Didiagnosis dengan barah payudara merupakan mimpi ngeri untuk setiap wanita, bahkan dirasakan seolah-olah hukuman mati.
Lagi perit apabila berita ini diketahui ketika masih mempunyai anak kecil yang menyusu badan. Perasaan pasti bercampur-baur, risau kesihatan anak terjejas, tetapi kasihan pada si kecil yang dahagakan susuan ibu.
Persoalannya, selamatkah penyusuan bayi untuk wanita yang mempunyai barah payudara? Teruskan membaca ya!
Barah payudara dan penyusuan bayi
Para ibu yang didiagnosis dengan barah payudara dan baru melahirkan si kecil pasti akan berasa sedih dan rendah diri kerana menganggap mereka tidak akan dapat menyusukan bayi.
Sebenarnya, penyusuan bayi selepas rawatan selalunya SELAMAT untuk anda dan bayi anda SELAGI anda tidak menjalani kemoterapi atau mengambil ubat terapi hormon seperti tamoxifen.
Ubat terapi barah payudara seperti tamoxifen atau trastuzumab boleh hadir dalam susu anda, dan menjejaskan kesihatan serta perkembangan bayi anda.
Berundinglah dengan doktor anda mengenai jangka masa anda harus menunggu selepas kemoterapi anda berakhir sebelum selamat menyusukan bayi anda.
Pasca pembedahan payudara dan penyusuan bayi
Sekiranya anda telah menjalani pembedahan pada payudara yang terlibat, anda boleh menyusui si kecil anda dengan menggunakan payudara yang sihat.
Namun begitu, ia juga bergantung dengan jenis pembedahan yang dijalankan ke atas anda.
Jika anda masih susah untuk menghasilkan susu badan setelah beberapa kali menyusukan atau mengepam, silalah berunding dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai.
Boleh ke bayi saya mendapat kanser juga?
Jangan risau, barah payudara tidak akan menjangkiti si kecil anda melalui penyusuan badan. Jika anda masih dapat menghasilkan susu di bahagian payudara yang terlibat, anda boleh menyusukan bayi anda seperti biasa.
Namun, terdapat kemungkinan yang bayi anda akan menolak susu dari payudara yang terjejas. Hal ini kerana rasa susu selalunya berubah atau bekalan susu menurun disebabkan pertumbuhan sel-sel dan tisu barah.
Prosedur diagnostik, ada kesan sampingan ke?
1. Teknik pengimejan
Pengimejan diagnostik untuk barah payudara seperti mamografi, X-ray, MRI, skan CT , skan PET dan sebagainya tidak invasif serta tidak menjejaskan pengeluaran atau keselamatan susu anda.
Bahan kontras yang digunakan untuk teknik pengimejan adalah selamat dan tidak akan hadir dalam susu anda. Oleh itu, ia tidak akan mengganggu proses penyusuan bayi.
2. Aspirasi jarum
Prosedur ini selalu dijalankan untuk membuang kandungan sista dan bengkak susu. Ia tidak akan menjejaskan pengeluaran mahupun kualiti susu anda.
3. Biopsi
Biopsi ialah satu pembedahan kecil di mana tisu barah akan dikeluarkan untuk tujuan analisis diagnostik.
Prosedur ini boleh merosakkan saluran atau saraf laktasi bergantung kepada teknik, jumlah tisu yang dikeluarkan dan lokasi pemotongan.
Pemotongan di bahagian kuadran payudara atas dan dalam biasanya paling selamat, sementara pemotongan di sekitar areola boleh merosakkan tindak balas saraf yang mempengaruhi pengeluaran susu.
Parut atau jangkitan dari biopsi juga boleh membahayakan tisu yang menghasilkan susu badan anda. Sekiranya jangkitan berlaku, ia boleh dirawat dengan antibiotik yang selamat untuk penyusuan bayi.
Terapi barah payudara dan penyusuan bayi
1. Terapi radiasi
Terapi radiasi boleh merosakkan tisu penghasilan susu dan berkemungkinan mengurangkan keupayaan pengeluaran susu, kadang-kadang sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, payudara yang tidak menerima radiasi tidak akan terjejas dan selamat untuk penyusuan bayi.
2. Kemoterapi
Penyusuan bayi semasa kemoterapi sangat tidak dibenarkan kerana ubat-ubatan yang digunakan untuk membasmi sel barah payudara sangat toksik dan boleh dipindahkan ke dalam susu.
Penyusuan susu ibu setelah kemoterapi selesai kemungkinan boleh dilakukan bergantung kepada ubat-ubatan yang digunakan.
3. Pembedahan barah payudara
a) Lumpektomi
Kemampuan anda untuk berjaya dengan penyusuan bayi menggunakan payudara yang terjejas bergantung kepada jumlah tisu dikeluarkan dan sama ada anda menerima radiasi atau tidak.
Sebilangan besar wanita selepas lumpektomi dapat menghasilkan sedikit susu dari bahagian payudara yang dirawat.
b) Mastektomi tunggal
Bagi mastektomi tunggal, penyusuan bayi dari payudara yang tidak terjejas boleh dijalankan.
Banyak pakar beranggapan meskipun pada awalnya penghasilan susu terhad, tetapi dengan penyusuan dan pengepaman yang kerap, anda mungkin dapat menyusukan si kecil dengan jayanya.
c) Mastektomi berganda
Oleh sebab tiada saluran susu yang tersisa, anda tidak akan dapat menyusukan bayi anda.
Buat para ibu yang mengalami keadaan sebegini, janganlah berputus asa ya! Berbincanglah dengan pasangan, ahli keluarga dan doktor anda untuk mendapatkan penyelesaian terbaik untuk anda dan bayi.
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)