Hati ibu mana yang tak sedih, sejak dari 2019 hingga kini masih belum ada rezeki untuk peluk anak seperti orang lain. Empat kali mengandung, empat kali juga kehilangan anak. Pengalaman ini bukan semua ibu mampu laluinya namun apakan daya, Allah sebaik-baik perancang. Biarpun dah berusaha untuk menjaga kandungan sebaik mungkin, takdir Allah tak dapat juga bertahan sehingga 9 bulan.
Kisah sedih yang dikongsikan oleh seorang ibu ini, Puan Nurul Farhana sungguh sebak apabila dia dah cuba bertahan tetapi akhirnya tak kesampaian apabila doktor terpaksa juga mengeluarkan anak dalam kandungan atas sebab-sebab tertentu.
Terhenti perjalanan 23 minggu
Terhentinya perjalanan di minggu 23. Alhamdulillah. Saya sudah selamat melahirkan anak syurga ke 4 secara pembedahan pada petang 9 November lalu.
Memang ramai yang tidak tahu saya mengandung lagi. Hanya keluarga terdekat dan teman sekerja yang kebanyakannya tahu.
Jika diteruskan kandungan, boleh ancam nyawa
Saya sudah berusaha sedaya upaya untuk menjaga kandungan ini. Antaranya pemasangan Mcdonald cerclage (jahit pangkal rahim) dan pemantauan doktor pakar setiap 2 minggu sekali.
Namun apakan daya, semalam jahitan tersebut terpaksa dibuka dengan kadar segera kerana keadaan pada masa tersebut baby sedang struggle untuk keluar (ketika jahitan masih lagi belum dibuka) yang mana menyebabkan rahim saya hampir pecah dan boleh membawa maut.
Bila sudah dibuka jahitan tersebut, sekali lagi saya diuji apabila baby berada dalam keadaan melintang dan tangannya yang masuk laluan untuk keluar. Jadi doktor pakar decide kena operation sebab mustahil baby dapat keluar dalam keadaan normal memandangkan fizikal baby yang sudah besar (600 gram).
Maka saya telah menjalani operation dan alhamdulillah baby telah dapat dikeluarkan lebih kurang pada pukul 4 setengah petang.
Bersyukur Allah masih panjangkan nyawa saya. Sungguh pada sepanjang melahirkan anak ini, kesakitan yang sangat luar biasa lebih lebih lagi ketika membuka jahitan tanpa bius dan pada masa yang sama benang tersebut sukar dijumpai doktor sehinggakan banyak kali doktor kejutkan ketika saya sudah berada dalam keadaan hampir tidak sedarkan diri. Allah sahaja yang tahu.
Kehilangan yang perit tapi perlu reda
Allah Maha Baik. Apa yang terjadi ada hikmahnya walaupun saya sedar keadaan untuk menghadapi kehilangan anak Syurga yang ke 4 bukanlah mudah.
Oh ya.. baby boy tau. Nama diberi Wan Muhammad Isa Faed. Alhamdulillah sudah selamat dikebumikan berdekatan pusara abang-abangnya ❤️
Terima kasih atas doa yang tidak putus-putus terutama suami, keluarga, keluarga mertua, kawan baik, teman sekerja yang tidak putus-putus memberikan semangat dan doa. Hanya Allah yang mampu membalasnya untuk kalian. Terima kasih atas segalanya.
Kredit: Nurul Farhana
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom. Klik DAFTAR segera di sini https://toko.ideaktiv.com/product/gathering-mama-hamil-menawan-pama-x-numom/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)