Soalan:
Apakah hukumnya jika isteri melarang suami untuk berpoligami?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”
Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي أَنْكَحْتُ أَبَا الْعَاصِ بْنَ الرَّبِيعِ، فَحَدَّثَنِي، فَصَدَقَنِي وَإِنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ مُضْغَةٌ مِنِّي، وَإِنَّمَا أَكْرَهُ أَنْ يَفْتِنُوهَا، وَإِنَّهَا، وَاللهِ لَا تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللهِ وَبِنْتُ عَدُوِّ اللهِ عِنْدَ رَجُلٍ وَاحِدٍ أَبَدًا
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya.
Riwayat Muslim (2449)
Dalam riwayat al-Bukhari disebut:
وَإِنِّي لَسْتُ أُحَرِّمُ حَلاَلًا، وَلاَ أُحِلُّ حَرَامًا، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لاَ تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَبِنْتُ عَدُوِّ اللَّهِ أَبَدًا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.”
Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Riwayat Malik (31) dalam al-Muwatto’
Ini sesuai dengan firman Allah ﷻ:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُو
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”
Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
(Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;”
(Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”
Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.