“Tanggungjawab Aku Untuk Buat Kau Bahagia.” Kakak Sanggup Tak Kahwin, Mahu Lihat Adik Berjaya

Share

Hubungan adik-beradik sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia rumit, tetapi adik-beradiklah yang menghiasi hari kita, memberi kebahagiaan kepada kita. Apa saja sanggup kita lakukan demi mereka. Biar berpanas, berhujan atau bersusah macam mana pun, sanggup kita lalui.

Seperti yang dikongsikan oleh wanita ini, dia bercerita tentang pengorbanan yang kakaknya lakukan sejak kematian kedua orang tua mereka. Bagaimana kakaknya sanggup membelakangkan kebahagiaan sendiri supaya dia berjaya dalam hidupnya. Terharu!

Min tolong siarkan kisah saya ni ya. Saya nak bercerita tentang kakak saya. Hubungan kami adik-beradik sangat rapat. kami hanya ada dua beradik. Kalau bercerita soal pengorbanan, kakak sanggup buat apa saja untuk saya. Memandangkan kami anak yatim piatu sejak dia habis sekolah, kakaklah yang membesarkan saya. Walaupun keputusan peperiksaan dia bagus, tapi dia korbankan kerana mahu yang sekolah tinggi.

Pengakuan Lain: [“Umpama MCM Dalam Rumah Sendiri.” Penat Melayan Kerenah Mertua Umpama Bos]

Beza saya dan kakak adalah enam tahun. Dia seorang yang baik dan bertanggungjawab. Semua benda dia buat untuk saya, sampai 2-3 kerja dia buat untuk kami teruskan hidup. Saya pun tak kisah hidup susah dengan kakak, memang dah faham semua ni dia buat sebab kamu berdua. Terima kasih kakak!

Saya ingat lagi ketika keputusan UPSR saya cemerlang, kakak sanggup kerja lebih masa untuk kumpul duit. Katanya nak hantar saya ke sekolah asrama yang bagus. Tapi saya menolak. Tak sanggup nak berpisah dengan dia. Saya cakap, sekolah biasa pun kalau fokus pasti berjaya. Tak perlu susah-susah hantar saya pergi ke sekolah asrama penuh.

Waktu usia kakak 25 tahun, ada seorang abang di kampung kami ni yang berkenan dengan kakak. Sudah lama sebenarnya dia suka pada kakak. Saya tahu sebab sayalah yang selalu sampaikan salam dia pada kakak. Kakak menjawabnya dengan sopan, tapi tak ada pula saya nampak tanda-tanda yang dia sukakan abang tu.

Suatu hari, Makcik Aznah datang. Membawa hasrat untuk meminang kakak. Saya punyalah happy, sebab akhirnya kakak boleh hidup bahagia. Ada yang akan menjaganya dan sayangkan dia. Tapi pinangan itu kakak tolak. katanya tak bersedia lagi, masih muda.

Sebenarnya saya tahu, kakak tak mahu berkahwin sebab saya masih belajar di IPTA. Amil jurusan perguruan. Sebenarnya saya boleh survive sebab saya bekerja sambil belajar. Tapi kakak marah bila dia dapat tahu, dia kata tugas saya cuma belajar. Tak payah nak kerja bagai, itu semua tanggungjawab dia.

Saya tanyakan pada kakak, dia tak nak ke berkahwin. Akhiri zaman bujang dia. Tak perlu fikirkan saya, sebab saya dah besar. Boleh jaga diri sendiri. Tapi kakak tak mahu. Dia kata tak pernah dia terfikir untuk bersuami. Katanya susah nak jaga saya nanti, sebab bila dah ada suami kena fokus pada kehidupannya sebagai seorang isteri pula.

Sebagai adik, sudah tentu saya rasa bersalah. Kakak yang saya sayang, sanggup korbankan segalanya untuk saya. Sehinggakan dia sanggup membujang sehingga sekarang semata-mata mahu lihat saya berjaya dalam hidup. Sekarang saya dah jadi guru di sebuah sekolah menengah. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa kakak selama ini.

Tahun ini usia saya sudah 35 tahun. Saya sendiri dah ada keluarga. Anak-anak saya yang berdua tu cukup manja dengan Maklong mereka. Mula-mula dahulu, bila saya nak berkahwin risau juga saya. Macam mana nak beritahu pada kakak saya ada kekasih dan nak kahwin, sedangkan dia sepanjang hidupnya berkorban demi saya. Sanggup tak kahwin sebab nak pastikan adiknya ni berjaya.

Bila saya minta restu dari kakak, terpancar kegembiraan di wajah dia. Suka sangat dia. “Adik, kau tak payah fikir pasal aku. Apa yang aku buat, semua untuk kebaikan kau. Ini amanah arwah ibu dengan ayah. Sekarang kau dah berjaya, ada kerja bagus. Nak kahwin pula tu. Bakal suami kau pun kerja elok, aku bahagia sangat.” Ya Allah, waktu ni kami menangis dua beradik. Kalau suruh bayar dengan duit segala pengorbanan kakak, memang saya tak mampu.

Bila saya dah berkahwin, suami benarkan kakak untuk tinggal sama dengan kami. Mujurlah saya dapat suami yang memahami dan bertimbang rasa. Katanya kakak saya, kakak dia juga. Jadi sekarang kami tinggal berlima di rumah saya. Suami bekerja sebagai doktor, jadi selalu on call. Sebab itulah suami kata elok juga kakak ada temankan kami di rumah.

Pengakuan Lain: [“Buat Kita Lebih Menghargai.” Isteri Frontliner COVID-19 Cerita Hikmah Sebalik Perpisahan]

Pada usia dia di 40-an ni, dia tak pernah menyangka yang Abang Din (ingat tak abang di kampung kami yang sukakan dia dulu?) masih setia menunggu kakak. Selepas pinangannya ditolak, Abang Din bawa diri dan bekerja di negeri lain. Tapi rupa-rupanya dia juga tak pernah berkahwin.

Waktu kami balik ke kampung kali terakhir sebelum tempoh PKP hari tu, kami berjumpa dengan emak Abang Din. Kata Makcik Aznah, anaknya masih menunggu kakak. Kalau-kalau akak terbuka hati untuk menerimanya. Punyalah seronok saya mendengarnya! Terus saya hasut kakak untuk terima Abang Din. Alhamdulillah, kakak bersetuju dengan syarat biarlah majlisnya keci-kecilan sahaja.

Memandangkan sekarang masih dalam tempoh PKP, jadi kakak dan Abang Din terpaksa tangguhkan pernikahan mereka. Kalau tiada aral melintang, mungkin selepas raya mereka akan berkahwin. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan mereka berdua dan dapatlah aku lihat kakak bahagia dengan kehidupannya pula.

Buat kalian yang membaca, saya minta tolong untuk doakan kakak supaya terus bahagia. Semoga wabak COVID-19 ini akan semakin pulih dan kita semua akan dapat melalui kehidupan seperti yang dahulu semula. Aamiin.. Untuk kakak, terima kasih atas segalanya. Adik sayangkan kakak!

Sekiranya anda mempunyai sebarang cerita atau pengalaman yang ingin dikongsikan bersama Pa&Ma, sila klik KONGSI CERITA.

#syukurbersama kita dapat menjalani ibadah puasa tahun ini bersama keluarga walaupun di dalam dugaan dengan wabak COVID-19. Saksikan video ini:

 

Published by
Emy H