Persiapan fizikal dan mental penting buat ibu bapa yang baru pertama kali bergelar ibu bapa atau yang dah ada anak tapi masih belum mengetahui lagi beberapa info penting. Jangan ingat bab penjagaan bayi ini mudah seperti memandikan dan menidurkannya je tetapi ibu bapa juga perlu prihatin dalam hal sendawakan bayi.
Walaupun nampak mudah hanya tepuk-tepuk belakang, tapi sebenarnya angin yang berlebihan dalam perut bayi boleh mengakibatkan bayi gelisah dan tidak selesa. Jadi adalah penting bagi ibu bapa baru untuk ketahui kaedah terbaik untuk buat bayi rasa selesa dan dapat tidur selesa.
Perkongsian dari Konsultan Tangisan Bayi, Puan Uswatun Hasanah Mohd Habib ini boleh membantu ibu bapa.
Ok mari kita jadikan posting kali ini ‘straight forward’. Maka saya tanya, apa tujuan anda sendawakan anak?
➡ Adakah bayi sebenarnya mudah kena kembung? TIDAK. Saya ulang: TIDAK. Seawal tahun 1954 Dr Ronald Illingwood, seorang doktor pakar kanak-kanak England membandingkan Xray perut 2 kumpulan bayi iaitu bayi yang di katakan ‘colic’ dan bayi yang bukan ‘colic’ ketika keduanya di puncak tangisan. Hasilnya? Tiada beza jumlah gas dalam perut kedua kumpulan bayi.
Ujian ulangan paling baru dilakukan pada 2014 oleh Dr Cindy Gellner dari Utah untuk mengkaji kaitan sendawa- gumuh – colic (banyak nangis). 1 kumpulan ibu di minta sendawakan bayi mereka selepas setiap penyusuan dan 1 kumpulan lagi tidak sendawakan bayi. Kedua kumpulan ibu di uji selama 3 bulan. Hasilnya? Bayi-bayi kuat meragam adalah hampir sama jumlahnya dari kedua-dua kumpulan.
Kedua kajian ini antara yang mengesahkan fakta bahawa hanya 20% saja bayi yang colic (kuat menangis) kerana kembung. Mereka di gelar ‘abdominal colic baby’. 80% bayi colic lagi BUKAN kerana kembung.Ianya kerana lemahnya adaptasi mereka pada peralihan alam rahim ke alam dunia. Mereka adalah ‘infantile colic baby’
= Maka, SENDAWA BUKAN TUJUAN UNTUK ELAK KEMBUNG. Umumnya, gas dalam badan bayi akan mencari jalan keluarnya sendiri samada melalui sendawa atau kentut.
2. Untuk elak gumuh/muntah susu?
Sendawa atau tidak, faktanya, semua bayi kecil akan tetap gumuh. Susu yang ditelan bayi akan menuruni saluran esofagusnya sebelum masuk ke dalam perut. Sebelum perut, ada satu otot atau gegelung LES (lower esophageal sphincter) yang tugasnya menahan isi perut dari terselinap naik semula ke esophagus seterusnya ke mulut. Buat bayi kecil, otot LES ini belum matang. Maka, selagi otot LES ini belum matang, gumuh akan selalu terjadi terutama jika perut bayi penuh.
= Maka, sendawa BUKAN untuk elak gumuh.
3. Sendawa untuk elak bayi rasa tak selesa?
Ya! Ini kerana gas yang terperangkap dalam perut dan dada bayi akan menyebabkan rasa sebu (penuh) dan tidak selesa, yang akan menyaksikan bayi menangis atau resah sama seperti orang dewasa.
NAMUN, perlu diingat, bukan semua bayi ada banyak gas untuk disendawakan dan bukan semua bayi senang sendawa dengan kuat. Ada bayi yang memang tak banyak gas untuk disendawakan dan ada yang ‘silent burper’ atau sendawa perlahan sekadar helaan angin.
= Maka, sifir asasnya, di saran usah mengenepikan langkah menyendawakan bayi sehingga usia bayi sekitar 6 bulan atau lebih spesifiknya telah boleh duduk kerana kemahiran duduk akan dengan sendirinya membantu proses penyingkiran gas.
TAPI, tak perlulah berlama-lama. Beberapa minit sudah memadai kerana jika benar gas sudah berada di sekitar abdomen bayi, ia tak perlukan masa yang lama untuk keluar apa lagi dengan bantuan ibubapa.
Jika sampai 20-30 minit menepuk bayi dan anak pun ternyata sudah sedap terlena di bahu misalnya, tentulah tak logik jika masih nak terus menepuk dan mahu berharap mendengar bunyi sendawa. NO.
Sudah terang dan jelas bayi dalam keadaan selesa maka sebab itu dia terlena. Maka, anggap sajalah gas sudah tiada dan letak saja bayi ke bawah. Jika bayi tak selesa (masih ada gas) tentulah bayi akan terus resah.
Adakah salah jika ibu mahu terus menepuk bayi dan membiar anak lena di dada selama mana yang ibu mahu? Oh, tentu sekali TIDAK SALAH. Namun jika ibu merungut bayi ambil masa terlalu lama untuk sendawa maka kini ibu patut telah tahu, bukan bayi yang tak nak sendawa, tapi ibu yang terlebih buat?.
Malah, menepuk bayi di dada/bahu ibu hingga lena, setiap kali, adalah salah satu punca mengapa bayi terjaga atau enggan terus lena bila di letak ke bawah kerana bayi sudah biasa kesedapan lena di dada ibu. Sekali lagi, ini JUGA TIDAK SALAH. Tapi jika ibu sudah letih dan mahu bayi tidur sendiri di bawah, maka ibu perlu tahu, bayi boleh buat dan ada caranya.
USWATUN HASANAH MOHD HABIB
KONSULTAN TANGISAN BAYI
THB EDU ASSC. USA
DBL INSTITUTE SYDNEY
THE WONDER WEEKS ACADEMY