Tak Semestinya Bayi Sembelit Walaupun Tak Buang Air Besar Beberapa Hari, Ini Sebabnya!

Share

Anda risau bayi sembelit walaupun hanya minum susu ibu sahaja? Tak pasti bayi bermasalah atau tidak kerana tidak tahu tanda bayi sembelit?

Jika ini yang kerap anda fikirkan, mari lihat apa yang kami sediakan di bawah ini.

Ia mungkin boleh membantu menjawab persoalan yang berlegar dalam fikiran anda.

Adakah sembelit mudah berlaku walaupun bayi hanya minum susu ibu?
bayi sembelit

Susu ibu yang diminum oleh bayi sebenarnya amat mudah untuk dicerna.

Bahkan, susu ibu juga dianggap sebagai julap semula jadi kerana sifatnya yang mudah dicerna atau dihadam. Oleh sebab itu, sangat jarang bayi yang hanya minum susu ibu untuk mendapat sembelit.

Tetapi ia tidak bermakna kes seperti ini tidak terjadi walaupun bayi hanya minum susu ibu.

Masalah sembelit juga kerap berlaku pada bayi yang diberikan makanan lain selain susu ibu seperti susu formula dan bijirin bayi.

Tanda bayi sembelit yang ibu-ibu perlu tahu!

Perkara pertama yang ibu-ibu perlu ingat adalah kekerapan bayi membuang air besar bukanlah satu kayu ukur yang tepat jika si manja mengalami sembelit atau tidak.

Begitu juga jika anda ingin melihat sekiranya bayi anda meneran ketika membuang air besar atau tidak. Meneran tidak semestinya bermaksud si manja mengalami masalah untuk mengeluarkan najis.

Bayi meneran kerana mereka menggunakan otot abdomen untuk membantu mereka mengeluarkan najis.

Petunjuk yang lebih tepat untuk menentukan sekiranya bayi anda alami sembelit ataupun tidak adalah seperti berikut:

-Bayi mempunyai perut yang tegang, ketat dan buncit
-Keluarnya najis bayi yang keras
-Bayi meneran dan menangis ketika membuang air besar
-Bayi tidak mahu disuapkan susu
-Najis keras dan berdarah

Punca-punca sembelit pada bayi

Biasanya, bayi tidak akan mengalami kesukaran membuang air besar jika hanya minum susu ibu.

Bayi akan sukar membuang air besar sekiranya telah disuapkan dengan makanan pepejal lain apabila si manja memasuki 6 bulan.

Antara jenis makanan yang boleh menyebabkan bayi mengalami masalah seperti ini ialah:

Bijirin beras: beras mempunyai sifat menyerap air yang terdapat dalam usus, yang kemudiannya menyebabkan najis menjadi keras. Oleh itu, cuba gantikan dengan jenis bijirin lain seperti oat atau barli

Susu lembu: susu lembu seperti susu formula juga boleh menyebabkan bayi anda mengalami sembelit

Buah pisang: buah pisang juga boleh menyebabkan masalah membuang air besar pada bayi. Jika anda ingin memberikan pisang pada bayi anda, kisarkannya sehingga menjadi halus untuk dijadikan puri pisang

Kurang minum air: cuba untuk kerap menyusukan anak anda sebelum mula menyuapkan makanan pepejal kepada mereka. Kandungan cecair yang mencukupi dalam tubuh bayi boleh membantu memudahkan bayi untuk mengeluarkan najis

Sakit: sebagai contoh, apabila bayi anda mengalami selesema, ia boleh mengurangkan selera makan bayi anda. Apabila hidungnya tersumbat, maka bayi akan berasa tidak selesa dan kurang menyusu. Kurang susu bermakna kurangnya cecair dalam tubuh sehingga boleh menyebabkan sembelit berlaku

Tekanan: percaya atau tidak, bayi juga akan sukar membuang air besar jika dia mengalami tekanan akibat ketidakselesaan yang dialaminya.
Ini termasuklah jika anda membawa si manja pergi melancong atau berada dalam persekitaran yang panas

Saya risau sebab bayi saya tidak buang air besar dengan kerap!

Kekerapan buang air besar bukanlah satu petunjuk yang tepat untuk menentukan sama ada si manja mengalami sembelit atau tidak.

Ibu bapa tidak perlu risau jika bayi tidak membuang air besar dalam beberapa hari.

Asalkan bayi anda masih dapat kentut atau membuang angin, selain membuang najis yang lembut selepas beberapa hari.

Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi

Walaupun susu ibu tidak mengandungi kandungan serat, namun ia mengandungi kandungan prebiotik yang banyak. Prebiotik ini sangat baik untuk tubuh badan bayi terutamanya untuk usus bayi.

Prebiotik bertindak agar usus bayi dapat berfungsi dengan baik dan juga lancar yang membantu bayi untuk membuang air besar tanpa sebarang masalah seperti sembelit.

Oleh itu, walaupun si manja mungkin tidak kerap membuang air besar, tetapi dia sebenarnya sihat dan tidak mengalami sembelit seperti yang anda risaukan.

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa