Sebagaimana yang Ibu kerap kongsikan, kekerapan memukul anak bagi membetulkan anak adalah cara yang sangat merbahaya. Ibu sangat-sangat suka perkongsian Puan A yang kisahnya telah dikongsikan kepada Ibu.
Asalnya, Puan A ini pernah dibesarkan dengan pukulan sebagai cara didikan. Maka dia sendiri sudah merasai bagaimana rasanya ketika dibesarkan dengan cara ini. Kini, dia pula menjadi seorang ibu. Alhamdulillah, beliau punya kesedaran keibubapaan yang sangat baik.
Bacalah, Ibu yakin ianya akan memberi manafaat kepada anda yang berhati indah.
Perkongsian Puan A…
Bila kita pukul anak kecil kita, mereka akan ingat pukul tu benda yang tak salah. Mereka bukan pada tahap umur yang pandai membezakan yang mana betul atau yang mana salah. Jadi, kalau apa saja kita buat, mereka akan ikut.
Bila kita pukul dia, lambat laun dia akan pukul adik-adik dia atau mungkin kawan-kawan di sekolah.
Macam mana saya tahu ni ye? Sebab saya produk anak yang dipukul.
Sepanjang saya mengandung anak pertama, sampai sekarang, saya banyak membaca ilmu parenting. Saya maafkan ibu ayah saya yang masa tu mungkin cetek ilmu keibubapaan mereka. Saya dan suami (juga produk anak yang dipukul dibantai) bertekad untuk membesarkan anak kami tanpa pukulan.
Namun, saya tak dapat kawal anak-anak orang lain yang sama taska dengan anak saya. Pada suatu masa, saya menjangkakan ada beberapa pelajar yang suka memukul, dan anak perempuan saya juga mula memukul.
Kami sangat bersabar dengan anak kami.
Setiap kali dia memukul, saya pegang tangannya.
Dan beritahu dia, “Kita tak boleh pukul. Ia menyakitkan. Tangan bukan untuk pukul. Tangan untuk peluk. (peluk dia). Tangan untuk belai muka dan sayang (cium anak). Tangan juga untuk flying kiss. (beri flying kiss pada dia).”
Kami mengambil masa berbulan-bulan dan lama-lama, Alhamdulillah dia faham yang pukul itu bukan benda baik.
Begitulah perkongsiannya. Nampak susah kan sebab kena bersabar. Ya, tiada siapa yang kata jadi ibubapa itu mudah. Sebab itulah ibubapa adalah orang yang wajib dihormati selepas Allah dan Rasul. Malahan syurga juga ada di tapak kaki mereka.
Andai anda mahu anak anda berhenti memukul, anda terlebih dahulu perlu berhenti memukul. Belajarlah bersabar dan sabar itu wajib dalam mendidik anak-anak.
Terima kasih Puan A atas perkongsian yang hebat ini.
Sumber:
Ibu Rose