Teknik Ajar Anak Pandai Membaca Tanpa Guna Buku

Share

Sebenarnya kalau guna teknik ajar anak pandai membaca dengan betul tak memerlukan penggunaan buku pun tak mengapa. Biar betul? Ajar anak membaca tanpa guna buku?

Kadangkala ramai dikalangan ibu bapa telah menggunakan teknik yang salah untuk mengajar anak membaca. Rata-rata mula kalut bila anak yang baru berusia lima tahun dan sudah bersekolah tadika masih belum pandai membaca.

Mulalah ibu ayah pilih kaedah memaksa dan menghukum anak semasa mengajarnya membaca. Cara ini hanya akan membuatkan si kecil tak suka membaca dan stres.

Apa kata ikut teknik yang diajar oleh Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Ashikin Hashim ini. Semoga anak bukan sahaja pandai membaca tapi ada tabiat suka membaca sampai bila-bila.

Tip Peringkat Awal Membaca Bukan Dengan Buku?

Biar benar Teacher Ashikin. Kalau tak guna buku macam mana nak pandai baca ya?

Di sinilah silap kita. Kita sangka nak anak pandai baca buku, kita ajar dia membaca hanya dengan guna buku. Ini silap besar.

Apa akan berlaku bila kita hanya guna buku sahaja?

1. Anak akan dikatakan cepat BOSAN.

2. Anak akan dikatakan asyik MAIN.

3. Anak akan dikatakan LAMBAT belajar.

Ini adalah tuduhan yang tidak adil kepada seorang anak kecil.

Buku bukanlah semata-mata sumber yang kita ada untuk mengajar anak membaca.

Anak belajar melalui bermain. Dan melalui bermain itulah sebenarnya dia boleh membaca. Bagaimana ya?

Rajin-rajin bacakan buku pada si kecil

Ibu Ayah Kena Ikut Syarat Ini!

Mari saya bantu anda. Sebelum nak anak pandai baca, kena ada SYARAT dulu. Apakah ia?

1. Jangan GOPOH atau tergesa-gesa nak anak pandai baca. Anak kita bukan ROBOT. Mereka manusia biasa yang perlukan ruang dan masa untuk belajar.

2. Jangan BANDING kan anak kita dengan anak orang lain. Sedangkan di kalangan adik beradik pun dah berlainan inikan pula anak jiran. Anak kita punya upaya dan kekuatannya yang tersendiri. Jadi, BANTU lah mereka.

3. Jangan TAK TAHU bahawa membaca ini adalah satu proses. Ia bukan berlaku secara tiba-tiba atau anak lahir terus pandai. Ia juga tidak berlaku dengan pantas saat anak masuk tadika. Proses ini panjang dan kompleks. Berlainan mengikut keupayaan anak. Maka BERSABARLAH.

4. Jangan INGAT tadika anak tempat SEPATUTNYA anak pandai baca. Guru hanya pemudah cara tetapi IBU BAPA lah guru PERTAMA dan RUMAH pula sekolah UTAMA. Jadi proses membaca seharusnya bermula dari Rumah.

5. Jangan LUPA siapa yang bagi kita pandai? Ya…ALLAH. Setelah kita berhempas pulas nak pandaikan anak, yang bagi pandai sebenarnya bukan kita tapi ALLAH. Kita minta kepada Allah supaya diberikan kita kekuatan dan ilmu dalam mendidik anak kita. Jika anak kita punya masalah, bawalah kepada yang pakar.

Baik. Ini langkah-langkah yang perlu kita ambil dan mulakan seawal mungkin jika mahu anak ON TRACK. Maksudnya bukan nak minta anak pandai baca umur 2 atau 3 tahun ya. Jika 6 tahun atau darjah 1 pun masih BELUM LANCAR, ia masih belum dikira LAMBAT.

Anak saya yang pertama boleh membaca pada umur 4 tahun. Yang kedua pada umur 5 tahun tapi yang ketiga hanya lancar pada umur 7 tahun. Namun mereka kini berada pada tahap ilmu dan keupayaan yang baik mengikut umur mereka.

Saya pernah bertanya kepada seorang OCCUPATIONAL THERAPIST, pada umur berapakah kita perlu risau jika anak masih belum tahu membaca langsung? Beliau berkata pada hujung tahun DARJAH 1.

Jadi, jika anak sekarang baru 4 tahun dan masih belum tahu membaca, ITU NORMAL.

Jika anak sekarang 5 tahun dan masih belum tahu membaca, ini juga masih NORMAL.

Jika anak sekarang 6 tahun dan masih belum lancar membaca, ini juga NORMAL.

Cuma bila anda atau guru mereka mendapati yang anak anda perlukan pemeriksaan pakar kerana sebab-sebab kesihatan dan masalah pembelajaran contohnya, bawalah berjumpa pakar.

Cara Betul Ajar Anak Baca

Jom kita mula ajar anak membaca cara santai dan tidak STRES.

Mulakan dari bayi lagi. Bagaimana? KOMUNIKASI DAN INTERAKSI dengan anak. Jangan mulakan dengan SKRIN. Maksudnya jangan perkenalkan GAJET. Belum tiba masa.

Ajar anak membaca bukan hanya dengan tunjuk buku semata-mata. Bila kita sempitkan skop membaca hanya dengan buku maka kita tak banyak dapat nak bantu anak kita. Sebenarnya banyak sangat sumber yang boleh bantu dia. Seperti BERCERITA atau BACAKAN BUKU (bacakan buku ya bukan suruh anak baca buku sebelum dia tahu membaca. Beza tu 🙂 ) dapat membantu anak meningkatkan KOSA KATA nya. Bila kosa kata anak banyak, maka bila belajar baca akan jadi mudah. Sebab dia dah kenal banyak bunyi huruf dan banyak kenal benda.

Kerap berborak dengan anak akan menambah kosa katanya

KOMUNIKASI dengan anak sekerap yang mungkin. Ini saya sudah sebut serba sedikit tadi. Walaupun bayi, biasakan bercakap dengannya. Bila anak dah semakin besar berbuallah dengan mereka ketika shopping, ketika pakaikan baju, ketika bermain, ketika memasak, ketika bawa kereta. Komunikasi akan jadi terbantut atau terhalang jika kita hanya berikan anak GAJET.

MAIN, MAIN, MAIN. Berilah peluang dan ruang secukupnya untuk mereka bermain. Bila main anak akan belajar banyak benda termasuklah mengumpul kosa kata, membina ayat, menyoal, menjawab soalan, berinteraksi dengan orang sekeliling. Inilah antara kunci bagi memudahkan proses membaca.

BACAKAN BUKU. Ini pun saya dah sebut di atas tadi. Bacakan buku ini sangat POWERFUL. Selain boleh tambah kosa kata anak, ia juga dapat tambah ilmu pengetahuan am anak. Dan yang paling best dapat rapatkan hubungan kita dengan anak.

Baca juga: Tak Perlu Kalut Nak Ajar Membaca Dan Menulis Seawal Usia Setahun. Kena Ikut Step By Step Perkembangannya

Manfaatkan waktu sebelum anak tidur. Iaitu sebelum anak sampai ke peringkat DEEP SLEEP atau tidur lena. Berbuallah (berbual lagi? ) dengan anak. Masa ini sangat bagus untuk nak menasihati anak. Anak dalam keadaan paling relax dan mudah dengar kata.

Inilah peringkat pertama untuk anak-anak membaca. Tiada guna apa-apa metod nak bagi anak pandai baca. Mulakan dengan KOMUNIKASI dengan anak.

Layan anak bermain banyak faedah kepada si kecil

BERBUAL

BERCERITA

BACAKAN BUKU

MAIN

Masa inilah anak-anak kumpul perkataan. Masa inilah anak-anak dibiasakan mendengar pelbagai perkataaan.

Jadi, bila sampai peringkat kenal suku kata, anak tak akan terkejut. Mereka dah biasa dengan pelbagai perkataan dan bunyi. Jadi ia memudahkan proses membaca berlaku.

Kita belajar Fun-fun je. Jangan stress. Janganlah guna buku 24 jam. Anak-anak belajar secara hands-on dan bermain.

Belajarlah juga membaca dari tanda jalan, tajuk akhbar, label, senarai barang, poster dan sebagainya.

InshaAllah jika anak kita tiada masalah kesihatan dan pembelajaran, anak kita pasti boleh baca. Kuncinya SABAR dengan proses ini, KONSISTEN dengan usaha dan YAKIN dengan hasilnya nanti.

Selamat mendidik dengan kasih sayang.

Ashikin Hashim
Early Childhood Practitioner.

Published by
Hasnita Sawal