Bapa kepada Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak mencoretkan penghargaan kepada doktor bedah Malaysia yang bertugas di London, Dr. Amalina Bakri.
Bapa kepada bayi sembilan bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’ ini berterima kasih kepada Dr. Amalina kerana bersungguh-sungguh membantu kesembuhan Ainul.
Selepas lebih lima jam bertarung nyawa di bilik pembedahan di sebuah hospital di London, Ainul berjaya dibedah dengan selamat.
Safiuddin merakamkan ucapan terbabit menerusi salah sebuah entri terbaru di laman Instagram miliknya, @ahmadsafiudinn.
“Tak tahu dah nak kata apa dekat Dr. Amalina ni. Kerana dia lah orang yang paling bersungguh-sungguh nak Ainul ke sini.
“Bermacam ujian dan dugaan nak bawa Ainul ke sini. Tapi dia tak putus asa, sentiasa cari jalan untuk bawa Ainul ke sini dengan kadar segera.
“Sehingga semalam, dia yang menemani Ainul sepanjang prosedur dijalankan. Now, usaha Dr. Amalina telah pun berjaya. Semoga Allah sentiasa merahmatinya,” tulis Safiuddin.
Menjengah ke ruangan komen, netizen turut sama mengucapkan terima kasih kepada Dr. Amalina atas budi baiknya membantu Ainul sekeluarga.
Pada 24 Mei lalu, Ainul bersama ibu dan bapanya terbang ke sana bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di London.
Selepas mendapat rawatan dan berjaya melalui fasa pembedahan berisiko, kini adik Ainul dah sedar dan direhatkan buat sementara waktu untuk pemantauan rapi.
Menerusi video yang dimuat naik oleh ibu bapa Ainul, anak syurga ini seolah gembira dan jelas menampakkan kecomelannya selaps tumor seberat 200 gram berjaya dikeluarkan.
Sumber: Astro Gempak, Ig Ahmad Safiuddin & Dr Amalina