Tabiat menyapu bedak pada badan dan muka bayi ini sebenarnya akan hanya membahayakan anak-anak kecil kita. Ia tidak bagus untuk anak dan si kecil kita malah mengundang bahaya. Hentikan!
Menurut perkongsian Dr Ahmad Luqman Bukhari , sekiranya anda merupakan ibu ayah yang kerap menyapukan bedak talkum pada muka anak lepas mandi, sebaiknya hentikan tabiat itu selepas membaca apa yang dikongsikannya ini.
Kalau korang jenis yang suka sapukan bedak talkum kat muka anak lepas mandi, tolong hentikan terus tabiat tu lepas baca apa yang saya tulis ni.
Dulu saya pun ada jugak perangai sama macam tu. Cuma bila terbaca amaran daripada American Academy of Paediatric tentang bahaya perbuatan tu, terus saya stop serta merta.
Rupanya doktor pakar kanak-kanak dah bagitau lama dah pasal benda ni. Even kes baby mati akibat masalah pernafasan yang berpunca dari debu bedak ni dah dilaporkan sejak awal tahun 60-an lagi.
Partikel bedak talcum tu kan halus sangat-sangat.
Bila kita sapu kat anak, risiko memang tinggi untuk anak kita terhidu lalu berterusan masuk ke dalam salur pernafasan.
Akhirnya boleh sampai ke paru-paru si comel kita hingga menyebabkan dia sering terbatuk, sesak nafas dan akhirnya mengalami jangkitan paru-paru yang serius (talcum powder poisoning),” katanya berkongsi.
Rosakkan salur pernafasan bayi
Malah yang ibu ayah tidak tahu, debu talkum juga sebenarnya mampu bertindak merosakkan salur pernafasan bayi yang masih kecil. Dan inilah yang diakui oleh American Academy of Paediatric melalui hasil kajian mereka. Bahaya kan?
Menurut American Academy of Paediatric jugak, sedikit debu talkum pun cukup bahaya serta mampu merosakkan salur pernafasan bayi yang kecil.
Mintak tolong ya mak ayah sekalian. Janganlah duk seronok nak pakaikan bedak talkum ni pada anak kecil.
Lagi-lagi bayi yang berisiko dan mempunyai sistem pernafasan sensitif seperti bayi pramatang, anak yang menghidap sakit jantung dan mempunyai breathing problem sejak lahir.
Tak apalah kalau anak kita nampak comot sikit, tak berbedak wangi macam anak orang lain. Asalkan kesihatan dia tak terganggu.
Tolong sebarkan #info ni pada mak ayah yang belum tahu ye. Saya ni sampai sekarang masih duk rasa bersalah kat anak saya sebab saya pernah terbuat benda yang bahayakan kesihatan dia ni.
Dr Ahmad Luqman Bukhari.
Menarik: “Ikut Muka Mommy, Sebiji Sama”, CP Juliana Evans Kongsi Wajah Anak Kedua, Comelnya!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mata Asyik Kabur Waktu Mengandung Bukan Biasa. Kalau Biar, Berisiko Kena Sawan
Sawan boleh berlaku pada wanita hamil. Ia disebabkan oleh masalah epilepsi, jangkitan di bahagian otak (encephalitis) dan ketumbuhan (tumor) di otak tetapi sebab utama berlakunya sawan ketika hamil adalah eclampsia. Sawan eklampsia ini adalah satu kes kecemasan. Ia membahayakan ibu dan juga bayi di dalam kandungan. Berlaku secara tiba-tiba dan jarang sekali dapat diramalkan kejadiannya.
Apabila kecemasan sebegini berlaku di hospital, semua doktor pakar perbidanan, kecemasan, bius dan staf yang ada diperlukan dan akan bekerjasama melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan ibu yang mengalami sawan. Boleh anda bayangkan apa yang berlaku jika kes kecemasan yang sama berlaku di rumah wanita itu dan bukan di hospital? Dr Norintan Zainal Shah, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Columbia Asia, Seremban mengulas lanjut mengenai hal ini.
Bagaimana berlakunya sawan?
Eklampsia berlaku kerana masalah tekanan darah yang tinggi pada wanita yang mengandung. Jika ibu hamil memang sedia ada darah tinggi, risiko untuk mendapat eklampsia juga lebih tinggi. Setiap wanita yang hamil dinasihatkan untuk melakukan “antenatal booking” di klinik kesihatan atau klinik berhampiran dan salah satu pemeriksaan yang penting adalah bacaan tekanan darah.
