Semua mengetahui yang pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad kini sedang menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) di sebuah pusat kesuburan. Setiap proses yang dilalui, dikongsikan olehnya menerusi instagram miliknya.
Terbaru menerusi instagramnya, Elizad turut memaklumkan beliau baru selesai menjalani proses ‘embryo transfer’, proses yang cukup penting dalam rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).
Berkongsi cerita itu kata Elizad lagi, seribu satu rasa dan pengalamannya sukar cukup sukar digambarkan. Dalam pada itu, pelakon cantik manis ini juga turut berkongsi beberapa gambar dan video sepanjang proses itu.
“Alhamdulillah syukur, baru selesai ‘embryo transfer’ hari ini. Semuanya berjalan lancar. Doakan yang terbaik buat kami ya.
“Nervous tunggu result akan datang nanti. Hanya mampu berdoa. Moga-moga adalah rezeki kami berdua. Selebihnya, kami hanya berserah padamu ya Allah.
IKLAN
“Terima kasih Dr @dr.azlin dan @sophea_fertility dan semua nurse yang banyak membantu menenangkan saya tadi. Tak tahu nak gambarkan pengalaman tadi,” tulis Elizad di ruangan kapsyen.
Tanggal 21 Oktober lalu, Elizad berkongsi mengenai proses pengambilan telurnya untuk tujuan persenyawaan.
IKLAN
Dan kelmarin, telur yang sudah berkembang itu sudah pun menjalani proses ‘embryo transfer’. Semoga proses pemindahan embrio ini ke dalam uterus membuahkan hasilnya.
Dalam pada itu, di ruangan komen, rakan-rakan selebriti tidak henti-henti mendoakan semoga proses yang dilalui Elizad ini dipermudahkan.
Tidak ketinggalan juga seluruh pengikut Elizad di instagramnya yang sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan agar usaha Elizad dan suami untuk mendapatkan zuriat ini dipermudahkan.
IKLAN
Semoga dalam tempoh 14 hari ini, pastinya ada khabar gembira yang dikongsikan oleh Elizad dan suami. Sama-sama kita doakan buat kedua-duanya.
Terdahulu, Elizad dan suami, Shamsul Baharin Rahman mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 dan masih menantikan zuriat sulung mereka. Kita doakan!
Pertambahan berat badan ketika hamil adalah perkara biasa yang akan dilalui oleh setiap individu wanita hamil. Tetapi kalau berat anda menjadi berlebihan, bagaimana untuk mengurangkan berat?
Mengurangkan berat
Kenaikan berat sepanjang tempoh kehamilan adalah normal tetapi bagi individu wanita yang sudah mempunyai masalah berat badan berlebihan, sudah tentu situasi ini mendatangkan dilema yang merungsingkan hati.
Namun, berita baiknya, terdapat kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan mencadangkan bahawa mengurangkan berat ketika hamil adalah perkara yang dibolehkan dan ia mungkin akan memberikan manfaat khususnya bagi individu wanita dengan berat yang berlebihan atau mempunyai nilai BMI melebihi 23.
Walau bagaimanapun, wanita hamil yang mempunyai berat badan normal sebelum mengandung mungkin tidak sesuai untuk mengurangkan berat. Tetapi jika anda berasa perlu untuk menurunkan berat dan akan memperolehi manfaat daripadanya, anda disarankan untuk berbincang dengan doktor atau pakar perubatan terlebih dahulu, okay?
Berat yang disarankan
Sebelum kita fahami cara untuk mengurangkan berat badan, anda harus tahu mengenai kenaikan berat yang disarankan bagi setiap individu wanita hamil mengikut BMI.
-Wanita yang kekurangan berat badan dengan nilai BMI <18.5, perlu mendapatkan lebih banyak berat, dari 12.5 hingga 18 kilogram (kg)
-Wanita dengan purata berat badan nilai BMI dari 18.5 – 22.9, perlu mendapat kira-kira 11.5 hingga 16 kg
-Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan dengan nilai BMI 23 hingga 26.9, sepatutnya menambah berat dari 7 hingga 11.5 kg
-Manakala wanita dengan nilai BMI 27 dan ke atas disarankan untuk menambah berat antara 5 hingga 9 kg sahaja
Secara mudahnya, jika BMI anda adalah antara 18.5 hingga 22.9 sebelum mengandung, pastikan kenaikan berat badan anda sepanjang tempoh kehamilan adalah tidak melebihi 16 kg. Sebaliknya, jika BMI anda adalah tinggi sebelum hamil, kenaikan berat yang lebih rendah adalah amat digalakkan.
Berikut merupakan penambahan berat badan mengikut minggu yang dicadangkan untuk wanita hamil dengan purata BMI dari 18.5-22.9:
-Minggu 1 hingga minggu 12 (trimester pertama): 0.9 hingga 2 kilogram
-Minggu 13-26 (trimester kedua): 4 hingga 5 kilogram
-Minggu 27-40 (trimester ketiga): 5 hingga 6 kilogram
Pelan mengurangkan berat semasa hamil
Menggunakan alasan “makan untuk dua orang” adalah antara punca mengapa berat badan anda boleh naik secara mendadak ketika mengandung. Berikut merupakan beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi menurunkan berat anda:
Pengambilan kalori
Anda memerlukan kalori untuk memastikan bayi anda membesar tetapi ia perlu diambil dalam kuantiti yang betul. Apa yang penting adalah untuk mengawal kenaikan berat badan anda agar tidak terlalu cepat naik.
Anda boleh memilih untuk mengisi perut anda dengan sesuatu makanan yang lebih sihat seperti minum susu skim, kentang bakar berbanding kentang goreng atau isi ayam bakar tanpa lemak menggantikan ayam goreng.
Ketika menyediakan makanan, pilihlah makanan yang dapat mengenyangkan anda untuk tempoh jangka panjang tetapi masih mempunyai kandungan kalori yang rendah. Antara contoh pilihan makanannya adalah:
-Sayuran segar, terutama daun hijau
-Buah-buahan dengan kandungan air tinggi, seperti tembikai
-Isi ayam
-Ikan
-Bijirin gandum seperti oat
Jumlah makanan dan lemak
Pastikan saiz dan kuantiti hidangan makanan yang diambil adalah bersesuaian dan mempunyai kandungan nutrisi yang diperlukan. Walau bagaimanapun, anda tetap perlu memastikan ada pengambilan lemak dalam hidangan makanan anda.
Ini kerana sesetengah jenis lemak adalah penting dalam membantu perkembangan bayi dalam kandungan anda. Sebaiknya pengambilan makanan bergoreng, (jika anda terlalu teringin untuk makan makanan sebegitu), ambillah dalam kuantiti yang terkawal.
Bersenam
Siapa kata wanita hamil tidak boleh bersenam atau melakukan aktiviti fizikal? Anda masih boleh melakukan senaman tetapi pastikan ia adalah bersesuaian dengan keadaan fizikal anda. Anda boleh memilih untuk mengikuti kelas yoga pranatal atau hanya berjalan kaki mengelilingi taman. Paling penting luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti fizikal.
Berat badan naik secara tidak terkawal boleh mendatangkan beberapa risiko masalah kesihatan kepada anda dan bayi dalam kandungan seperti kelahiran pramatang, diabetes, tekanan darah tinggi dan kecacatan kelahiran. Jadi pastikan anda mengawal pemakanan serta melakukan senaman yang bersesuaian untuk memastikan anda kekal aktif dan sihat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Matlamat untuk menjadikan anak bijak dan dengar kata serta tidak bermasalah sebenarnya harus bermula daripada awal, iaitu ketika mengandung lagi.
Kata Datuk Dr Fadzilah Kamsah, “Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak.” Demikian pandangannya.
Jadi matlamat untuk menjadikan anak bijak haruslah lebih jelas.
Oleh yang demikian, jadikanlah dunia awal bayi iaitu alam rahim sebagai institusi pertamanya mempelajari pelbagai perkara baharu. Janin boleh dirangsang melalui kaedah-kaedah tertentu.
1. Pemakanan Sihat
Makanan berkhasiat dan seimbang sangat penting dalam pembinaan otak bayi. Jadi, pastikan pemakanan seharian ibu ketika hamil mengandungi karbohidrat, vitamin, mineral dan paling penting kaya dengan protein.
Sama juga halnya dengan pengambilan minyak ikan Omega . Ia adalah makanan yang baik untuk perkembangan otak bayi. Malah, kandungan EPA dan DHA yang ada di dalam minyak ikan amat diperlukan untuk perkembangan bayi yang sihat.
2. Banyakkan Ibadat
Islam amat menggalakkan anda mengamalkan beberapa aspek penting supaya anak yang dilahirkan berakhlak mulia. Antaranya, banyak mengingati Allah SWT dengan memohon ampun dan taubat; melakukan kebajikan dan meninggalkan segala larangan-Nnya.
Sepanjang hamil, anda dan suami dituntut memperbanyakkan solat sunat dan puasa sunat terutamanya pada Isnin dan Khamis. Sama juga halnya dengan membaca al-Quran. Antara yang elok dibaca ketika hamil ialah surah al-Fatihah, Yasin, at-Taubah, Yusuf, Luqman, an-Nahl (ayat 78), al-Aa’raf (ayat 189) dan banyak lagi.
Dengan membaca surah dan ayat ini, ia dapat memudahkan proses bersalin, mendapat anak yang sihat, sempurna, bijak dan soleh.
3. Jangan Lupa Al-Quran
Doa adalah senjata umat Islam. Oleh itu, anda digalakkan untuk kerap membaca surah al-Fatihah, al-Inshirah dan ayat Kursi. Suami juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut anda.
Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, al-untuk melapangkan hati dan fikiran manakala ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan. Apabila hati anda terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran.
Malah, setelah anak lahir, anda masih boleh meneruskan bacaan berkenaan ketika menyusukannya. Amalan ini diyakini dapat menghasilkan anak yang bijak dan tinggi akhlaknya.
4. Kerap Sentuh
Berbicaralah sambil mengusap lembut perut. Lahirkan perasaan rindu menanti kelahirannya dengan penuh ikhlas. Kajian mendapati bayi yang mendapat perhatian sejak dalam kandungan jelas kelihatan lebih baik dan tidak banyak meragam berbanding golongan yang tidak mendapat perhatian daripada ibu bapanya.
Ada pendapat menyatakan bahawa rangsangan sebegini amat efektif apabila kandungan menginjak usia enam bulan ke atas. Ini disebabkan pada usia tersebut jaringan struktur otak bayi mula berfungsi dengan baik.
5. Emosi Terkawal
Pastikan emosi anda sentiasa tenang agar anak yang bakal dilahirkan selalu riang dan tidak mudah meragam. Keadaan emosi yang tenang akan membantu perkembangan otak yang sihat dan pertumbuhan janin yang seimbang. Jadi, anda harus lebih banyak bersabar dan bersikap positif.
Percayalah, tingkah laku yang baik akan mempengaruhi sikap anak anda di masa hadapan. Malah, perasaan riang merupakan rangsangan kepada pembinaan otak yang pada masa yang sama dapat memastikan bayi yang sihat, pintar dan cerdas.
6. Muzik Klasik
Perdengarkan janin dengan muzik klasik kerana ia diyakini dapat merangsang kecerdasan bayi sejak dalam kandungan. Oleh kerana muzik klasik memiliki pelbagai nada yang harmoni, ia mampu memberi rangsangan berupa gelombang alfa.
Gelombang ini berupaya menimbulkan ketenangan dan ketenteraman sehingga anak dapat memberi tumpuan yang lebih terhadap sesuatu perkara.
7. Pengetahuan Asas
Perdengarkan juga beberapa jenis bahasa dan pelbagai pengetahuan asas yang mudah. Mulalah mengajar Aa-B-C, 1-2-3, kata-kata pengenalan diri seperti assalamualaikum, hello, ini ibu atau ayah dan sebagainya.
Lakukan isyarat-isyarat mudah seperti menepuk perut dengan lembut, menggosok persekitaran perut, menggoncang perut perlahan-lahan dan kemudian usap lembut bagi menenangkannya.
Rakamkan suara anda, suami dan ahli keluarga yang lain berserta bunyi-bunyian dan pasangkan earphone ke perut. Dengan cara itu bayi yang bakal lahir mudah mengecam suara-suara orang terdekat dengannya setelah dilahirkan kelak.
Perkenalkan juga perbezaan suasana seperti terang dan gelap dengan menggunakan lampu picit yang disuluh ke perut. Lakukan rangsangan ini selama lima hingga 10 minit setiap kali melakukannya.
Untuk pasangan yang sedang ikhtiar hamil, jom sertai grup komuniti ‘Pejuang Garis 2 Pa&Ma’ untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah best.
Ibu hamil zaman sekarang bukan macam zaman dahulu. Kalau dulu mungkin bakal ibu tertanya-tanya apa agaknya jantina anak dalam kandungan, tetapi kini semuanya boleh diketahui dalam beberapa saat sebaik sahaja doktor membuat ujian imbasan.
Bagaimanapun tidak semestinya hasil ujian tersebut memberikan jawapan yang 100% betul. Adakalanya jantina anak yang lahir berlainan dengan apa yang dijangkakan oleh doktor.
Jantina anak boleh diketahui apabila janin sudah pun berumur 6 bulan ke atas. Jika masih terlalu awal, jantina anak sukar untuk diketahui. Namun ia boleh diagak dengan cara psikologi.
Ada beberapa perbezaan fizikal wanita yang hamil bayi lelaki dan perempuan. Mungkin ciri-ciri ini boleh diguna pakai untuk memberi gambaran jantina anak dalam kandungan ibu.
Namun jangan percaya 100% kerana ada yang hanya berdasarkan mitos orang tua-tua zaman dahulu tanpa bersandarkan kepada fakta yang jelas. Tetapi kalau untuk suka-suka tak salah mengetahuinya.
1. Malas Bersiap
Orang tua-tua ada mengandaikan ibu hamil anak lelaki mempunyai sikap malas hendak bersiap atau melaram. Kalau dulu, ibu seorang yang suka bermekap dan berpakaian cantik, ketika mengandung dia menjadi malas hendak bersiap-siap.
2. Bentuk & Kedudukan Perut
Untuk anak lelaki, biasanya bakal ibu mempunyai bentuk perut yang buncit atau bundar. Seterusnya, kedudukan perutnya dilihat berada di bawah dan kedudukan kandungan lebih rendah. Sedangkan untuk bayi perempuan kedudukan kandungan lebih tinggi.
Anda boleh mencuba untuk memegangnya secara perlahan. Ketika hamil bayi lelaki, si ibu akan mengalami kenaikan berat badan berbanding hamil bayi perempuan.
3. Ukuran Payudara
Ukuran payudara juga boleh menunjukkan ciri-ciri hamil anak lelaki. Ketika awal kehamilan, ukuran payudara akan berubah. Ini disebabkan perubahan hormon di dalam tubuh.
Wanita yang hamil anak lelaki, akan mengalami ukuran payudara yang semakin membesar. Tetapi payudara bahagian kanan akan lebih besar dibandingkan sebelah kiri.
4. Berat Badan Naik Mendadak
Wanita yang hamil anak lelaki akan memiliki peningkatan berat badan yang mendadak seperti ibu hamil anak kembar. Biasanya berat badan meningkat lebih daripada 10 kg, berdasarkan kepada pola makan ibu sendiri.
5. Keluar Banyak Jerawat
Biasanya ibu hamil anak lelaki akan cenderung mempunyai masalah jerawat walaupun semasa tidak hamil dia tidak pernah berjerawat. Ini kerana berlaku peningkatan hormon di dalam badannya.
6. Suka Makan Makanan Berkalori Tinggi
Antara ciri-ciri ibu hamil anak lelaki adalah memiliki berat badan yang naik mendadak kerana gemar makan makanan berkalori tinggi seperti daging, makanan laut.
7. Kedudukan Tidur
Ibu yang mengandung anak lelaki gemar tidur dalam posisi mengiring ke sebelah kiri.
8. Wajak Kelihatan Kusam
Kebanyakan ibu hamil anak lelaki agak malas hendak melakukan rutin penjagaan wajah seperti memakai pembersih, toner dan pelembap seperti biasa. Akibatnya kulit wajah kelihatan agak kusam dan kurang bermaya.
9. Kulit Kering
Oleh kerana ibu hamil anak lelaki kurang gemar memakai produk penjagaan kulit dan merawat kecanitkan maka kebanyakan mereka mempunyai masalah kulit kering.
10. Mudah Lesu
Akibat banyak gangguan kehamilan yang dialami, bakal ibu mudah berasa letih dan lesu sehingga kurang minat hendak melakukan pelbagai aktiviti walaupun sebelum hamil terkenal sebagai seorang yang aktif.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!