Tangisan Selamatkan Bayi Kesejukan, Ditinggalkan Tanpa Seurat Benang Di Bawah Kolong

Share

Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Sapat, di sini.

Bayi lelaki cukup sifat itu ditemui di tanah tanpa seurat benang dalam keadaan kesejukan oleh pemilik rumah yang terdengar tangisan kira-kira jam 4 pagi.

Susulan itu, pemilik rumah seorang lelaki berusia 52 tahun menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata pemilik rumah dikatakan hendak ke tandas lalu terdengar suara bayi menangis di bawah kolong.

Katanya, selepas hampir 10 minit tangisan itu tidak berhenti, dia beranikan diri turun ke bawah kolong dan mendapati ada objek yang bergerak-gerak.

“Dia mendapati ia adalah bayi yang ditinggalkan dalam keadaan tanpa seurat benang di tanah.

“Selepas itu, dia memanggil isterinya dan meminta membawa tuala untuk menyelimuti bayi terbabit kerana kesejukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas itu mereka menghubungi polis dan bayi dihantar ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut.

“Bayi terbabit dalam keadaan stabil dan dimasukkan di Wad Kanak-kanak Hospital Papar,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran bayi yang masih hidup.

Difahamkan, ini adalah kes buang bayi yang ketiga berlaku di Sabah dalam tempoh seminggu.

 

Wow! Bestnya mommies dapat me-time dengan bff di Muzium Negara. Ada sharing dari pakar, games menarik dan hadiah lumayan untuk dimenangi. Jom, daftar sekarang di SINI https://wasap.my/60195440235 atau klik link di bawah

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa