Teknik Power Ajar Anak 2 Tahun Tak Kedekut Dan Marah Bila Orang Ambil Mainan

Share

Memang biasa anak umur 2 tahun bersifat kedekut. Tapi ibu ayah kena tahu cara ajar mereka supaya tak kedekut lagi.

Ini saya punya!” Anak anda berusia dua tahun mula menjerit, merampas mainan dari tangan kawannya yang datang ke rumah.

“Jangan!” Sekali lagi suara jeritan nyaring melarang tetamu mengambil mainan dari dalam kotaknya. Si kecil mula menjadi tamak, kedekut dan mementingkan diri sendiri. Padahal selama ini mainan tersebut tak pernah dihiraukan.

Hati ibu begitu meronta-ronta mahu menegur sikap si kecil yang agak keterlaluan di hadapan tetamu. “Geramnya dengan Ayra ni!” hanya tercetus dalam hati sahaja.

Ibu, cuba bertenang dan jangan terus menengking dan memarahi sikap si kecil dua tahun itu. Anak anda hanyalah bertindak mengikut akal pemikiran anak usianya sahaja di mana segala barang kepunyaannya tidak boleh diambil oleh orang lain.

Anak umur dua tahun juga mula faham tentang tak boleh berkongsi barang miliknya, dan mereka bimbang orang lain mengambil barang kepunyaannya, sehingga menjadikan dua perkataan iaitu “saya punya” dan “jangan” adalah perkataan kegemarannya.

Bagaimanapun ada juga kanak-kanak usia ini yang boleh berkongsi tetapi kebanyakan mereka tidak mahu berkongsi. Hakikatnya, pada peringkat perkembangan usia ini ramai kanak-kanak tidak bersedia untuk berkongsi. Ya, mereka boleh bermain bersama jika anda terus memerhatikan mereka, tetapi jangkakan beberapa perkara yang tak konsisten dalam bab bertolak-ansur.

Berkongsi adalah aktiviti yang perlu dipelajari dan memerlukan masa untuk menguasainya. Sudah tiba masanya anda mengajar si kecil pentingnya berkongsi. Ini caranya yang anda boleh buat untuk membantu mereka belajar berkongsi.

1. Berlatih ambil giliran

Bila bermain dengan anak, ajar dia ambil giliran untuk buat sesuatu aktiviti. Misalnya bila baca buku cerita, bergilir-gilir buka muka surat buku, atau kalau bina blog lego, anda boleh ajak dia susun secara bergilir. Boleh juga buat giliran peluk dan cium teddy bearnya ketika bermain. Mula-mula giliran anak lepas tu anda dan seterusnya. Dari sini dia boleh belajar iaitu berkongsi dan mengambil giliran ketika bermain juga sesuatu yang menyeronokkan. Memberi orang lain berkongsi mainan bukan bermakna dia tak akan dapat semula mainannya.

2. Jangan hukum sikap kedekutnya

Kalau anda selalu cakap anak pentingkan diri sendiri, kedekut dan akan denda kalau dia tak nak berkongsi atau memaksanya menyerahkan barang yang disayangi, anda hanya akan menggalakkan kemarahan daripada kemurahan hati. Untuk menggalakkan dia berkongsi, gunakan cara yang positif berbanding kekerasan. Sentiasa ingat yang anak anda masih kecil dan belum betul-betul faham erti berkongsi. Semakin besar dia akan lebih faham seronoknya berkongsi mainan bersama kawan-kawan dengan syarat anda tak jemu mengajarnya untuk berkongsi.

3. Jangan jemu berpesan

Orang kata kalau nak mengajar anak kecil jangan pernah jemu berpesan perkara yang sama walaupun terpaksa cakap beribu kali. Lebih efektif sekiranya anda boleh berpesan kepadanya semasa situasi sebenar sedang berlaku. Misalnya jika kawannya cuba memegang barang kepunyaannya anda boleh cakap “Maryam nak tengok teddy bear Ayra. Dia nak peluk sekejap je. Boleh kan?” Berikan dia pujian sekiranya si kecil tidak merampas barang itu daripada tangan kawannya.

4. Puji jika dia tak kedekut

Kanak-kanak dua tahun kadangkala akan menunjukkan sikap memiliki tetapi membenarkan kawan untuk menyentuh mainannya tanpa melepaskan dari genggamannya. Berikan sedikit pujian kepadanya yang menunjukkan mainan tersebut kepada kawan. Akhirnya dengan pujian anda, dia berasa selamat untuk melepaskkan cengkaman pada mainan tersebut untuk dikongsi.

5. Hormat barang miliknya

Jika anda tak suka orang ambil barang milik anda tanpa kebenaran begitulah yang dirasakan oleh si kecil. Jadi, minta kebenaran darinya sebelum meminjam barang mainannya. Pastikan adik-beradik lain yang lebih besar menghormati juga barang milik si kecil. Jangan terus rampas atau ambil barangnnya kerana dia akan marah dan menjadi kedekut.

6. Tunjukkan contoh

Cara terbaik bagi anak kecil belajar sikap murah hati iaitu dengan melihat sendiri contoh. Anda sendiri perlu memainkan peranan penting mengajar anak untuk berkongsi. Anda boleh berkongsi makan aiskrim dengan si kecil atau meminjamkan barang anda jika dia memintanya. Gunakan perkataan “kongsi” untuk menggambarkan apa yang anda lakukan. Apa yang penting, biarkan dia melihat anda bersikap tolak-ansur, berkompromi dan berkongsi dengan orang lain. Barulah dia akan mengikut sikap tersebut.

Mengajar si kecil memerlukan kesabaran dan pengulangan pesanan yang sama berulang kali. Jangan jemu mengajar mereka. Si kecil dua tahun masih terlalu mentah untuk memahami tentang dunia ini. Mereka baru sahaja melepasi fasa bayi dan memerlukan banyak tunjuk ajar untuk membesar!

Published by
Wan Amy