Tergamaknya ibu! Tindakan seorang remaja sanggup mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari balkoni tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, Pulau Pinang pada Rabu dianggap seperti tiada perikemanusiaan.
Allah masih lindungi bayi
Bagaimanapun bayi malang yang disumbatkan di dalam beg itu ditemui masih bernyawa selepas diselamatkan salah seorang penduduk yang menemui bayi itu di belakang flat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, remaja berusia 18 tahun itu dipercayai melahirkan bayi berkenaan kira-kira jam 7 pagi (13 Mei) di dalam tandas rumahnya tanpa pengetahuan ahli keluarga.
Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai bertindak mencampak bayinya melalui balkoni kerana panik selain takut kelahiran bayi dihidu ahli keluarga.
Anbalagan berkata, menurut seorang penduduk, dia terdengar bunyi dentuman kuat seperti barang jatuh ke atas atap rumahnya.
Curiga dengan bunyi dentuman itu dia kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumah dan menemui beg di bahagian belakang flat terbabit.
Pemeriksaan lanjut menemui bayi perempuan dalam keadaan berdarah namun masih bernyawa.
Bagaimanapun terdapat kesan luka di kepala bayi berkenaan dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Anbalagan berkata, hasil siasatan dan maklumat penduduk, polis berjaya menahan remaja terbabit yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak lama kemudian.
Ibu bapa tiada di rumah, adik-beradik tak tahu
Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian ibu bapa remaja terbabit tiada di rumah dan berada di Kelantan manakala dua adik-beradik yang tinggal bersamanya tidak menyedari kejadian itu.
Rahsia kandungan, bapa bayi teman lelaki sendiri
Beliau berkata, suspek merahsiakan mengenai kandungannya itu daripada ahli keluarganya dan mendedahkan bapa kepada bayi ini merupakan teman lelakinya yang juga berumur 18 tahun.
Katanya, pasukan forensik telah menjalankan siasatan di tempat bayi berkenaan dijumpai dan rumah suspek untuk mengambil beberapa sampel darah serta pakaian untuk analisa Jabatan Kimia.
Anbalagan berkata, bayi dan remaja berkenaan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Sumber: Awani
Kredit Gambar: Roda Pena