Artikel Menarik: [Campur Itu Ini Dengan Peluntur, Konon Nak Bersihkan Rumah. Rupanya Jadi Racun!]
Ramai wanita akan mengeluh apabila bacaan tekanan darah mereka rendah : nasihat saya, jangan risau kerana bacaan tekanan darah yang rendah adalah perubahan yang NORMAL sewaktu hamil. Bacaan ini akan naik semula ke tahap “tekanan darah yang normal” selepas kehamilan melintasi minggu yang ke-20.
Tekanan darah dikategorikan sebagai tinggi jika ia sama atau melebihi 140/90 mmHg, bacaan ini diukur sekali lagi selepas 4 jam.
Ada juga doktor yang berpendapat, jika tekanan darah diastolik meningkat 15mmHg dan sistolik meningkat 30mmHg, ini cukup untuk meletakkan wanita tadi dalam pemerhatian rapi kerana tidak semua wanita yang mengalami eklampsia mempunyai tekanan darah 140/90mmHg.
Namun, bacaan tekanan darah 160/110mmHg ke atas adalah perkara serius, maka tidak perlu untuk “tunggu dan lihat”, malah wanita tadi memerlukan rawatan hospital dengan segera.
Ketika ibu hamil mengalami tekanan darah yang tinggi, protein di dalam air kencing perlu diperiksa misalnya dengan menggunakan dipstik, jika ia 1+ atau lebih, keadaan ini dinamakan sebagai pre-eklampsia. (Pre-eklampsia bererti “sebelum berlakunya eklampsia”)
Mengapa rawatan segera penting dalam kes-kes darah tinggi dan/atau pre-eklampsia? Ini adalah untuk satu tujuan sahaja iaitu menyelamatkan nyawa ibu yang hamil tadi dan mengelakkan dari berlakunya sawan atau eklampsia. Bacaan tekanan darah semakin tinggi sewaktu pre-eklampsia dan eklampsia dipercayai menyebabkan otak membengkak dan seterusnya mencetuskan sawan atau eklampsia pada ibu yang hamil itu.
Apakah kesannya jika sawan ini berlaku?
Jika eklampsia berlaku, ibu akan menerima rawatan resusitasi dan ubat dimulakan untuk eklampsia dan darah tinggi. Setelah stabil, bayi akan dilahirkan walaupun usia bayi belum matang lagi.
Eklampsia adalah sawan yang berlaku hanya ketika wanita itu hamil. Bayi dan uri dalam kandungan adalah penyebabnya. Untuk merawat dan menyelamatkan wanita tadi, “penyebab” eklampsia perlu “dilahirkan”. Kebanyakan kes eklampsia akan semakin pulih selepas kelahiran bayi TETAPI ada juga kes-kes yang kritikal dan tidak pulih, malah meninggal dunia akibat eklampsia. Ini adalah kerana eklampsia boleh menyebabkan komplikasi yang serius di dalam pelbagai organ seperti:
- Pendarahan di otak / strok
- Pendarahan yang tidak berhenti/ DIVC
- Pendarahan di hati dan ginjal
- Masalah paru-paru berair
- Masalah jantung / “heart failure”
- Koma
- Meninggal dunia
Jika keadaan ini berlaku, apa risiko pada bayi dalam kandungan?
Masalah eklampsia berkait rapat dengan masalah placenta/uri dalam kandungan. Kajian menunjukkan uri adalah organ yang menyalurkan darah dari ibu kepada bayi untuk bekalan oksigen dan nutrisi tetapi dalam kes tekanan darah tinggi, pre eklampsia dan eklampsia, perjalanan darah di dalam uri semakin berkurangan dan boleh menyebabkan kandungan tadi mengalami masalah tumbesaran dalam kandungan. Bayi dalam kandungan juga boleh meninggal dunia.
Artikel Menarik: [Minum Ais Guna Mulut Bukan Saluran Lain. Macam Mana Boleh ‘Becak’ Di Kawasan Sulit?]
Jika ibu mengandung mengalami pre-eklampsia atau eklampsia, bayinya terpaksa dilahirkan dan ini mungkin berlaku sebelum bayi itu matang. Bayi pramatang boleh mengalami masalah paru-paru dan pendarahan di otak. Bayi pramatang boleh juga mengalami masalah usus yang dikenali sebagai necrotizing enterocolitis. Mereka juga mudah mengalami jangkitan kuman di paru-paru misalnya.
