Menyambut kelahiran bayi kembar atas bot satu pengalaman baru buat seorang Jururawat Kesihatan Kebidanan Nur Shaffriza Mohd Shaffril. Jika sebelum ini biasa buat pemeriksaan dan lawatan kepada ibu mengandung, melibatkan komuniti masyarakat Orang Asli, pengalaman kali ini cukup bermakna baginya.
Baru-baru ini, petugas kesihatan Klinik Pos Kemar itu tidak menyangka akan menyambut kelahiran sepasang bayi kembar Orang Asli di atas bot ambulans, ketika melalui Tasik Banding untuk membawa ibu mereka ke Hospital Gerik.
Selang lima minit bayi keluar
Nur Shaffriza berkata, wanita berusia 31 tahun itu pada mulanya dikesan mengalami sakit bersalin ketika mereka membuat lawatan ke rumahnya, sebelum dibawa ke Klinik Pos Kemar untuk pemeriksaan dan menaiki bot ambulans dari jeti untuk ke hospital.
“Tiba-tiba wanita itu ingin meneran lalu saya memeriksa bahagian kelahirannya dan mendapati kepala bayi sudah kelihatan, jadi saya meminta wanita itu menarik nafas dan teran sambil saya memberi sokongan. Tidak sampai seminit, bayi pertama keluar pada pukul 11.20 pagi dan bayi kedua pula keluar kira-kira lima minit kemudian.
“Peralatan untuk bersalin memang kami sudah sediakan, jadi Alhamdulillah kami dapat kawal rasa cemas itu dengan baik sehingga berakhirnya proses bersalin,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya kelahiran pasangan bayi lelaki itu merupakan pengalaman yang amat berharga baginya, kerana ia merupakan pertama kali terjadi sepanjang 16 tahun perkhidmatannya sebagai jururawat kesihatan.
Sementara itu, pemandu Mohd Hisham Shamsuddin yang turut menyaksikan detik-detik bersejarah itu berkata, beliau membawa pasukan anggota kesihatan yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Jururawat Kesihatan, Jururawat Masyarakat dan Penolong Perawatan Kesihatan bersama wanita itu, menaiki ambulans dari klinik ke Jeti Kemar pada 10.30 pagi.
“Kemudian saya menaiki bot bersama mereka untuk pergi ke Jeti Trojen di mana ambulans dari Hospital Gerik sudah menunggu kami, namun secara tiba-tiba wanita itu bersalin sebelum tiba di jeti yang mengambil masa perjalanan kira-kira 45 minit.
“Saya tidak pernah melalui insiden seperti ini sepanjang empat tahun saya berkhidmat di Klinik Pos Kemar dan ia sangat indah bagi saya,” katanya.
Bayi ibu stabil
Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerusi laman Facebook rasminya pada Rabu berkata hasil tindakan pantas anggota kesihatan, ibu dengan usia kandungan 35 minggu itu selamat melahirkan bayi kembar dengan berat 2.4 kilogram (kg) dan 1.3kg, dan mereka telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi menjalani rawatan susulan.
Pos Kemar merupakan kawasan perkampungan Orang Asli di Gerik dan penduduknya menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar dan masuk, manakala perjalanan dari penempatan itu ke Hospital Gerik mengambil masa selama kira-kira dua jam menggunakan laluan air dan darat.
Kredit: Bernama
Tak sabar tunggu baby lahir, nak persiapkan mental dan fizikal sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang ilmu persediaan urus bayi selepas lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma: Misi Mama Sambut Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/pama-e-workshop-misi-mama-cantik-sihat/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI