“Terima Kasih Allah Bagi Kami 14 Minggu Bersama”. Almy Keguguran Anak Keempat

Share

“Terima kasih Allah bagi kami 14 minggu bersama,” demikian getusan hati pelakon Datuk Fizz Fairuz yang kehilangan anak keempatnya hari ini.

Bayi yang dikandung isterinya, Datin Almy Nadia difahamkan telah meninggal dunia ketika masih dalam kandungan.

“Al-Fatihah… Allah lebih sayangkan anakku. Papa reda, papa tak nak nangis sebab papa kuat. Amin.

“Semoga Allah jaga kamu ye anakku,” tulis Fizz yang berkongsi khabar duka itu melalui hantaran entri di Instagramnya petang Selasa.

Rakan selebriti dan peminat mengirimkan ucapan takziah buat pasangan Fizz dan Almy atas kehilangan tersebut.

Melalui entri sebelum ini Fizz pernah berkongsikan yang dia dan Almy bakal menimang anak pada tahun 2020.

Berita gembira itu dikongsikan pada akhir Disember lalu dengan kapsyen yang dimuat naiknya iaitu ‘Hadiah Tahun Baru’.

Semasa pasangan ini berkongsi berita gembira itu, rata-rata mengharapkan anak keempatnya kali ini adalah lelaki namun perancangan Allah mengatasi segalanya.

Fizz dan Almy mendirikan rumah tangga pada 2014 dan dikurniakan tiga cahaya mata perempuan, Nur Afrina Arianna, 5, Nurr Afrina Aurora, 4, Nur Afrina Ayra, 2 dan seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 11.

 

Published by
Wan Amy