Berinteraksi adalah kemahiran yang perlu dipelajari oleh kanak-kanak. Tambahan lagi bagi anak-anak istimewa, ianya bukanlah satu perkara yang mudah bagi mereka. Banyak kemahiran-kemahiran lain yang perlu mereka pelajari untuk membolehkan mereka dapat berinteraksi dengan baik.
Interaksi juga haruslah menarik supaya anak-anak ingin terus melakukan interaksi dengan anda. Semakin banyak interaksi, semakin banyak kemahiran yang anak-anak boleh pelajari. Jika inginkan anak-anak berminat dan tertarik untuk berinteraksi dengan anda, anda boleh ikuti 8 trik ini:
Tip 1: Bersemuka
Apabila bermain dan berinteraksi dengan anak anda, rendahkan badan, supaya dapat bersemuka dan bertentang mata. Anda boleh duduk di lantai dan anak duduk di kerusi, atau baring di lantai bila anak bermain di lantai. Dengan cara ini, anak anda dapat melihat dan mendengar apa yang anda sebut dengan lebih baik. Kanak-kanak akan teruja apabila anda turun ke level mereka dan hubungan anda dan anak akan menjadi lebih rapat. Tambahan pula, dengan bersemuka anda juga boleh dan mudah untuk melihat sekecil-kecil respon dari anak dengan lebih baik dan memudahkan anda untuk respon semula.
Tip 2: Guna Intonasi Yang Menarik
Kanak-kanak mudah tertarik dengan melodi. Tak hairanlah mereka memberi respon yang sangat baik pada lagu. Jadi apa salahnya kita bercakap dan berinteraksi dengan anak menggunakan intonasi berlagu yangmenarik. Ia secara langsung boleh menarik minat anda untuk mendengar dan memahami apa yang kita cakapkan. Intonasi sangat baik untuk menarik perhatian anak terutamanya kanak-kanak yang mempunyai masalah denga daya tumpuan yang pendek atau sukar untuk memberi respon pada orang dewasa.
Tip 3: Pilih Mainan Yang Memberi Rangsangan Deria
Dah nama pun kanak-kanak kan, mestilah mereka sukakan mainan. Bermain adalah waktu belajar bagi mereka. Tapi, kita sukar untuk mendapatkan perhatian anak sekiranya mainan tersebut membosankan atau terlalu sukar untuk kanak-kanak fahami cara untuk bermain. Jadi, untuk kanak-kanak 1-3 tahun, mainan yang paling mudah untuk menarik perhatian mereka adalah mainan yang memberikan rangsangan deria. Contohnya mainan yang berbunyi, bercahaya, mempunyai warna yang terang, bergerak dan mempunyai perlbagai tekstur.
Apabila anak tertarik dengan mainan yang anda tunjukkan, maka lebih mudahlah untuk anda berinteraksi dengan anak anda. Dengan adanya mainan, anda juga akan lebih mudah untuk berinteraksi dengan anak kerana dari mainan tersebut anda boleh mendapatkan idea apa yang perlu anda cakapkan.
Tip 4: Guna Ayat Yang Ringkas
Keseronokan berinteraksi adalah bergantung kepada sejauh mana kita memahami sesuatu bahasa. Semakin faham dan tahu menggunakan bahasa, semakin mudah dan seronpk untuk kanak-kanak berinteraksi. Kanak-kanak 1-3 tahun masih lagi belajar untuk mempelajari cara menggunakan bahasa dengan betul samaada verbal ataupun tidak verbal. Jadi penggunaan ayat yang ringkas membolehkan mereka faham dengan lebih mudah dan lebih mudah untuk mereka respon juga.
Untuk anak 1&2 tahun anda boleh gunakan ayat 1-3 patah perkataan. Bagi 3 tahun pula anda boleh tingkatkan kepada ayat 4 atau 5 perkataan mengikut situasi yang sesuai.
Tip 5: Banyak Gunakan ‘Sound Effect’
Apabila bermain dan berinteraksi bersama anak anda, gunakan banyak sound effect yang menarik seperti “weee, woww, boom-boom, pop-pop-pop, miau” dan banyak lagi. Bunyi atau perkataan ini akan menarik perhatian anak, kerana ianya disebut dengan sangat berintonasi. Tambah pula, perkataan-perkataan ini boleh disebut dengan berulang-ulang semasa aktiviti dan ini memberikan peluang kepada anak untuk mendengarnya. Perkataan seperti “weee’ dan “jatuh” boleh digabungkan semasa bermain dengan kereta. “Pop”, “oo-oo” dan “pecah” boleh digunakan semasa bermain bubble. “Mmmm”, “sedapnya” boleh digunakan semasa makan, “boom-boom” atau “dum-dum” semasa bermain drum.
