Taska Mana Yang Bagus Untuk Anak? Ibu Ayah Boleh Follow Tip Ini Masa Nak Survey

Share

Bila nak masuk tahun baru, mesti akan ada ramai ibu bapa survey dan carikan taska untuk anak buat kali pertama atau bercadang untuk tukar taska.

Ok, TASKA ni sebenarnya adalah singkatan Taman Asuhan Kanak-Kanak khas iaitu tempat pusat jagaan kanak-kanak antara 2 bulan – 4 tahun.

Ada beberapa perkara penting yang perlu diambil kira sebelum buat pilihan taska yang sesuai untuk anak selain faktor lokasi dan yuran bulanan.

Apakah soalan-soalan yang perlu ditanya apabila kita survey atau mencari tempat asuhan anak-anak?

Kredit: programpermata.my

Perkongsian dari Puan Fadzielah Ayub ini boleh membantu ibu ayah untuk cari tempat terbaik anak-anak sementara pergi bekerja.

Kadang-kadang bila survey, tak tahu nak tanya apa pada pengusaha taska.

Kredit: programpermata.my

Nampak simple, tapi sebenarnya kita perlu ambil tahu dan pertimbangkan sebelum buat keputusan. Bayaran yuran adalah soal kemudian.

  1. WAKTU OPERASI
    – Tanya jadual waktu operasi terlebih dahulu.
    – Kebanyakkan taska bermula seawal jam 7.00 pagi – 6.30 petang. Dan ada juga bermula jam 7.30 pagi.
    – Cas ‘Over Time’ (OT) akan dikenakan jika awal atau lebih waktu operasi.
  2. PEMAKANAN
    – Adakah makanan akan disediakan?
    – Berapa kali sehari waktu makan?
    – Minta kebenaran untuk tengok senarai menu makanan yang disediakan.
    – Jika menu tidak sesuai untuk anak, minta kebenaran untuk bekalkan makanan dari rumah.
    – Pemakanan di taska sangat penting kerana boleh mempengaruhi perkembangan anak termasuk otak.
  3. MANDI
    – Tanyakan waktu atau jadual mandi anak di taska.
    – Ada sesetengah taska tidak akan mandikan anak pada waktu pagi. Jadi ibu bapa perlu mandikan anak terlebih dahulu sebelum hantar ke taska.
    – Minta kebenaran untuk tengok tandas atau tempat anak dimandikan dan pastikan ianya bersih dan selamat untuk anak.
  4. WAKTU SALIN LAMPIN
    – Tanyakan waktu salin lampin berapa kali?
    – Ada sesetengah taska, mandi hanya sekali sehari dan hanya tukarkan lampin 3-4 kali pada waktu tertentu dan bila perlu.
  5. SUSU
    – Jika anak masih menyusu, tanyakan jadual atau kekerapan anak diberi minum susu.
    – Adakan berpengalaman menguruskan EBM (susu ibu)?
  6. WAKTU TIDUR
    – Tanyakan waktu tidur anak jam berapa dan berapa kali sehari sekali.
    – Minta kebenaran untuk melihat tempat tidur yang disediakan.Tengok jenis tilam atau katil yang digunakan.
    – Pastikan tempat tidur yang disediakan itu bersih dan selesa.
    – Adakah tempat tidur kanak-kanak lelaki dan perempuan diasingkan atau tidak?
  7. TEMPAT AKTIVITI ANAK
    – Minta kebenaran untuk tengok tempat anak bermain dan belajar.
    – Pastikan tempat tersebut bersih dan selamat.
    – Tiada peralatan elektrik, perabot yang boleh membahayakan anak yang tengah lasak.
    – Tengok juga jenis alas tikar atau karpet yang digunakan di tempat anak bermain. Takut alas yang digunakan tikar yang dah koyak boleh bahayakan anak jika tertelan.
  8. MODUL PENGAJARAN
    – Tanyakan juga mengenai modul atau program yang digunakan contohnya berasaskan modul PERMATA atau tidak?
    – Adakah pengasuh atau guru bertauliah?
    – Minta kebenaran untuk tengok contoh aktiviti yang telah dilakukan
    – Adakah penggunaan gajet dibenarkan?
    – Boleh tengok contoh aktitivi taska di FB Page taska jika ada.
  9. KELULUSAN DAN KESELAMATAN
    – Adakah taska mendapat kelulusan dan berdaftar JKM?
    – Jika tidak, apa jaminan pihak taska untuk keselamatan kanak-kanak?
    – Adakah kanak-kanak yang tidak divaksin diterima masuk juga?
    – Adakah taska dilengkapi dengan CCTV?
  10. JUMLAH KANAK-KANAK
    – Tanyakan jumlah kanak-kanak dan pengasuh atau guru.
    – Ini penting kerana nisbah pengasuh dan kanak-kanak yang dibenarkan adalah seperti berikut:

Usia 0-1 tahun- 1 pengasuh : 3 kanak-kanak (1P:3K)

Usia 1-2 tahun- 1 pengasuh : 5 kanak-kanak (1P:5K)

Usia 2-4 tahun- 1 pengasuh: 10 kanak-kanak (1P:10K)

Kredit: programpermata.my
  1. BAYARAN
    – Tanyakan yuran bulanan dan yuran pendaftaran, bayaran OT serta lain-lain yang berkaitan.

Kenapa tanya harga dan bayaran lebih masa kemudian sekali? Supaya kita lebih terbuka untuk buat penilaian.

Kadang-kadang bila tahu harga mahal, terus tidak berminat untuk tanya lebih lanjut. Sedangkan mungkin ada sebab ata kelebihan yang menyebabkan yuran mahal berbanding yang lain.

Akhir kata, buat pilihan yang terbaik dan berbaloi dengan yuran yang dikenakan supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.

Sumber: Fadzielah Ayub

Kredit Gambar: programpermata.my

Published by
Wan Amy