Melihat jenazah anaknya yang maut dipercayai kerana didera, ibu kepada kanak-kanak malang berumur empat tahun itu terduduk dan menangis.
Wanita terbabit sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam, Kluang akibat kesalahan dadah telah tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) semalam kira-kira jam 2.15 petang dengan diiringi dua pegawai penjara.
Dia diberi peluang untuk melihat jenazah anaknya untuk kali terakhir kira-kira lima minit dan dilihat menangis sebaik keluar dari bilik forensik tersebut.
Untuk pengetahuan, bapa kepada mangsa juga sedang menjalani tempoh tahanan di Penjara Sungai Udang, Melaka atas kesalahan dadah.
Kanak-kanak malang itu merupakan anak bongsu kepada 11 orang adik-beradik telah meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI, selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat, sebelum disahkan meninggal dunia pada 26 Disember yang lalu.
Sementara itu, datuk saudara mangsa, Ruslan Ahmad, yang pernah menjaga kanak-kanak itu sebelum ini merasa terkilan dengan kejadian yang menimpanya dan berharap agar individu yang bersalah dikenakan hukuman setimpal.
Berkongsi bersama pemberita, Ruslan memberitahu bahawa mangsa pernah mendapat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama tiga tahun sebelum diserahkan kepadanya untuk dijaga selama sebulan.
“Sebelum ini ibunya pernah masuk penjara dan dia memohon supaya arwah diberikan semula kepadanya untuk dijaga. Saya beri peluang kepada ibunya tetapi dia kemudian ditangkap semula dan dimasukkan ke penjara jadi arwah dijaga oleh kakaknya pula.”
Tambah Ruslan lagi, jika dia tahu kejadian seperti ini akan berlaku pada cucu saudaranya, dia berharap untuk terus menjaga kanak-kanak itu. Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Gatom, Labis, semalam.
Hasil pemeriksaan awal polis mendapati kesan kecederaan teruk hampir di seluruh badan mangsa seperti kesan pukulan dan cucuh akibat benda panas.
Setakat ini seramai lima individu berusia 15 hingga 37 tahun ditahan bagi memabantu siasatan, termasuk kakak mangsa berumur 19 tahun, suaminya 37 tahun serta rakannya itu.
Sumber: Sinar Harian
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI