Tak Ziarah & Terima Tetamu, Ashraf Muslim Trauma Nak Beraya, Bimbang Sebar Virus Walau Dah Bebas Covid-19

Share

Pada pertengahan April yang lalu, pelakon Ashraf Muslim disahkan positif Covid-19 sekembalinya dia dari menjalani penggambaran drama bersiri di luar negara bersama-sama beberapa pelakon dan team produksi yang terlibat.

Selepas dirawat dan dikuarantin selama 25 hari di Pusat Kawalan Kusta Negara, Hospital Sungai Buloh, dia akhirnya disahkan bebas dari jangkitan penyakit tersebut.

Walaupun begitu, akui pelakon ini kepada sebuah akhbar tempatan bahawa dia masih lagi trauma dan bimbang hendak bertemu sanak saudara dan kini lebih berhati-hati.

“Saya masih trauma, hendak pergi beraya rumah keluarga pun saya berfikir. Sebagai bekas pesakit COVID-19, apa yang saya lalui bukanlah suatu yang mudah.

“Saya takut saya jadi ejen penyebar walaupun saya sudah disahkan bebas COVID-19.

“Kalau dalam kalangan keluarga tidak mengapa. Tetapi, kalau orang luar berjangkit, saya lebih rasa bersalah.

“Sehubungan itu, saya lebih berhati-hati dan tidak melakukan ziarah atau menerima tetamu,” katanya.

Malah, Ashraf tidak mahu dijangkiti virus berkenaan sekali lagi.

“Mereka yang tidak pernah dijangkiti COVID-19 tidak tahu bagaimana seksanya menjadi pesakit yang dikuarantin.

“Penyakit ini bahaya… Walaupun tidak nampak sakit, ia sebenarnya memberi kesan kepada emosi kita.

“Cara kita berfikir pun berbeza,” katanya.

Ashraf berkata, Dayana yang merawat pesakit COVID-19, sering menasihati dirinya agar berjaga-jaga.

“Dayana risau, seluruh keluarga juga bimbang. Jika keluar rumah, kami menjaga kebersihan.

“Biarpun sekadar keluar ke kedai, saya tetap membasuh baju yang dipakai,” katanya.

Komunikasi kunci keharmonian rumahtangga Ashraf Muslim

Mengamalkan kehidupan berpoligami, pelakon Ashraf Muslim berpegang kepada faktor komunikasi sebagai kunci keharmonian.

Apatah lagi ketika meraikan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kebimbangan terhadap penularan COVID-19, kesepakatan antara pasangan amat penting bagi memastikan semuanya lancar.

Ashraf atau nama sebenarnya, Muhd Ashraf Muslim bersyukur dia dapat menjalin komunikasi efektif bersama kedua-dua isterinya, Dr Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

“Komunikasi paling mudah adalah berbincang. Contohnya, duduk bersama dan berunding tahun ini di mana kita hendak beraya.

“Apabila tiada komunikasi, itu yang pening hendak balik beraya di mana.

“Tidak kiralah beristeri satu atau dua, kalau ada komunikasi yang baik, mesti tiada masalah.

“Apabila tiada komunikasi, itu yang jadi tunggang terbalik. Kita sebagai ketua keluarga kena mainkan peranan penting. Kita mesti tahu tugas masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Isteri-isteri setiasa berkerjasama dalam semua hal

Ashraf berkata, kemanisan sesebuah institusi keluarga itu terletak kepada kerjasama.

“Sebenarnya, keseronokan Aidilfitri bukan pada sedap atau tidak juadah yang dihidangkan, tapi kepada usaha untuk menyediakannya bersama-sama.

“Memori itu yang kita akan ingat sampai bila-bila. Kalau sedap makanan itu, ia bonus buat kita.

“Tetapi isteri-isteri saya tidak pernah masak tak sedap. Mereka bekerjasama memasak dari malam raya untuk kami sekeluarga,” katanya.

Ashraf berkata, isteri-isterinya menyediakan rendang, kuah kacang, ketupat dan nasi impit bersama-sama.

“Seperti tahun-tahun lalu, mereka sama-sama memasak. Apabila semua perkara dilakukan bersama, pasti dapat rasa kemanisan itu,” katanya.

Menerusi perkahwinan pertama dengan Dayana, Ashraf dikurniakan cahaya mata lelaki. Bersama Sakinah, mereka dikurniakan tiga anak.

Sambut Aidilfitri secara sederhana

Biarpun kali ini Aidilfitri disambut secara sederhana, pelakon berusia 39 tahun ini bersyukur masih berkesempatan meraikan Syawal bersama keluarga.

“Sambutan kali ini cukup sederhana. Solat sunat Aidilfitri pun dilakukan di rumah dan kali pertama saya menjadi imamnya,” katanya.

Jika mengikut perancangan awal, Ashraf akan membawa isteri dan anak-anak beraya di kampungnya di Melaka. Ini disusuli kampung Dayana di Gombak dan Sakinah di Ipoh, Perak.

“Namun, disebabkan PKPB, kami di Kuala Lumpur. Selesai beraya di rumah, kami menziarahi keluarga berdekatan. Itupun hanya dua rumah yang kami pergi,” katanya.

Sumber: BH Online & Instagram Ashraf Muslim

Published by
Shahrina Azlin Binti Abdullah