Aktres, Datin Elvina Mohamad berkongsi berita gembira dengan mengumumkan kehamilan cahaya mata kedua melalui sebuah posting di laman Instagram miliknya.
Menerusi posting tersebut, pelakon berusia 28 tahun itu memuat naik sekeping gambar ketika bercuti di Tokyo Disneyland, Tokyo, Jepun bersama keluarga kecilnya.
“Kami tak sabar untuk berjumpa ahli keluarga baharu tidak lama lagi! #babynumberTWO (bayi nombor dua). Karl (anak pertama) akan menjadi abang,” tulisnya.
Gambar berkenaan memaparkan suaminya Datuk Haniff Borhan dan anak mereka, Karl Mateen memegang bahagian perut pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu yang menampakkan bentuk ‘baby bump’.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata rakan artis dan pengikut meluahkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah selain mendoakan Elvina dipermudahkan segala urusan.
Alhamdulillah tahniah!
Seri ibu mengandung
Tahun lalu, Elvina reda apabila hasrat untuk menimang anak kedua tidak kesampaian selepas mengalami keguguran ketika kandungan memasuki usia tiga bulan.
Untuk rekod, dia dan suami mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2018 dan dikurniakan putera sulung tersebut yang kini berusia empat tahun.
Sumber: IG Elvina Mohamad; OMM