Ada bermacam-macam bunyi yang boleh anda sebut mengikut kreativiti sendiri asalkan ianya menarik. Perkataan-perkataan menarik ini biasanya akan menjadi perkataan pertama yang kanak-kanak akan tiru dan lama-kelamaan mereka akan menyebutnya sendiri.
Tip 6: Berikan Bantuan
Anak istimewa kebiasaannya mempunyai kemampuan bahasa yang terhad untuk memahami dan memberi respon pada anda. Jadi adalah sangat penting untuk kita bantu anak-anak sekiranya mereka tidak tahu bagaimana untuk memberi respon pada anda. Anda boleh pegang tangan anak dan buatkan aksi yang anda minta, pegangkan tangan dan tunjukkan cara mmeberi objek yang anda minta, modelkan perkataan atau ayat yang anak perlu sebut, modelkan cara memjawab soalan yang anda tanya, tunjukkan, gunakan ekspresi muka dan gerak badan anda untuk memberi bantuan pada anak memahami cara untuk memberi respon.
Dengan bantuan yang diberikan membuatkan anak untuk lebih faham dan tahu apa yang mereka perlu lakukan. Ia juga boleh membuatkan anak merasa enjoy untuk terus berinteraksi dengan anda.
Tip 7: Jadikan Minat Sebagai Peluang Untuk Berinteraksi
Setiap kanak-kanak mempunyai minat mereka sendiri terhadap sesuatu dan minat itu akan berubah-ubah mengikut situasi. Perkara yang mereka minat itu sebenarnya kita boleh gunakan sebagai subjek perbualan anda dengan anak. Kerana apa yang mereka minat, tumpuan mereka akan lebih baik, dan bahasa yang diberikan akan lebih mudah untuk anak kaitkan dan fahami.
Duduk dekat dengan anak, lihat anak dengan penuh minat dan tunggu anak untuk memberikan mesej. Sebagai contoh, anak anda sedang melihat bayi yang sedang menangis dengan penuh minat, anda hanya diam, TUNGGU untuk anak berkomunikasi dengan anda. Apabila anak melihat ke arah anda, tunjuk bayi tersebut dan sebutkan perkataan atau bunyi. Dengan cara ini anda boleh memberikan respon kepada apa yang anda fikir anak anda ingin ‘cakapkan’. Contoh “baby nangis”. Beri peluang pada anak untuk memulakan perbualan kerana memulakan perbualan adalah kemahiran yang penting untuk berbual dengan baik. Dengan menunjukkan minat pada apa yang anak minat sekaligus akan menarik minat anak untuk berinteraksi dengan anda.
Tip 8: Tiru Aksi & Bunyi Anak
Meniru adalah cara yang berkesan untuk menggalakkan interaksi secara berterusan. Tiru apa yang dilakukan oleh anak anda. Anak anda mengetuk drum, anda pun mengetuk drum dan tunggu respon dari anak. Sekiranya anak menghasilkan bunyi seperti ‘oo-oo’, ‘woww’, anda pun meniru menyebutnya juga dan tunggu dan lihat samaada anak menyedari atau tidak kehadiran anda. Jika anak menolak kereta, anda juga menolak kereta dan lihat reaksi anak. Kemahiran meniru merupakan kemahiran yang sangat penting untuk membolehkan anak bercakap. Dengan meniru anak terlebih dahulu akan menggalakkan anak untuk menyedari kehadiran anda dan akan meniru anda pula apabila mereka sudah bersedia. Interaksi akan menjadi lebih menarik jika anak sedar yang anda memberi perhatian pada apa yang meraka sebut dan lakukan.
Peringkat interaksi bagi setiap usia juga berbeza. Bagi anak 1 tahun, mereka banyak berinteraksi menggunakan gesture, aksi dan perkataan tunggal. Apabila mencapai 2 tahun, mereka mula menggunakan ayat 2 patah perkataan pula beserta gesture. Semakin usia meningkat, anak-anak akan kurang menggunakan gesture dan banyak menggunakan ayat 3 perkataan dan lebih. Jadi interaksi kita dengan anak perlulah di upgrade mengikut keperluan dan tahap perkembangan semasa anak.
Sumber: Aishah Kassim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI