“Takut Tengok Dorang Gaduh.” Wanita Ini Imbas Saat Ayah Pukul Ibunya Kalau Bertengkar

Share

Didikan ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk tumbesaran anak-anak yang sihat dan positif. Ibu bapa merupakan role model pertama yang dilihat oleh anak-anak sepanjang proses pembentukan personaliti dan jati diri mereka.

Sekiranya ibu bapa menunjukkan contoh yang positif, maka anak-anak akan membesar menjadi individu yang cemerlang. Malangnya sesetengah ibu bapa yang gemar bergaduh di depan anak-anak akan mempengaruhi emosi serta meninggalkan kesan negatif dalam diri mereka.

Ikuti pengakuan wanita ini yang selalu menyaksikan ibu bapanya bergaduh semasa kecil.

Assalamualaikum semua. Entah kenapa terasa nak confess disini. Mungkin musim PKP ni terbaca kes penderaan meningkat mengingatkan aku peristiwa ketika aku kecil.

Aku tak pandai sangat nak mengarang ayat, tapi harap pembaca semua boleh faham. Sedikit pengenalan, aku kini berumur awal 30 an, sudah berumah tangga dan dikurniakan anak anak yang sihat dan comel.

Ketika aku kecil aku dibesarkan oleh atuk dan nenek, diambil semula oleh papa dan mama ketika mula bersekolah.

Aku Yang Paling Pendiam Antara Semua Adik-Beradik

Perasaan ketika itu, Allah sahaja yang tahu, tiap malam menangis nak pulang ke rumah nenek. Yang aku tahu mama papa dahulu sibuk, kerja tak tentu masa, sebab itu aku dan adik beradik ditinggalkan di kampung, dan diambil semula bila mula bersekolah.

Aku yang paling pendiam berbanding adik beradik yang lain. Aku tak tahu kenapa aku sangat takut kepada papa dan mama. Cuma dengan mama aku boleh berkomunikasi, dengan papa memang aku kaku.

Takut Dengan Papa. Mula Salam Mama Papa Waktu Dah Besar, Sebab Ustazah Kata Dapat Pahala

Untuk pengetahuan pembaca, keluarga aku ni tak macam keluarga di luar sana, yang boleh berpeluk, malah aku mula salam mama papa secara rutin untuk ke sekolah masa aku dah darjah 4 atau 5, sebab ustazah kata salam mak ayah dapat pahala.

Aku sangat takut dengan papa, hari hari aku harap papa outstation. Atau keluar lama lama dengan kawan kawannya. Memang papa jarang ada di rumah. Selalu habiskan masa entah di mana.

Mama memang selalu bising suruh papa duduk rumah, jangan habiskan duit di luar. Aku boleh buka confession lain pulak kalau nak cerita pasal mama papa ni.

Nak cerita punya aku takut dengan papa, kalau papa naik suara marah abang atau kakak, aku yang mengigil². Satu family tahu aku takut papa. Tapi papa jarang marah/pukul aku.

Benda ni berkurangan lepas aku pun jarang ada rumah sebab masuk asrama, uni dan kemudian berkahwin dan duduk rumah sendiri.

Bergaduh Teruk, Sampai Papa Ambil Pisau Nak Bunuh Mama

Aku ingat lagi masa di uni, aku tertengok berita pasal suami pukul isteri dalam lif, dan dalam lif tu ada anak anak pasangan ni yang sedang tengok. Masa tengok ni aku menangis dan menggigil, baru aku teringat sesuatu. Peristiwa lama yang aku dah terlupa atau memori aku pilih untuk lupakan.

Mama dan papa pernah bergaduh besar di rumah atuk nenek. Aku tak ingat apa punca, yang aku tahu, aku menangis teruk, menyorok bawah katil, abang kakak menangis meraung, atuk nenek pun sama.

Yang aku ingat papa kata “aku bunuh kau, aku bunuh kau”. Papa ke dapur nak cari pisau. Teriakan mama dan nenek jelas masa tu. Aku menangis dan menggigil. Aku dah terbayang darah memancut, mama mati, aku doa atuk nenek tak diapa apakan papa. Dahsyat imiginasi aku masa tu.

Aku tak ingat bagaimana pergaduhan itu selesai. Tapi aku tahu papa pukul mama. Malam itu juga papa, mama, abang kakak pulang semula. Tinggal aku di rumah atuk nenek.

Aku Membesar Dalam Ketakutan, Ada PTSD

Sejak tu aku baru teringat kenapa aku sangat takut dengan papa. Papa memang garang. Kalau dia naik suara memang aku takut. Malah aku sangat takut tiap kali mama papa bergaduh. Kebetulan aku ada belajar pasal PTSD. Baru aku sedar aku mengalaminya.

Kesannya, aku membesar dengan keadaan yang low self esteem, mungkin aku tak rasa selamat ketika terpaksa tinggal dengan mama papa.

Aku tak dapat nak luahkan apa yang aku rasa, jadi aku lebih suka pendam. Aku juga sangat takut bila ada yang marah/tinggikan suara sampai kadang kadang tu boleh keluar air mata.

Sekarang mama papa pun dah tua. Aku dah mula boleh berkomunikasi dengan papa. Rasa sayang? Aku tak tahu, tapi aku memang paksa untuk sayang mama papa, doa untuk mereka memang aku tak pernah tinggal sebab ustaz pesan doa takkan makbul kalau tak doakan mak ayah.

Peluk? Masih kekok, aku pun pelik, aku boleh salam dan peluk kawan², tapi bila dalam keluarga kami bila salam setakat salam, cium tangan, memang tak peluk.

Sikap Ibu Bapa Boleh Pengaruhi Anak-Anak

Bagi aku keluarga ni asas dalam pembentukan jati diri anak, mama papa ni agak hebat di kalangan kawan kawan mereka. Zaman dulu ilmu parenting mungkin tak ada, jadi papa mama tak alert macam mana sikap diorang boleh pengaruhi anak anak.

Sekarang aku memang cuba elak bertengkar dengan suami depan anak anak. Selalunya bila ada yang tak puas hati kami selesaikan masa anak ke sekolah atau masa diorang tidur.

Aku tak nak anak anak aku rasa apa yang aku rasa. Aku cuba galakkan anak anak aku luahkan apa perasaan diorang. Setiap hari peluk dan cium diorang, sebab semua tu aku tak pernah rasa.

Jadi aku harap untuk parents kat luar sana, kalau ada masalah suami isteri jangan sesekali libatkan anak.

– Ana (Bukan nama sebenar) via IIUM Confession

Published by
Emy H