Telefon Isteri 10 Kali Sehari Untuk Tengok Zayne, Mat Dan Tak Mampu Berjauhan Dengan Anak!

Share

Siapapun bila dikurniakan anak pertama, pasti tak boleh berenggang lama. Setiap saat rasanya nak sentiasa dekat dengan anak dan memantau setiap pergerakkan anak. Siapa tak sayang anak kan? Lagi-lagi comel macam Muhammad Zayne Danial.

Inilah yang dilalui oleh Muhammad Kareef Daniel Abdullah atau Mat Dan. Sejak Zayne dilahirkan pada tahun lalu, Mat Dan dan isterinya, Nadifa Adnan tak mampu berenggang lama.

Lebih-lebih lagi bila kini Zayne sudahpun berusia 8 bulan. Banyak aksi Zayne yang sentiasa mencuit hati mummy dan daddynya.

Siapapun yang memandang raut wajah Zayne pastinya jatuh hati. Dominasi wajah Mat Dan jelas pada riak wajah Zayne. Matanya bulat, alis dan keningnya keperang-perangan persis ayahnya dan matanya galak memandang sesiapa sahaja. Kacak dan comel.

Kata Mat Dan, kini semua kerja yang dilakukannya setiap hari, Zayne jadi keutamaannya. Malah kalau terpaksa untuk kerja luar kawasan sekalipun Mat Dan akan cuba merancang jadualnya untuk tidak berjauhan terlalu lama dengan si jantung hatinya.

Paling menarik, menurut isterinya Mat Dan tak mampu berjauhan lama dengan anak. Menjalani tugasan luar ke China selama 10 hari selepas Zayne hadir dalam hidup mereka, buat Mat Dan mula risau untuk tinggalkan Zayne terlalu lama.

“Boleh dikatakan dia telefon hampir 10 kali sehari untuk tanya perkembangan anak, apa anak buat dan sebagainya. Sebelum ini tak ada pula sampai macam tu sekali,” ceritanya.

“Nak merancang jadual kerja juga saya dahulukan Zayne. Lebih-lebih lagi kalau terpaksa kerja luar kawasan pada tempoh yang lama. Semuanya saya susun semula dan fikirkan keutamaan Zayne. Semua ini memberikan pengalaman berbeza buat saya dan isteri. Malah kami juga banyak belajar dan mula serap dengan pelbagai situasi yang kami lalui setiap hari,” kata Mat Dan lagi.

Buat DIY Flashcard

Kini Zayne makin membesar dengan sihat dengan berat 8.5kg. Dia sudah boleh meniarap pada usianya lima bulan dan kini semakin mula pandai ketawa bila diagah. Dia juga sudah pandai mencapai semua barang yang ada di hadapannya tidak kurang juga memasukkannya ke dalam mulut.

“Zayne sememangnya mudah dijaga malah dia tidak banyak kerenah. Cuma dia tidak boleh berenggang lama dengan saya. Sebolehnya dia mahu saya sentiasa ada disebelahnya. Pengalaman membawa Zayne menaiki kapal terbang pada tempoh yang lama semasa pulang ke Bristol, United Kingdom juga langsung tidak mendatangkan masalah. Dia tidur sepanjang perjalanan. Cukup memudahkan saya dan suami.

Kini Zayne sudah mula menunjukkan minat untuk membaca. Semasa usianya dua bulan saya rangsang mindanya dengan flashcard yang saya buat sendiri untuk Zayne. Teruja nak siapkan flashcard sendiri dengan pelbagai karektor berwarna untuk Zayne. Kini setiap hari saya bacakan buku cerita untuk Zayne. Dia nampak berminat dan matanya fokus dengan apa yang saya tunjukkan. Seronok melihat setiap aksinya,” cerita ibu muda ini lagi.

Kredit: @mat_dan1

 

 

 

 

 

Published by
SRM