
Gambar Sekadar Hiasan
Malang tak berbau, apatah lagi bila ia melibatkan anak kecil. Dalam dunia serba moden hari ini, telefon pintar bukan lagi sekadar gajet untuk orang dewasa, malah ia sudah menjadi hiburan utama kanak-kanak. Ramai ibu bapa menganggap ia selamat asalkan anak hanya menonton video, namun kejadian ini membuka mata kita bahawa risiko boleh datang tanpa diduga.
Kejadian di luar negara ini jadi peringatan besar buat semua ibu bapa. Walaupun insiden berlaku jauh di Jiangsu, China, ia membuktikan bahawa telefon pintar yang sering dijadikan ‘peneman’ anak ketika menonton video juga boleh mendatangkan risiko. Sebagai ibu ayah, kita tak boleh ambil mudah soal keselamatan gajet di tangan anak kecil.
Memetik laporan Sinar Harian, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Jiangsu, Chinaa cedera selepas telefon pintar miliknya tiba-tiba meletup dan terbakar ketika menonton video di rumah pada Ahad.
Menurut keluarga, kanak-kanak itu mengalami melecur pada tangan kiri dan kaki. Rekod perubatan menunjukkan kulitnya ada yang terbakar, lepuh, dan kawasan kulit mati mula mengelupas.
Telefon terbabit ialah model yang dilancarkan pada Disember 2022 dan digunakan secara normal lebih setahun tanpa sebarang pengubahsuaian atau pembaikan. Ketika kejadian, telefon itu tidak dicas. Kanak-kanak tersebut terus melompat di atas sofa apabila peranti itu tiba-tiba meletup dan terbakar.
Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan pada sofa apabila kanak-kanak tersebut menolak telefon yang terbakar. Keluarga telah menghubungi perkhidmatan syarikat telefon pintar berkenaan.
Pihak syarikat memaklumkan bahawa sisa telefon perlu dihantar ke pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menentukan punca letupan. Setakat Isnin (8 September), keluarga masih belum menerima sebarang sampel untuk diuji.
Perkhidmatan pelanggan syarikat itu berkata, kejadian telefon terbakar adalah sangat jarang berlaku. Mereka menambah bahawa punca mungkin melibatkan beberapa faktor seperti kualiti bateri, reka bentuk litar, impak luaran atau suhu tinggi, dan hanya ujian profesional yang dapat menentukan punca sebenar.
Insiden tersebut mendapat perhatian ramai selepas video dikongsi di Douyin dan trending di Weibo pada Selasa lalu. Beberapa pengguna model sama meluahkan kebimbangan, manakala yang lain berpendapat ia mungkin kes terpencil.
Di bawah Undang-Undang Kualiti Produk China, pengeluar bertanggungjawab jika produk rosak menyebabkan kecederaan. – Agensi
Sumber: Sinar Harian