Bayi-bayi ini juga boleh mengalami masalah visual dan pendengaran di kemudian hari.
Bagaimanakah cara nak elakkan sawan ketika hamil?
Pada waktu ini tidak ada bukti kukuh untuk mengurangkan risiko eklampsia, tetapi penggunaan ubat “low dose aspirin”, kalsium, L-arginin dan antioksidan banyak digunakan bagi tujuan ini.
Pada waktu yang sama, ibu dinasihatkan supayaya berhati-hati jika:
- Termasuk dalam golongan yang berisiko tinggi
- Berlaku kenaikan bacaan tekanan darah, kenaikan berat badan dan keputusan air kencing menunjukkan adanya protein ketika pemeriksaan kehamilan
- Adanya simptom-simptom pre-eklampsia (walaupun tekanan darah normal ketika itu), hendaklah terus pergi ke hospital!
Golongan wanita yang berisiko tinggi adalah:
- Hamil buat kali pertama
- Hamil buat kali pertama dengan pasangan yang baru
- Pernah mengalami pre-eklampsia
- Ibu atau adik-beradik pernah mengalami pre-eklampsia
- Mengandung anak kembar (atau lebih)
- Mengalami masalah darah tinggi SEBELUM hamil
- Berat badan naik dengan mendadak
- Ujian air kencing dipstick menunjukkan adanya protein
Simptom-simptom atau gejala-gejala pre-eklampsia boleh berlaku sebelum tekanan darah melonjak tinggi. Jika anda mengalaminya, pergi ke hospital dengan segera. Di antaranya adalah:
- Sakit kepala atau migrain
- Pening
- Loya
- Sakit ulu hati/ gastrik
- Kabur mata
- Muntah
Kesimpulannya kes-kes sawan eklampsia ini masih merupakan kes kecemasan yang utama dan serius di mana-mana hospital. Oleh itu, pihak kakitangan hospital dan juga semua wanita hamil hendaklah sentiasa berjaga-jaga jika tekanan darah mula meningkat tinggi.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sayang Anak, Kawallah Pemilihan Produknya, Jangan Tersalah Pilih!
Keterujaan ibu membeli barangan dan kelengkapan anak sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Namun ibu perlu hati-hati dan bijak dalam berbelanja agar tidak berlakunya pembaziran.
Keprihatinan ibu dalam menangani masalah yang dihadapi anak adakalanya membuatkan ibu tersilap langkah. Namun dalam memilih produk, paling utama pastikan produk yang dipilih selamat.
Periksa setiap label, rekaan atau jenis produk yang digunakan supaya anak tidak mengalami sebarang alahan mahupun terkesan dengan produk yang dipilih. Ini penting!
Sebelum membeli, pastikan beberapa perkara ini diperiksa.
Periksa label dan kandungannya
Periksa tanda kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan kemudiaannya periksa juga isi kandungannya. Jika mencuba produk sebagai salah satu jalan dan usaha anda, pilihnya produk yang hanya digunakan untuk sapuan luaran sahaja, elakkan produk yang dimakan.
Bebas Warna Dan Bau
Baik kanak-kanak mahupun bayi, penggunaan ubat sapuan pada kulit perlu diberikan perhatian sewajarnya bimbang anak-anak terkesan pada kulit.
Baik anak ekzema atau yang mempunyai kulit yang agak sensitif, sebaiknya elakkan membeli produk yang berbau wangi serta memiliki buih yang banyak. Kedua ciri ini dikatakan mempunyai campuran bahan kimia yang banyak. Elakkan.
Periksa Tarik Luput
Baik produk makanan mahupun produk-produk lain seperti mandian, ubat-ubatan dan sebagainya, pastikan tarikh luputnya sentiasa diperiksa. Ini bagi mengelakkan sebarang jenis alahan yang bakal dihidapi anak-anak. Produk makanan terutamanya, elakkan makanan hampir tarikh luputnya.
Pilih Produk Sapuan Selamat
Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak juga turut berdepan pelbagai masalah seperti kembung perut dan sebagainya. Selain melakukan urutan bagi menyelesaikan masalah kembung perut ini, penggunaan produk tertentu amat wajar namun jangan tersalah pilih produk.
Produk Meracle berbentuk salap atau ‘salve’ ini antara produk yang diyakini dapat membantu masalah ibubapa.
Ia selamat digunakan bukan hanya untuk kanak-kanak bahkan orang dewasa. Paling menarik, produk ‘salve’ ini tidak mengandungi paraben, paraffin dan kapur barus yang tidak selamat untuk semua.
