Sesetengah wanita mengalami masalah praeklampsia ketika mereka mengandung. Praeklampsia ialah gangguan sistemik hipertensi kepada ibu yang mengandung pada fasa trimester kedua yang melibatkan tekanan darah tinggi beserta rembesan protein dalam air kencing.
Peringkat kandungan yang berusia dalam 20 minggu keatas dengan tekanan darah melebihi 140/90mmHg dan mempunyai kandungan protein sebanyak 300mg sehari didalam air kencing diklasifikasikan sebagai preeklampsia. Pa&Ma mendapatkan penerangan lanjut tentang keadaan ini daripada Dr. Salini Suhaila Nasir, Pakar Kesuburan dan Sakit Puan dari Hospital Metro IVF, Klang.
Artikel Menarik: [Bahagian Pelipat Jadi Gelap Waktu Mengandung, Undang Rasa Segan Ibu Hamil Pada Suami]
Peratusan Semakin Meningkat
Statistik menunjukkan kadar berlakunya praeklampsia untuk negara membangun seperti US (United States) adalah sebanyak lima ke sepuluh peratus. Manakala di Asia atau negara yang sedang membangun kadar praeklampsia meningkat ke 10-20 peratus.
Jika dilihat pada kadar statistik tersebut, masalah ini perlu diberi perhatian kerana komplikasi kepada kematian ibu hamil adalah tinggi sekiranya keadaan ibu tidak dipantau dengan ketat.
Bagaimana ia boleh berlaku?
Etilogi mengenai praeklampsia masih belum dapat dijelaskan dengan tepat. Namun, kajian yang dijalankan mendapati, ia adalah berkaitan dengan masalah uri atau plasenta di dalam rahim ibu.
Patogenesis yang dikaitkan ialah:
- Placental ischemia atau kekurangan salur darah ke plasenta. Untuk kehamilan normal (seperti dalam gambarajah) cytotrophoblast akan meresap masuk kedalam dinding rahim dan membantu kelancaran salur darah, namun untuk ibu yang mengalami masalah praeklampsia ini perubahan faktor imuniti badan antara ibu-bayi telah menyebabkan salur darah itu menjadi sempit.
- Pengurangan penghasilan enzim vasodilator.
- Kajian terperinci mengenai punca praeklampsia telah mendapati bahawa agen untuk pengembangan saluran darah pada ibu mengandung sangat kurang.
- Faktor ketidakstabilan fungsi sistem endothelial
- Faktor keturunan atau genetik.
Kenal Pasti Simptom Preeklampsia
Sistem pemeriksaan antenatal di Malaysia adalah salah satu yang terbaik di Asia, pemantauan secara penyeluruh telah berjaya mengesan risiko praeklampsia dalam kalangan ibu. Sekiranya ibu didapati mengalami tekanan darah lebih 140/90mmHg dan dikesan mengadungi protein di dalam kencing, pemeriksaan darah untuk beberapa ujian akan terus dijalankan.
Ini bertujuan untuk mengenalpasti risiko organ lain yang berkemungkinan terlibat kerana masalah praeklampsia. Tidak banyak simptom awal yang disedari para ibu tetapi sekiranya ada yang mengalami pembengkakan kaki yang teruk atau peningkatan berat badan yang mendadak perlu rujuk hal ini kepada doktor.
Artikel Menarik: [Mengarutlah! Lampu Suluh Tak Boleh Pusing Bayi Songsang. Jangan Risau Normal, Czer Asal Selamat]
Simptom yang perlu dirujuk ke hospital dengan kadar segera ialah seperti sakit kepala, penglihatan menjadi kabur, sakit pada bahagia ulu hati, kencing dalam kuantiti yang sedikit atau rasa sesak nafas. Ini adalah simptom risiko sawan yang mungkin boleh berlaku sekiranya diabaikan.
Apakah risiko kepada ibu dan bayi dalam kandungan?
Risiko kepada ibu
Jika praeklampsia tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan komplikasi yang serius untuk ibu seperti kegagalan hati, kegagalan buah pinggang serta masalah jantung. Risiko sawan adalah keadaan yang paling digeruni kerana kegagalan fungsi otak mungkin boleh berlaku sekiranya bekalan oksigen terhenti.
Selain itu sindrom Penyakit HELLP (hemolisis, enzim hati yang tinggi, dan bilangan platelet yang rendah) – Keadaan yang biasanya berlaku lewat dalam kehamilan yang boleh menjejaskan pecahan sel darah merah, pembekuan darah, dan fungsi hati wanita hamil. Kesemua risiko ini boleh menyebabkan kematian atau morbiditi yang tinggi kepada ibu.
Risiko kepada bayi
Praeklampsia boleh menyebabkan pengurangan aliran darah ke plasenta sehingga menyebakan kekurangan oksigen dan nutrien. Ini boleh menyebabkan pembantutan pembesaran janin didalam kandungan, pengurangan penghasilan air ketuban dan juga risiko kelahiran bayi pramatang.
Rawatan utama kepada ibu dan bayi adalah kelahiran. Untuk menstabilkan keadaan ibu tersebut pihak doktor terpaksa mengambil keputusan untuk kelahiran awal bagi mencegah risiko-risiko yang merbahaya kepada ibu dan bayi dari berlaku. Tidak ada cara untuk mengubati praeklampsia kecuali untuk bersalin awal dari jangkaan iaitu melalui kaedah pembedahan. Walaupun selepas bersalin, tanda-tanda dan gejala preeklampsia boleh bertahan sehingga enam minggu.
Siapakah yang berkemungkinan mengalami Praeklampsia?
Ini boleh dikategorikan kepada 2:
- Risiko Tinggi
Ini merujuk kepada ibu-ibu yang pernah mendapat praeklampsia untuk kandungan sebelumnya, ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi sebelum mengandung, pesakit diabetes sebelum mengandung atau pesakit buah pinggang.
- Risiko sederhana
Merujuk kepada ibu-ibu kandungan pertama dan kebiasaannya ibu remaja, atau berusia lebih dari 40 tahun, atau mempunyai BMI melebihi 30kg/m2 atau jarak kelahiran melebihi 10 tahun.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI