Mungkin ada ibu bapa yang mengambil mudah bab sendawakan bayi. Namun tahukan anda ia boleh menjadi punca bayi kembung perut dan tidak selesa?
Bayi menangis tak henti-henti. Walau pun sudah disusukan dan ditukar lampin baru. Mungkin dia sedang tidak selesa kerana kembung perut. Ini mempunyai banyak punca. Salah satunya ialah tidak disendawakan dengan betul selepas menyusu.
Kenapa perlu bayi disendawakan selepas disusukan? Ini adalah antara persoalan yang sering ditanya oleh ibu dan bapa baru. Malah ada segelintir tidak mempedulikan kepentingan sendawa. Ikuti kepentingan dan pelajari teknik cara sendawa bayi.
Jangan lupa untuk sendawa bayi walaupun bayi sudah tertidur selepas menyusu. Memang kebanyakan bayi baru lahir akan mudah tertidur selepas penyusuan. Walaupun bayi tidur, mama papa perlu sendawakan bayi setiap kali selepas penyusuan.
#1. MENGHINDARI MASALAH KOLIK/ KEMBUNG PERUT
Sendawa penting untuk mengelak bayi kembung atau kolik. Ia bertujuan untuk mengeluarkan udara yang masuk ke dalam perut bayi semasa bayi menyusu atau menangis. Sekiranya bayi tidak disendawakan, udara akan terkumpul di dalam perut dan bayi akan berasa tidak selesa.
Tindakan sendawakan bayi boleh mengurangkan risiko berlakunya kolik. Walau pun kembung perut boleh dirawat, tapi langkah mengelakkannya dari awal adalah lebih baik. Tambahan pula, bahaya jika bayi dibiarkan menangis terlalu lama kerana ia mungkin akan mengundang risiko sawan tangis. Bayi juga akan keletihan dan tidak cukup tidur. Malah, mama papa juga akan keletihan setelah berjaga malam untuk meredakan tangisan anak.
#2. BAYI LEBIH SELESA DAN KURANG MENANGIS
Bayangkan jika diri anda mengalami kembung perut dan sebu, tentu ia tidak menyeronokkan. Begitu juga keadaan si kecil jika tidak disendawakan. Mereka akan menangis, meragam dan tidak selesa. Dengan menyendawakan, bayi lebih ceria, selesa dan aktif. Maka dia boleh bermain dan melalui perkembangan yang baik seiring usianya.
#3. MEMBANTU BAYI TIDUR NYENYAK
Apabila angin dapat dikeluarkan, bayi lebih selesa dan tenang. Ini secara tidak langsung akan membantu mereka tidur lebih nyenyak. Tidur amat mustahak bagi bayi kerana ketika tidur otak mereka akan berkembang.