Kononya tangan bayi terseliuh tapi sebenarnya pengasuh sengaja memulas tangan sehingga patah. Lagi kes dera yang melibatkan pengasuh yang masih berleluasa. Muhammad Zaheen Affan patah tangan kanannya akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan pengasuh ketika dalam jagaannya.

BACA: Ambil Kira Perkara Ini Dulu Nak Hantar Anak Ke Pengasuh/Taska. Biarlah Orang Kata Cerewet Pun!

Suami pengasuh sempat memberitahu bapa mangsa bahawa bayi tersebut hanya terseliuh apabila ditanya tentang keadaan tangan anaknya.

BAYI lelaki berusia tiga bulan patah tangan kanan dipercayai didera ketika dalam jagaan pengasuhnya di Seksyen Dua, Seri Iskandar.

Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain yang kini dirawat di Hospital Seri Manjung, dipercayai didera oleh pengasuh wanita berusia 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata berikutan kejadian itu, polis menahan pengasuh berkenaan, semalam.

Beliau berkata, tangkapan susulan pihaknya menerima laporan polis dibuat bapa bayi berkenaan berusia 28 tahun pada 11.04 pagi.

“Berdasarkan laporan itu, bapa mangsa mengambil mangsa di rumah pengasuh di Seksyen Dua dan bertanyakan mengenai keadaan tangan anaknya itu.

“Bagaimanapun suami suspek memaklumkan tangan mangsa terseliuh sebelum membawa mangsa mendapatkan rawatan ke Hospital Changkat Melintang.

“Doktor kemudian merujuk mangsa ke Hospital Seri Manjung dan dimaklumkan tangan mangsa mengalami kesan dipulas dipercayai didera sehingga mengakibatkan patah tulang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, wanita berkenaan ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Sumber: hMetro

Tinggalkan Komen