“Tak Sempat Masak, Dah Habis Makan.” Sayur, Ulam Ibarat ‘Jajan’ Anak Di Rumah

Share

Biasanya anak-anak kecil, bila tengok atau suruh makan sayur seolah-olah fobia. Awal-awal lagi dah cakap tak mahu atau tolak ke tepi pinggan jika diletakkan dalam makanan mereka. Sehinggakan ibu bapa pun habis idea nak suruh banyak kali.

Kalau ikutkan masa bayi, elok je makan sayur yang dicampurkan dengan bubur tapi apabila dah pandai makan sendiri, terus tak mahu. Alasan yang selalu diberikan, pahit, tak sedap dan macam-macam lagi.

Namun perkongsian ibu ini, Puan Nor Syahirah Zakaria mengenai anaknya yang menjadikan sayur sebagai ‘sahabat baik’ cukup mengagumkan kerana apa saja jenis sayur mereka akan makan, sama ada sayur mentah atau yang dimasak.

Menurut ibu dua anak ini, anak sulungnya Muhammad Thaqif Thabrani, kini berusia 4 tahun memang ‘hantu sayur’. Sejak umurnya 2 tahun apa saja sayur yang ada depannya pasti akan makan.

“Mulanya dia makan sayur seperti tauge, tomato, kacang panjang, kacang botol, sawi, kobis bunga dan macam-macam lagi. Jika nak diikutkan saya taklah paksa sangat pun dia makan sayur semua tu tapi mungkin dia perhatikan setiap kali saya dan suami makan.

“Ini kerana apabila kami makan bersama, hidangan lauk atas meja mesti ada ulam atau sayur hijau. Jadi dari situ dia mula tertarik dan nak mencuba makan,” katanya.

Sayur ibarat ‘jajan’

Kongsi Nor Syahirah lagi, apabila usia Thaqif dah menginjak 3 tahun, dah menjadi satu kebiasaannya suka ratah gitu je sayur-sayuran dan ulam-ulaman. Pantang tengok di dapur atau dalam peti sejuk ada sayur-sayuran memang dia akan minta nak makan.

“Bahasa mudahnya, sayur tu ibarat macam jajan dia di rumah. Tak kisahlah semasa bermain dengan adik atau menonton televisyen, itu yang dia akan kunyah. Bila orang tak tengok mungkin tak percaya, tapi hakikatnya jika tengok sendiri, baru tahu.

“Walaupun Thaqif memang pantang tengok sayur, tapi satu sikapnya yang saya boleh puji dia tak akan ambil macam tu je. Mesti dia akan beritahu saya atau suami sebab dia tahu sayur-sayur tu perlu dicuci bersih dulu.

“Itu sebab bila saya beli sayur, sebelum simpan dalam peti, akan dibersihkan siap-siap semuanya. Kadang tu sayur yang dibeli tak sempat nak masak, sebab dah habis dia makan,” ujarnya.

Adik dah mula suka sayur

Setakat ini sayur favourite yang paling Thaqif suka makan mentah-mentah dan pantang nampak ada di dapur seperti aneka sawi, lobak merah, kacang panjang dengan tauge.

Abang peminat sayur, adik perempuannya, Puteri Sumayyah, 1 tahun 7 bulan pun terikut cara Thaqif.

Apabila letak dalam satu pinggan, tengok mereka berdua makan kita pula yang seronok. Tapi setakat ni adik baru nak mula menyukai pelbagai sayur.

“Tak pernah cakap pahit..”

Tambah Syahirah lagi, setakat ni bila orang tanya tak pahit ke makan sayuran tu? Jawapan Thaqif dia akan cakap best. Tak pernah lagi saya dengar dia cakap tak sedap atau pahit. Bila dia makan tu, memang layan je.

Selain sayur, Thaqif juga suka makan buah-buahan. Buah yang paling disukai jambu batu, epal hijau atau merah. Kalau ada dua jenis buah tu memang berulang kali buka peti sejuk.

Sementara itu, Nor Syahirah memberitahu, bila orang tanya macam mana saya ajar anak-anak makan sayur dan buah, memang tiada tips yang khusus. Tapi kami suami isteri percaya, anak-anak belajar daripada pemerhatian.

Apa yang ibu ayah makan atau hidangkan di rumah itu yang anak tengok setiap hari. Jadi secara tak langsung, mereka pun nak makan. Jika anak memang tak suka sayur, ibu kena jadi kreatif dan jangan cepat putus asa. Biar sikit-sikit dulu, lama kelamaan anak suka.

Kredit: Nor Syahirah Zakaria

Anak ada bakat? Sertai Bakat Cilik Pa&Ma sekarang!! Kalau anak-anak ada bakat hebat, janganlah simpan sendiri. Jom, support mereka dengan menyertai Bakat Cilik Pa&Ma. Rakam aksi anak-anak dengan bakat mereka dan hantarkan kepada Pa&Ma.

Nak join? Klik saja https://toko.ideaktiv.com/product/bakat-cilik/ atau untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi https://wa.me/+60179701167

 

Published by
Wan Amy