Pernah tak ibu-ibu dengar mengenai urutan perineum? Satu kajian pernah dijalankan menunjukkan urutan perineum ini mampu mengurangkan koyakan pada bahagian vagina kita semasa bersalin sekaligus mengurangkan risiko ‘kena gunting’ oleh doktor.
Kebanyakan wanita yang mengamalkan urutan ini melaporkan mereka tidak mengalami kesakitan pada bahagian perineum atau faraj dalam tempoh 3 bulan selepas bersalin normal
Anda boleh memulakan urutan perineum bermula pada minggu ke 34 dan sehingga saat ingin bersalin. Anda boleh lakukan sendiri dirumah, 2 kali sehari dengan menggunakan minyak tertentu yang berasaskan bahan semulajadi.
Antaranya minyak zaitun, minyak kelapa dara dan sebagainya. Elakkan minyak bayi, jeli petroleum atau apa jua minyak yang mengandungi bahan kimia. Nak jamin keselamatan anda, buat minyak sendiri dengan menggunakan kelapa parut yang ala- ala minyak selusuh tu.
Anda boleh minta tolong suami yang urutkan tapi yang penting lakukannya dalam keadaan tenang dan jangan sesekali dalam keadaan terpaksa. Waktu yang sesuai ialah selepas mandi dan jika anda ragu- ragu, boleh dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan urutan ini. Urutan ini tidak dibenarkan jika anda mempunyai jangkitan pada bahagian faraj.
Urutan yang dilakukan di bahagian perineum amat digalakkan ketika hamil. Hal ini dapat memudahkan proses bersalin dalam masa yang sama dapat elakkan bahagian faraj kita digunting oleh doktor. Sekali lagi, selamat melahirkan anak-anak hebat, semoga semuanya mudah dan menjadi pengalaman berharga buat ibu- ibu semua.
Sumber: ibudoakan.com