Seharian menguruskan kerja rumah, menyiapkan makanan, memasak dan mengemas sememangnya memenatkan. Ditambah pula dengan karenah anak-anak yang menambahkan kepenatan. Namun itu semua tidak menjadi rungutan buat ibu kerana merasakan ianya satu tanggungjawab. Tapi suami jangan pula lepas tangan, kenalah ringan tangan tolong isteri. Tak gitu?
Perkongsian suami, Khairul Abdullah ini papa kena baca. Banyak benarnya dalam kata-katanya. Terlalu banyak pengorbanan seorang isteri yang papa suami tak nampak atau tak ambil kisah. Kena baca ni!
Tahukah kita yang rutin menjaga anak, memasak, mengemas, mencuci dan banyak lagi tu adalah sangat-sangat menekan (stress) dan memenatkan? Cubalah kalau berani.
Tahukah kita yang para isteri sangat mengharapkan pertolongan bagi melaksanakan kerja-kerja rumah atau menjaga anak-anak walaupun cuma sekali seminggu?
Tahukah kita yang para isteri sebolehnya walaupun sekali, mereka nak si suami rasa bagaimana rutin 24 jam mereka dari subuh sehinggalah ke tengah malam. Penat ya amat.
Tahukah kita yang para isteri selalu mendambakan “me time” mereka? Sebolehnya mereka ingin bangun pagi dan keluar bagi mendapatkan “me time” tersebut dan suamilah yang melakukan segalanya di rumah.
Tahukah kita yang ada lelaki yang seumur hidupnya tidak pernah mencuci pinggan di sinki walaupun pinggan sendiri. Hanya tinggalkan di atas meja laksana seorang raja dari kecil hingga ke tua bangka?
Tahukah kita yang ada para suami yang seumur hidupnya tidak pernah sekalipun menukar lampin anaknya, bukan anak orang lain, dan bukan juga anak patung. Tetapi anak dari benihnya sendiri. Apatah lagi untuk melihat dan menyentuh najis. Mulia sangat gamaknya.
Tahukah kita yang ada para suami yang tidak pernah kenal mop ataupun penyapu? Katanya itu hanya kerja orang perempuan. Ibunya, adiknya atau isterinya dan juga pembantu rumahnya sahaja.
Tahukah kita yang ada para isteri rasa diperhambakan? Suami asyik keluar malam pergi teh tarik bersama kawan, isteri di rumah kelaparan sebab tak sempat makan.
Tahukah yang kita sering berkata Allah menjanjikan syurga buat isteri yang taat di dalam menguruskan rumahtangga. Habis rumah tangga sekarang ini neraka? Hanya isteri yang merasa siksanya dan kita bersenang dan bermewah sahaja?
Tahukah kita yang Rasulullah SAW (selawat) juga membantu isteri baginda di dalam hal rumahtangga? Baginda mengasihi dan membantu meringankan apa yang dibebani.
Tahukah kita yang sebenarnya isteri kita memendam rasa? Ada hati terluka apabila nampak kita bermalas-malasan menonton tv sedangkan dia bersusah payah melakukan segalanya?
Tahukah kita yang adalah tidak berdosa sama sekali jika kita membantu meringankan beban isteri di rumah? Tidak, tidak berdosa yer tuan-tuan sekalian.
Pastinya Allah mengasihi insan-insan yang memudahkan pekerjaan dan urusan insan-insan yang lain apatah lagi isteri sendiri.
Menjadi suri rumah terutamanya yang sepenuh masa, apatah lagi yang punyai anak ramai adalah sangat memenatkan. Anda tidak boleh bayangkannya selagi mana anda sendiri tidak merasainya.
Sudah-sudahlah menjadi suami tipikal yang berlagak seperti raja. Balik kerja penatnya mengalahkan orang kerja angkut batu bata. Kalau kita penat, isteri di rumah 100 kali ganda penatnya. Kalau kita stress isteri di rumah 100 kali ganda lagi stressnya.
Saling bantu membantulah. Tak hilang macho suami jika tolong basuh berak dan tukar lampin anak atau tolong vakum dan mop atau juga tolong sidaikan baju.
Pesanan buat kaum ibu, hentikanlah mendidik anak-anak lelaki anda untuk menjadi seorang tuan dan raja. Dah besar panjang pinggan sendiri pun tak angkat ke sinki sebab mak tak bagi. Esok bila dah kahwin maka di pulak buat kat bini.
Pesanan buat para suami pula, ingat, kalau kau ada anak perempuan esok-esok dia pulak kena buli dengan laki macam kau buli bini kau sekarang.
Satu lagi, weekend nanti cuba kau izinkan isteri keluar berjoli. Kau cuba jaga anak-anak, mengemas rumah, buat laundry serta masak sendiri.
Baru kau rasa. Barulah kau tahu menghargai.
Kredit: Khairi Abdullah