Tengok Anak Tidur, Cuba Muhasabah Diri. Banyaknya Silap Kita Pada Anak Tanpa Sengaja

Share

Anak-anak kita semuanya hebat. Setiap dari mereka dah ada rezeki masing-masing. Kadang-kadang kita sendiri sebagai ibu bapa pun tak sangka keistimewaan yang ada pada anak.

Janganlah sesekali kita merasa kecewa, merasa anak kita tidak seperti anak orang lain. Yakinlah setiap apa yang kita lakukan dengan niat kerana Allah, pastinya Allah akan jaga dan memberinya semula jika tiba masanya. Hanya usaha dan doa berterusan daripada ibu bapa senjata kekuatan untuk mereka.

Cuma, dalam hal ini, kita sebagai ibu bapa ada kesilapan tetapi tak nampak. Kita mungkin anggap itu biasalah tetapi sebenarnya ‘pembulian’ untuk jiwa anak.

Ustazah Asma Harun pesan jika berterusan tak elok untuk proses pembesaran anak dalam  jangka masa panjang. Ingat anak kita anugerah terindah Allah buat ibu bapa.

Tanpa sedar, antara pembulian ibu ayah terhadap anak-anak adalah ;

a) Membezakan kasih sayang, perhatian dan penghargaan. Lalu mereka rasa diri tidak disayangi atau dibenci.

b) Pembahagian kerja rumah yang tidak seimbang. Akan lahir ketidakpuasan hati yang terpendam, kerja dilakukan dengan terpaksa.

c) Membanding-bandingkan antara anak-anak, akan membuatkan diri rasa serba kurang atau akhirnya akan hilang keyakinan terhadap potensi diri.

d) Membuka aib atau menyebut kesilapan dan kekurangannya depan adik beradik atau orang luar. Mereka akan hilang percaya dan hormat pada diri kita.

e) Mengungkit kebaikan dan pengorbanan yang kita lakukan, seolahnya mereka itu beban.

Hati-hati ibu ayah, bimbang ada dendam yang sangat panjang mengeruh dan meretakkan hubungan adik beradik, walau setelah kita mati ia tetap berterusan. Kisah lama terus diungkit bila ada sesuatu yang berlaku.

Terimalah hakikat bahwa Allah ciptakan anak-anak sangat berbeza, mereka adalah anugerah yang terindah bila di didik dengan fitrah, jika tidak ia menjadi musibah yang membawa fitnah.

Sebagai muhasabah, banyaknya salah silap kita sebagai ibu ayah berbanding salah anak, perangai yang kita tidak suka pada mereka mungkin datang daripada kita juga.

Kita memang tak mampu jadi ibu ayah yang sempurna, sekurang-kurangnya jadilah ibu ayah yang baik. Akui kesilapan dan kelalaian, jika mampu minta maaf, dan mulalah dengan perubahan diri, insyaAllah anak turut berubah.

Esok pagi, niat dan doa untuk jadi ibu ayah yang baik, ketiaadannya dicari, kepulangannya dinanti-nanti, pemergiannya dirindui. Kita jadi mulia atas pangkat sebagai ibu ayah kerana adanya mereka, sebab itu anak-anak itu pelengkap hidup kita dunia dan akhirat.

Sumber: Ustazah Asma Harun

 

 

Published by
Wan Amy