berkata sesuatu (walaupun mungkin anak anda sukar memahaminya). Gunakan ayat dan perkataan yang ringkas tetapi elakkan dari menggunakan “baby talk”
Apa jua umur anak anda, kenalpasti dan merawat masalah bahasa & pertuturan seawal yang mungkin adalah pendekatan yang terbaik. Dengan terapi, masa dan pendekatan yang sesuai akan membantu kanak-kanak untuk berkomunikasi dengan lebih baik dengan anda dan orang-orang lain di sekelilingnya.
https://www.youtube.com/watch?v=sZuOeurE1_I&t=5s
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (
https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (
https://t.me/majalahpama) sekarang!