Produk yang satu ini juga bukan hanya dapat mengurangkan angin dalam badan untuk kelegaan serta-merta, bahkan melegakan sakit kepala seperti sinus, migrain, tension dan cluster.
Paling membantu masalah ibu bapa, salap dari Meracle ini juga membantu mengurangkan masalah kembung perut bayi. Tidak hairanlah ia selamat digunakan kepada bayi di bawah umur dua tahun. Sangat membantu.
Ini yang perlu anda tahu mengenai produk Meracle ini.
Salap Meracle dirumus dengan bahan semulajadi seperti halia muda, pudina dan eucalyptus tanpa penambahan bahan yang memberi kesan sampingan. Ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada ciri salap Meracle yang tidak bewarna.
Bukan itu sahaja bahkan salap Meracle ini tidak dicampurkan dengan bahan-bahan yang dinyatakan, menjadikan ia selamat untuk penggunaan semua peringkat umur terutamanya bayi bawah 2 tahun.
Apakah bahan utama yang terkandung dalam salap ini?”
Meracle dirumuskan dengan bahan 100% semulajadi antaranya:
1.Halia Muda
Membantu melancarkan penghadaman, mengurangkan rasa loya, dan merawat selsema.
- Pudina
Membantu mengukuhkan sistem imun, mengurangkan simptom selsema dan mengurangkan tekanan.
3️. Eucalyptus
Membantu mencegah selsema, meredakan kesesakan serta melegakan sakit otot dan sendi.
Tak perlu bersusah payah, sapukan sahaja pada permukaan kulit setiap kali anak kembung perut. Ibu juga tambah selesa mengendalikan anak setiap masa.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Dilarang Membuat Sabun Dari Susu Badan, Susu Ibu Adalah Suci” Pesan Untuk Ibu Menyusu- Mufti
Membuat sabun dari lebihan susu badan sangat popular dalam kalangan ibu menyusu. Namun apakah hukumnya membuat sabun dari lebihan susu badan untuk kegunaan sendiri? Ikuti perkongsian daripada laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Assalamualaikum w.b.t
Saya ingin bertanya, saya mempunyai susu badan yang berlebihan. Dan susu badan tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Jadi, saya bercadang hendak menjadikannya sebagai sabun. Soalannya, apakah hukum membuat sabun dengan menggunakan susu badan tetapi untuk kegunaan diri sendiri sahaja? Mohon penjelasan Dato’ Mufti.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah al-Baqarah : 233)
Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa hukum-hukum ini telah ditetapkan oleh syarak bertujuan menjaga dan melindungi anak-anak supaya dapat terus hidup serta menjamin masa depannya. Sesiapa yang berpaling daripada hukum ini, maka dia telah berdosa dan mendapat hukumannya di hari akhirat kerana agama Islam itu adalah rahmat bagi seluruh alam, tidak kira yang masih kecil atau dewasa. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/130)
Susu ibu adalah suci
Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
لَبَنُ الْآدَمِيِّ وَهُوَ طَاهِرٌ عَلَى الْمَذْهَبِ … وَبِهِ قَطَعَ الْأَصْحَابُ إلَّا صَاحِبَ الْحَاوِي فَإِنَّهُ حَكَى عَنْ الْأَنْمَاطِيِّ مِنْ أَصْحَابِنَا أَنَّهُ نَجِسٌ وَإِنَّمَا يَحِلُّ شُرْبُهُ لِلطِّفْلِ لِلضَّرُورَةِ … وَهَذَا ليس بشئ بَلْ هُوَ خَطَأٌ ظَاهِرٌ وَإِنَّمَا حَكَى مِثْلَهُ لِلتَّحْذِيرِ مِنْ الِاغْتِرَارِ بِهِ وَقَدْ نَقَلَ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ إجْمَاعَ الْمُسْلِمِينَ عَلَى طَهَارَتِهِ قَالَ الرُّويَانِيُّ … إذَا قُلْنَا بِالْمَذْهَبِ إنَّ الْآدَمِيَّةَ لَا تَنْجُسُ بِالْمَوْتِ فَمَاتَتْ وَفِي ثَدْيِهَا لَبَنٌ فَهُوَ طَاهِرٌ يَجُوزُ شُرْبُهُ وَبَيْعُهُ
Maksudnya : “Susu badan adalah suci menurut mazhab Syafie… dan ianya adalah pendapat yang diputuskan oleh para ashab (ulama Syafi’iyyah) kecuali penulis kitab al-Hawi. Beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmathi yang merupakan salah seorang daripada ulama Syafi’iyyah bahawa susu badan adalah najis. Dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana dharurat… Dan pendapat ini tiada apa-apa (nilai) bahkan telah jelas kesilapannya. Akan tetapi beliau telah menukilkan pendapat seperti ini bertujuan supaya berhati-hati daripada ditipu dengannya (pendapat tersebut). Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum muslimin telah ijma’ akan kesuciannya. Al-Ruyani telah berkata… sekiranya kita mengatakan, mengikut pendapat mazhab (syafie) bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Maka, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya ada susu. Susu tersebut adalah suci serta harus (hukumnya) untuk diminum dan dijual.”
