Sebagaimana ada antara ibu ayah sedia tahu, anak yang disahkan disleksia adalah sangat unik dan istimewa. Cara otak mereka memproses maklumat yang dilihat dan didengar adalah berbeza berbanding orang lain.
Begitulah juga yang ditunjukkan oleh seorang kanak-kanak lelaki ini. Dia mempunyai semangat luar biasa dan minat yang begitu mendalam terhadap dunia pendakian, sekali gus mendorong Anas Ahmad Zulhisyam, 11, melakukan kerja-kerja membina laluan mendaki di lereng gunung dengan usahanya sendiri.
Berbekalkan sebatang cangkul kecil, Anas mencuri tumpuan apabila sering mengikuti bapanya Zulhisham Abd Rahim, 50, seorang pemandu arah sepenuh masa untuk mendaki gunung pada cuti persekolahan.
Memetik perkongsian Zulhisham di Bernama, difahamkan anak istimewanya itu minat terhadap hutan sejak berumur dua tahun lagi, apabila sering dibawa bersama selepas Anas kematian ibu ketika itu baru berumur 11 bulan.
Bercerita lanjut, Zulhisyam berkata, anak lelakinya itu pernah mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mendaki tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia (G7) dalam tempoh setahun pada 2017 dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Kelantan ketika berusia lima tahun.
Rekod itu tercipta bermula dengan pendakian Gunung Yong Yap, Gunung Yong Belar, Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Ulu Sepat di Perak, Gunung Chamah di Kelantan dan penutupnya di Gunung Tahan di Pahang.
Selain mendaki, Anas juga tidak melepaskan peluang mengikuti Zulhisyam ‘merintis’ laluan-laluan baru gunung di sekitar Pahang.
Anak tunggalnya itu bercita-cita menakluki gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu satu hari nanti. Ayah ini juga percaya dengan mendaki dapat membantu mengembangkan kesihatan fizikal dan mental anaknya.