(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/569)
Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada mengatakan bahawa :
أَمَّا لَبَنُ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ كَلَبَنِ الْفَرَسِ وَإِنْ وَلَدَتْ بَغْلًا فَطَاهِرٌ. قَالَ تَعَالَى : {لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ} [النحل : 66] وَكَذَا لَبَنُ الْآدَمِيِّ، إذْ لَا يَلِيقُ بِكَرَامَتِهِ أَنْ يَكُونَ مَنْشَؤُهُ نَجِسًا.
Maksudnya : “Adapun susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Firman Allah SWT : {(iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.}[Surah al-Nahl : 66] Dan demikianlah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk (dikatakan) ia berasal (sumber) daripada najis.”
(Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234)
Begitu juga al-Mardawi juga ada menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama (tanpa perselisihan). (Lihat al-Insof fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/343)
Maka, kita ketahui bahawa susu manusia adalah suci dan bukannya najis. Perkara ini kami telah jelaskan di dalam artikel kami al-Kafi li al-Fatawi (1542) : Adakah Susu Ibu Suci serta Sah Solat Dengannya?
Membuat sabun dengan susu manusia
Perbincangan dan perbahasan mengenai susu ibu atau susu badan banyak berkisar mengenai hukum penyusuan iaitu apabila ia diminum ataupun sekiranya ia dijual beli.
Hukum asal menggunakan susu (yang suci) sebagai salah satu bahan dalam sabun adalah harus seperti susu kambing atau lembu. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya : “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”
Akan tetapi menjadikan susu badan sebagai salah satu bahan di dalam pembuatan sabun, kami cenderung untuk mengatakan bahawa perkara tersebut adalah dilarang dan tidak dibenarkan.
Hal ini kerana kedudukan manusia itu tinggi di sisi Allah SWT berbanding makhluk yang lain, jadi semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun). Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu serta merendah-rendahkan kemuliaan seorang manusia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Perkara ini adalah sebagaimana firman Allah SWT :
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿١٣﴾
Maksudnya : “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Jathiyah : 13)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmatNya dan juga kurniaanNya. Maka hendaklah kepadaNya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagiNya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaanNya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaanNya) serta hujah-hujah dan dalil-dalilNya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)
Begitu juga, larangan ini adalah selaras dengan peraturan ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. (Lihat Guidelines for Control of Cosmetic Product in Malaysia, Bhg. Cosmetic Ingredients, hlm. 10) Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, susu ibu adalah termasuk di dalam larangan tersebut dan sabun adalah merupakan salah satu daripada produk kosmetik.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami simpulkan kepada beberapa perkara :
Kami cenderung kepada pendapat yang melarang susu badan atau susu ibu dijadikan sebagai sabun. Hal ini kerana kedudukan manusia itu sendiri yang mulia dan tinggi di sisi Allah SWT. Justeru, semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun).
Kemuliaan seorang manusia adalah berdasarkan firman Allah SWT :
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam..”
(Surah Al-Isra’ : 70)
Larangan ini juga adalah selaras sebagaimana keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-86 yang tidak membenarkan penggunaan susu ibu sebagai bahan kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.
Ini juga adalah sebagai langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada merendah-rendahkan kedudukan manusia itu sendiri serta penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Kami juga ingin menasihati semua wanita yang mempunyai lebihan susu yang selamat daripada penyakit berjangkit atau kesan ubat-ubatan yang diambil sebelum susu diperah, adalah lebih baik sekiranya dia boleh mencari anak susuan yang benar-benar memerlukan susu ibu untuk diberikan. Moga-moga ia boleh menjadi salah satu amal kebaikkan yang diterima oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Kredit: Laman Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI